JAWAPAN DARI ALLAH
Bab 12 "TERSUNGKUR DI PINTU SYURGA"
Akibat terlalu taksub yang berdesub!

 

KERANA TAKSUB melulu kami kepada Ustaz Asaari, kami mempercayai `mainan kerohanian'nya (alam
jin) tanpa banyak soal-periksa. Kami ketepikan peranan akal kami, walaupun di peringkat awal
telah timbul banyak keraguan kepada mainan kerohanian Ustaz Asaari itu. TAKSUB kami yang melulu
dan kejahilan kami telah memerangkapkan diri kami sendiri.

TAKSUB kami kepada Ustaz Asaari telah menjadikan kami buta.

Buta mata dan buta hati. Saya dan pemimpin-pemimpin Al-Arqam yang lain turut sama bersalah kepada agama Allah yang suci ini. Begitu juga kami rasa berdosa yang amat sangat kepada junjungan kita Rasullah s.a.w. kerana TAKSUB kami kepada pemimpin kami secara tidak sengaja telah merendahkan martabat kerasulannya.

Begitu juga kami berdosa kepada bekas-bekas ahli Al-Arqam kerana TAKSUB yang mendarah daging diri dan
pemikiran mereka, kamilah yang menyuntik, menanam dan menyuburkannya. Moga-moga mereka turut sedar dan insaf serta dapat memaafkan kesalahan kami.

Kami yakin kami berada di pihak yang benar, tetapi kerana TAKSUB, kami lupa bahawa Allah sendiri telah
memberikan jawapan-Nya kepada Sembahyang Hajat dan Doa Mubahallah yang telah kami lakukan di seluruh
markas-maskas Al-Arqam di mana para wartawan turut menyaksikannya. Dalam sembahyang hajat dan Doa
Mubahallah pada 30hb. Jun, 1994 itu, kami telah minta Allah segera tunjukkan di dunia lagi bahawa `kebenaran' itu kebenaran dan yang `batil' itu kebatilan. Siapa yang benar biarlah Allah tunjukkan di dunia lagi supaya dia
dimuliakan. Begitu juga sebaliknya bagi siapa yang berada di pihak yang batil, dihinakan mereka dengan segera. Malah dalam doa mubahallah itu. Ustaz Asaari dan kami telah meminta Allah berikan jawapan segera dalam tempoh tiga bulan dari tarikh doa tersebut dilakukan, agar yang batil segera dihukum dan dihina di dunai lagi.

Saya transkripkan di sini Doa Mubahallah tersebut (yang dikarang sendiri oleh Ustaz Asaari tanpa campurtangan daripada mana-mana pemimpinnya):

"`Marilah kita pada malam Isnin dan Jumaat berkumpul untuk bertahlil di setiap markas dan perkampungan
Al-Arqam di seluruh dunia. Sesuai dengan waktu ini kita sedang dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan oleh pihak tertentu. Maka marilah kita beramai-ramai sebagai orang Islam yang yakin Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Penyelesai segala masalah, sama-sama mengadu kepada Allah sunguh-sungguh, agar dengan itu segala fitnah yang sedang melanda umat Islam segera selesai. Oleh kerana tidak ada lagi tempat untuk kita mengadu di bumi ini maka kepada Allah tempat yang paling tepat dan layak untuk kita mengadu. Bila kita mengadu dengan ALLAH itu Tuhan kita bersama.

`Marilah kita pasang niat sunguh-sungguh pada malam-malam tersebut kepada ALLAH agar ALLAH tunjukkan
kebenaran itu kebenaran dan yang batil itu kebatilan. Sipa yang benar biarlah ALLAH tunjukkan di dunia lagi
supaya dia dimuliakan. Begitu juga sebaliknya bagi orang yang bersalah atau batil, biarlah di dunia lagi mereka
terhina. Andai kata kita yang membawa kebatilan itu, mudah-mudahan dengan kebatilan itu kita dapat membaiki diri dan bertaubat. Agar dapat kita selamatkan diri dari azab Neraka ALLAH.

`Begitu juga sebaliknya, jika meraka yang menuduh itu yang membawa kebatilan, moga-moga mereka insaf dan sempat pula bertaubat. Kita harap mulai tarikh ini hingga sekitar 3 bulan yang akan datang, Allah akan memberi jawapan. Supaya dengan jawapan itu, orang ramai tidak tertipu dengan mana-mana pihak. Dan mereka dapat menetapkan pendirian di pihak yang benar.

`Kalau ada pula pihak-pihak lain yang tidak senang dengan kami, dan mereka ingin membuat majlis seumpama ini, kami juga sanggup untuk turut serta menadahkan tangan berdoa bersama-sama mereka. Kalau Pusat Islam, Jabatan Agama atau ABIM, hendak mengadakan majlis seumpama ini dan meminta kami ikut serta meramaikan majlis itu, insya-Allah kami juga sanggup ikut bersama-sama berdoa menadah tangan.
 

`Sekiranya kamilah yang bersalah, mudahlah untuk kami bertaubat. Inilah cara Mubahalah yang dapat kita buat
dengan mengadu kepada ALLAH TAALA. Oleh itu marilah kita sama-sama menadahkan tangan mengadu dengan ALLAH sepenuh hati. Kami rela wahai Tuhan, kalau kamilah yang bersalah, Engkau tunjuklah kesalahan kami, supaya kami dapat bertaubat. Begitu juga kalau sebaliknya, moga-moga mereka juga akan bertaubat.

`Wahai Tuhan, Engkaulah tempat kami mengadu. Engkaulah sebaik-baik Penghukum, Engkaulah yang Maha Adil dan Engkau yang akan menyelesaikan segala masalah'.

-Allah kemudiannya telah memberikan jawapan-Nya. Tetapi kerana telah TAKSUB, kami tidak menyedarinya
kerana kami telah buta mata dan buta hati.

Di bawah ini saya senaraikan apa yang Allah telah tunjukkan berlaku dalam tempoh tiga bulan seperti yang diminta oleh Ustaz Asaari.

2hb. Julai 1994 - Ustaz Asaari dan rombongannya ketika sampai di Changi International Airport telah dilarang
memasuki Singapura. Ustaz Asaari terpaksa bermalam di lapangan terbang tersebut dan kemudiannya telah diarah oleh Kerajaan Singapura meninggalkan Singapura dan kembali ke Thailand. Peristiwa ini memeranjatkan Ustaz Asaari kerana tidak pernah dihalang memasuki sesebuah negara sebelum ini.

5hb. Ogos 1994 - Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengisytiharkan Fatwa pengharaman ke atas Aurat
Muhammadiah serta amalan-amalan yang berkait dengannya. Pengisytiharan ini telah dibuat secara langsung
melalui TV kepada rakyat Malaysia.

24hb. Ogos 1994 - Pertubuhan Al-Arqam diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan dan pihak Polis memulakan
tindakan menyerbu premis dan perkampungan Al-Arqam di seluruh negara.

2hb. Sept 1994 - Ustaz Asaari ditangkap di bawah Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (I.S.A.).

Semua berlaku dalam tempoh tiga bulan seperti yang diminta oleh Ustaz Asaari. Tetapi kerana kami yakin kami benar, kami lupa tentang Doa Mubahallah ini yang kami aminkan sendiri. Kami menjadi buta kerana TAKSUB dan hati kami mati kerana TAKSUB.

Tetapi kini ALLAH sendiri telah memberikan JAWAPANNYA.

Hakikatnya Allah sendiri yang hancurkan Al-Arqam. Sebab itulah mengapa sejarah menyaksikan Al-Arqam hancur sebegitu rupa dan sebegitu tragis hingga lenyap dari muka bumi ini. Tragedi umat abad ke-21; Kesalahan Ustaz Asaari dan Al-Arqam bukan setakat dengan kerajaan dan rakyat Malaysia, malah yang paling besar kesalahannya dan paling berat adalah dengan Tuhan. `Pintu suyrga' yang kami idamkan selama ini rupa-rupanya adalah `pintu neraka'.

Di sini saya mengambil kesempatan mewakili sahabat-sahabat saya yang telah sedar dan insaf, memohon maaf batin kepada semua rakyat Malaysia atas KERJA GILA yang telah kami lakukan akibat daripada TAKSUB melulu kami. Harap dapat kami dimaafkan dan muga Allah dan Rasulullah mengampunkan dosa kami. Selain daripada itu saya juga di sini memohon maaf khususnya kepada Dato' Dr. Abdul Hamid Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bekas Pengarah Islam Dato' Zainal Abidin Abdul Kadir, Ustaz Abdullah Fahim, Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), semua para Mufti Negeri yang menganggotai Majlis Fatwa Kebangsaan dan para ulama keseluruhannya kerana episod TAKSUB kami ini telah memporak-porandakan perpaduan umat Islam di Malaysia.

Juga saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih saya kepada Presiden PAS, Ustaz Fadhil Noor, Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan bekas Presiden ABIM Dr. Mohd Noor Manuti kerana `tidak menyokong' kami ketika `perang' kami dengan Pusat Islam dahulu.

Kepada para pendakwah,

Apa yang telah berlaku pada Al-Arqam patut diambil dan dijadikan iktibar. Janganlah kamu TAKSUB kepada
pemimpin kamu sepertimana kami telah melakukannya sehingga kami menafikan keilmuan tuan-tuan guru yang
lain. Yang baik pada Al-Arqam, jika ada dan menepati syariat, ambillah sebagai panduan agar kebaikan itu dapat ditebarkan ke tengah masyarakat melalui jemaah atau kumpulan kamu. Yang batil dari Al-Arqam, tolak dan buang sahaja jauh-jauh. Islam tetap agung tanpa Al-Arqam. Di dalam keadaan kegawatan ekonomi yang dialami negara sekarang, ajaklah manusia kembali mentauhidkan Allah dan agamanya. Saya yakin, melalui pengalaman saya berdakwah ke seluruh dunia, bumi Malaysia ini adalah bumi yang paling subur amalan Islamnya. Untuk itu saya yakin Allah tidak akan biarkan Malaysia terhina dengan kegawatan ekonomi ini seperti mana yang telah berlaku pada negara jirannya. Insya-Allah ada hikmah di sebalik kegawatan ekonomi yang berlaku ini. Yang jelas, manusia sekarang mencari TUHAN, Kamulah yang akan menunjukkan jalannya nanti.

Antara budi dan kebenaran sejati, budi dan jasa Ustaz Asaari pada saya tidak pernah saya lupakan. Semoga Allah jua yang membalasnya. Dalam beberapa hal tertentu Ustaz Asaari adalah guru saya. Tetapi yang batil tetap batil dan mesti dimusnahkan. Kita umat Islam di Malaysia, penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah sudah tidak mampu untuk berpecah lagi. Al-Arqam yang pada awalnya ditubuhkan dengan niat yang suci lagi murni, kalaulah tidak dicampur-adukkan dengan amalan bathil di hujung hayatnya, tentulah akan menjadi jemaah Islam yang dihormati dan disegani oleh dunia. Tapi kini ia hancur dan lenyap dari muka bumi.

"`Yang benar telah datang dn yang batil telah lenyap. Sesunguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap'

(Surah al-Israk : 81)

Sekian,ampun maaf...