Apabila Perdana Menteri bercakap mengenai pengaruh asing dan penjajahan moden yang cuba mempengaruhi sesebuah kerajaan, masih ramai yang keliru dan sangsi tentang kewujudannya, kebenarannya dan kesannya. Masih ramai mempersoalkan realliti perkara ini. Sedar atau tidak, percaya atau tidak , hakikatnya ia tetap berlaku dan sehingga kini masih berlaku dan berlaku di mana-mana. Di Afrika, Eropah, Amerika Latin, Asia malah di Amerika Syarikat itu sendiri.
Apa yang penting bagi rakyat Malaysia dan terutamanya orang Melayu ialah memahami bagaimana ia boleh berlaku dan di mana pengaruh itu berguna bagi penjajah ini.
Selagi ada Amerika selagi itulah cubaan menguasai sesebuah kerajaan lain terutamanya negara-negara membangun akan berterusan. Amerika menggunakan setiap kesempatan, melalui apa cara sekalipun dan berapa sahaja kos untuk merealisasikan hasrat ini. Badan inteligennya CIA, tidak pernah berhenti mengenalpasti, mendidik, dan membayar pemimpin-pemimpin yang berpengaruh untuk di jadikan boneka.
Amerika mempunyai grand designnya tersendiri. Dia mahu mewujudkan satu dunia yang tunduk kepada satu kuasa sahaja iaitu Amerika. Pada masa ini hasrat itu bolehlah dikatakan sudah tercapai. Hari ini sudah tidak ada seorang pemimpin yang berwibawa yang boleh menegur, jauh sekali dari mengarah Amerika untuk berhenti melakukan apa saja yang dia mahu. Semua pemimpin sudah dijinakkan, dibeli dan sesetengahnya sudah menjual maruah dan negara kepada Amerika. Lihat saja negara-negara di Afrika dan Amerika Latin, mana ada pemimpin yang betul-betul berani menentang kehendak Amerika.
Dulunya dunia ini terbahagi kepada dua kuasa besar Amerika dan Rusia. Walau bagaimanapun dengan kebijaksanaan Amerika, mereka dapat mencipta seorang boneka bernama Boris Yeltsin. Rusia merupakan satu-satunya kuasa besar yang menjadi seteru utama mereka sebelum ini. Sebab itulah RUSIA hari ini bukan lagi lawan Amerika, sebaliknya menjadi penyokong mereka dalam banyak hal.
Rusia kini sudah dimiskinkan, dilemahkan
dan beruang yang memang dulunya diketahui ganas kini sudah ditidurkan.
Dulu RUSIA juga seperti Amerika, menakluki negara lain satu perkara biasa
seperti berlaku di Afghanistan. Masa
itu susah semua orang, terutamanya Amerika.
Kini semuanya sudah menjadi perkara enteng.
Ada satu saja hasratnya yang belum kecapaian. Cuma satu sahaja negara yang masih belum dikuasainya. Hanya seorang pemimpin yang belum dijinakkan dan memang Amerika tidak dapat menjinakkannya. Maka negara yang menjadi idaman mereka yang dimaksudkan itulah Malaysia kini menjadikan sasaran utama. Pemimpin utama negara itu tidak lagi dapat dipengaruhi. Oleh kerana kebalnya pemimpin itu maka mereka tidak mahu lagi membelinya. Yang lebih penting ialah orang yang akan mengantikannya, iaitu orang nombor dua. Orang yang paling pasti naik takhta.
Sedar tidak sedar Anwar sudah dalam genggaman. Anwar sikit demi sedikit sudah dipengaruhi, malah orang ini sudah pandai membalas budi dan sudah tahu untuk membuat jasa. Anwar sendiri hingga hari ini masih tidak percaya yang beliau adalah salah seorang pemimpin yang sudah dibeli, dididik dan sudah dijinakkan.
Anwar tidak perlu ‘gah’ kata dia seorang yang berpendirian dan tidak boleh digunakan. Sedangkan pemimpin Rusia yang lebih gagah sudah tunduk dengan Amerika.
Soalnya bila Anwar akan berguna dan akan digunakan. Sekarang masih kabur tetapi ianya akan lebih jelas apabila dia sudah memegang teraju kepimpinan negara ini. Masa itulah Anwar menjadi terlalu penting bagi Amerika. Bukan maksud Anwar akan digunakan untuk Malaysia menyerang negara lain. Yang penting ialah apabila Amerika melakukan sesuatu tindakan, negara ini jangan membantah dan jangan bertindak mempengaruhi negara lain untuk membantah.
Anwar tentunya tidak bersetuju, katanya ‘Mana boleh, dia tidak akan dibeli dan digunakan’. Memang betul kata Anwar itu. Boris Yeltsin juga berkata begitu pada rakyat Rusia sebelum dia menjadi Presiden. Hari ini bagaimana. Bayangkan apabila Malaysia sudah dimiskinkan, bolehkah Anwar berkata dia tidak akan digunakan ataupun dia akan berkata Amerika sangat berguna untuk memberi bantuan dan makanan. Dia akan menyembah Presiden Amerika dengan hinanya memohon bantuan. Pada masa itu apa ertinya permaidani merah kalau maruah bangsa dan negara terpaksa digadai.
Hari ini Amerika menyerang dan membunuh rakyat IRAQ. Mana ada pemimpin negara-negara Islam yang lain yang bersungguh-sungguh membantah dan menentang tindakan ini, kecuali Malaysia. Negara-negara Islam yang berjiran masih keliru tak tahu apa nak buat dan jalan paling mudah ialah turut sama mengutuk IRAQ.
Sebenarnya Amerika sudah lama berjaya memecahbelahkan perpaduan negara-negara Islam. Percayalah sampai bilapun tidak akan ada satu resolusi yang padu yang boleh memberi kesan pada Amerika kerana satu sebab sahaja, pemimpin Islam lain sudah dipengaruhi kecuali Malaysia. Ini semuanya hakikat, tidak perlu ditidakkan lagi kecuali satu keajaiban berlaku.
Amat sukar untuk kita lihat siapa mereka yang sebenarnya yang sudah dibeli. Kerana apa? Kerana pemimpin negara–negara ini sudah dibeli melalui jaminan kuasa dan kekayaan.
Apabila Albright dan Al Gore menyokong puak reformasi secara terbuka, ternampaklah cita-cita sebenar mereka telah gagal. Ayam tambatan mereka sudah tiada lagi dan tentunya kedua-dua orang ini sudah dimarahi oleh Clinton. Jadinya kenyataan Al Gore yang disambut oleh Soros merupakan tawaran pembelian Anwar secara terbuka, umpan reformasi sama sepertimana yang ia lakukan dan berjaya di negara Indonesia.
Degil, sombong, bongkak, dan bermacam-macam bahasa dilontarkan kepada Perdana Menteri kita oleh Amerika dan kuncu-kuncunya. Kerana apa ? Hanya kerana beliau merupakan satu-satunya pemimpin Islam yang belum dapat dibeli. Malah Amerika tahu, Perdana Menteri kita ini bukan sahaja susah dibeli, malah kalau dibiarkan boleh pula mempengaruhi pemimpin-pemimpin lain untuk celik dan pandang pada realiti. Ini yang tidak difahami oleh anwar atau penyokong-penyokongnya.
Pembelian ini sebenarnya dibuat secara berperingkat. Ujian demi ujian dilakukan ke atas pemimpin yang terpilih ini. Lihat saja apa yang berlaku setahun sebelum anwar di pecat. Dia mati-mati mempertahankan dasar-dasar IMF. Apakah ini berlaku kerana ketegasan Anwar. Tidak, ianya berlaku secara terpimpin oleh Amerika. Tingkah laku dan pendirian Anwar diperhati dengan teliti.
Sebenarnya pendirian anwar sangat membanggakan. Kesungguhannya menakjubkan pemimpin Amerika. Tetapi sayang Anwar sudah tidak dapat diselamatkan lagi buat masa ini.
Rakyat Malaysia jangan lupa Amerika tentu kini mencari jalan bagaimana membetulkan dan tetap akan cuba mengubah keadaan supaya anak didik ini dapat berguna kembali.
Kita perlu perhati dengan bijaksana.