PADA 4 Oktober 1999, Pengarah dan Profesor Perubatan Hospital Universiti
Kebangsaan Malaysia
(HUKM), Datuk Dr Khalid Abdul Kadir menulis surat kepada Pawancheek Marican,
Peguambela dan
Peguamcara Datuk Seri Anwar Ibrahim. Khalid menyatakan bahawa pihak hospital
berkenaan tidak
pernah berbincang dengan beliau (Pawancheek) untuk memberi sampel air kencing,
kuku dan rambut
Anwar untuk ujian di makmal-makmal pilihan peguambela dan peguamcara itu
dan rakan-rakan peguam
mereka.
Dr Khalid menjelaskan, sewaktu Pawancheek berjumpa dengannya seminggu sebelum
itu untuk meminta
Anwar ditahan di HUKM sehingga semua keputusan diterima walaupun bekas
Timbalan Perdana Menteri
itu dalam keadaan tidak membimbangkan dan boleh dikeluarkan daripada hospital,
Pawancheek tidak
membangkitkan isu itu.
Dalam surat yang turut dilampirkan dalam laporan perubatan Anwar dan dikemukakan
di Mahkamah
Tinggi kelmarin, Dr Khalid hairan mengapa sekarang Pawancheek dan rakan-rakan
peguamnya mahukan
sampel-sampel itu dihantar ke Victoria Institute of Forensic Melbourne
(VIFM), Australia, malah
mengarahkan HUKM berbuat demikian.
Apakah keistimewaan VIFM berbanding makmal lain yang dipilih? Sebagaimana
dijelaskan oleh Dr
Khalid, itu adalah percubaan untuk melengah-lengahkan keputusan ujian arsenik
berkenaan. Dr Khalid
mungkin mempunyai alasan yang kukuh untuk membuat kenyataan itu.
Melengah-lengahkan keputusan ujian boleh menimbulkan lebih banyak kekeliruan
di kalangan rakyat yang
tertunggu-tunggu hasil keputusan itu. Jika terlalu lama, ia akan menimbulkan
perasaan was-was di
kalangan rakyat. Tidak mustahil pula ada pihak yang mengatakan bahawa kelewatan
berkenaan mungkin
disengajakan. Lagi lama hasil keputusan perubatan itu dikemukakan, lebih
banyaklah maklumat tidak
tepat tersebar.
Maklumat berkenaan pula biasanya negatif dan tidak memihak kepada pihak
berkuasa. Dalam beberapa
kejadian membabitkan Anwar, terlalu banyak perkara dengar-cakap yang digembar-gemburkan
seolah-olah apa saja yang dilakukan, semuanya salah.
Persoalan juga timbul mengapa sewaktu proses penghantaran sampel-sampel
ke beberapa tempat sama
ada di dalam dan luar negara, nama VIFM tidak pun ditimbulkan. Anwar dan
isterinya, Datin Seri Dr
Wan Azizah Ismail menyedari apa yang dilakukan terhadap sampel-sampel berkenaan.
Mereka tentunya
diberitahu siapa yang akan menjalankan ujian dan di mana ujian akan dilakukan.
Apakah disebabkan hasil keputusan ujian itu menunjukkan Anwar tidak menghadapi
keracunan, maka
timbul keraguan mengenainya. Sebagaimana dijelaskan dalam suratnya, Dr
Khalid menyatakan
sampel-sampel berkenaan sudah pun diberikan kepada Pawancheek. HUKM tidak
ada halangan jika
sampel-sampel itu dihantar ke mana saja yang dikehendaki untuk ujian semula.
Persoalan yang perlu dijawab ialah apa perlunya sampel itu dihantar ke
VIFM?. Jawapan Dr Khalid yang
mengatakan kemungkinyan pihak berkenaan berbuat demikian semata-mata untuk
mendapatkan
keputusan yang berbeza, mungkin boleh diterima. Jika tidak, apa perlunya
permintaan untuk menghantar
sampel berkenaan ke tempat lain. Atau, ia semata-mata untuk menimbulkan
keraguan supaya
mempertikaikan kesahihan laporan berkenaan.
Rasanya rakyat boleh membuat pertimbangan wajar mengenai perkara ini. Ujian
di tempat lain mungkin
boleh dianggap wajar jika kaedah yang digunakan untuk ujian itu tidak mengikut
peraturan yang
sewajarnya. Sebaliknya, jika tidak ada keraguan mengenainya, laporan itu
boleh dianggap sudah lebih
daripada memadai. Tambahan pula, ujian dijalankan di beberapa tempat berbeza
dan tempat berkenaan
pula tidak dirahsiakan. Tidak perlulah meragui kewibawaan pakar yang menjalankan
ujian berkenaan
kerana mereka adalah golongan yang sentiasa menjaga kewibawaan diri dan
profesion mereka.
Nampaknya, apa saja yang dilakukan berhubung isu Anwar, tidak memberi kepuasan
pihak tertentu. Jika
ujian itu dijalan oleh mana-mana pihak atau pakar sekali pun, keadaan yang
sama akan berbangkit.
Diandaikan sebelum ini VIFM dipilih untuk menjalankan tugas itu, tidak
mustahil juga nama institusi lain
pula disebut supaya membuat ujian berkenaan.
Di manakah justifikasinya jika ada beribu-ribu makmal yang boleh menjalankan
ujian seperti itu. Masalah
ini tidak akan selesai jika semua permintaan hendak dipenuhi.
Sekiranya semua pihak termasuk mahkamah berpuas hati dengan laporan HUKM,
prosedur berikutnya
hendaklah diteruskan.