Politik adalah salah satu perkara yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan
manusia. Islam tidak
mengabaikan perkara yang berkaitan dengan negara dan politik. Rasulullah
SAW sendiri amat aktif dalam
penyusunan dan pembentukan negara Islam. Jatuh dan majunya sesebuah negara
bergantung kepada
sejauh mana kematangan ahli politik negara berkenaan dalam menentukan dasar
dan corak pemerintahan
negara itu.
Dua perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh ahli politik untuk
menentukan sejauh mana sistem
politiknya mencapai kejayaan ialah, pertama, mengetahui dan memahami peranan
Allah terhadap manusia
dan alam keseluruhannya, sebagai Pencipta dan Tuan seluruh alam. Kedua,
peranan manusia sebagai
hamba dan utusan Allah dalam urusan pentadbiran dunia. (S.D. Islahi, Islam
at a Glance, Lahore: Islamic
Publications, 1977, m/s.129). Berdasarkan dua pemahaman ini, ahli-ahli
politik Islam perlu menyedari
bahawa undang-undang ciptaan Allah adalah mutlak yang perlu dilaksanakan
di muka bumi ini. Mereka
perlu berusaha untuk melaksanakannya sedaya mungkin.
Dalam pelaksanaan undang-undang ini, ahli-ahli politik perlu menyediakan
diri mereka dengan ilmu
pengetahuan pentadbiran terutamanya perkara yang berkaitan dengan undang-undang
Allah, serta
melengkapkan diri dengan personaliti Islam sepertimana termaktub dalam
al-Quran dan hadis. Usaha
untuk menjadi hamba Allah yang soleh dan pemimpin yang amanah adalah satu
perkara yang penting.
Kecuaian boleh menyebabkan ahli politik tersimpang daripada peranan sebagai
utusan Allah untuk
melaksanakan tugas yang diamanahkan. Pemimpin sesebuah negara perlulah
daripada kalangan orang
yang lebih baik daripada orang lain dalam aspek ilmu, ketaqwaan, bijak
dan mempunyai kebolehan dalam
menentukan keputusan dan penilaian yang baik, mempunyai bakat, kebolehan
dalam mengarahkan
perintah, dihormati dan dipercayai oleh masyarakat.
Untuk menentukan kepemimpinan, seseorang ketua negara itu perlulah dipilih
daripada beberapa orang
yang mempunyai kelayakan yang istimewa berdasarkan kebolehan intelektual,
cinta kepada agama dan
kuasa menentukan keputusan. (S.D.Islahi, Islam at a Glance, m/s.131). Dalam
konteks hari ini,
kemungkinan mendapatkan seorang pemerintah yang mempunyai serba-serbi kebolehan
itu agak sukar.
Berdasarkan kekurangan umat Islam dalam kedua-dua aspek ilmu yang berkaitan
dengan duniawi dan
ukhrawi hari ini, maka kerjasama dari semua pihak adalah diperlukan.
Sistem pentadbiran Barat yang bertapak di negara ini selama lebih 400 ratus
tahun, menyebabkan
wujudnya pemisahan ilmu pengetahuan berbentuk ilmu wahyu dan ilmu keduniaan.
Sistem sekular yang
diperkenalkan oleh British di negara ini adalah berdasarkan ajaran latolik
yang mana perkara yang
berkaitan dengan duniawi tidak boleh disatukan dengan keagamaan. Lebih
400 ratus tahun umat Islam di
negara ini mengikuti dasar ajaran latolik yang mana sistem ini cukup memberi
kesan kepada corak
pemikiran dan hidup masyarakat. Pemisahan institusi pengajian dalam ilmu
wahyu dan duniawi
menghasilkan masyarakat Islam dalam dua kelompok yang cukup berbeza dari
sudut corak pemikiran dan
hidup.
Dalam dunia serba moden, taraf pemikiran masyarakat juga berkembang. Masyarakat
dapat menilai
secara rasional siapakah yang paling berjasa. Keegoan dan perasaan bahawa
merekalah orang yang
sering bekerja kerana Allah, mencemar sistem pendakwahan dalam Islam.
Dalam kempen pilihan raya penuh dengan maki-hamun dan kutukan, dengan anak-anak
belasan tahun
dibesarkan dalam suasana mengutuk dan mengherdik. Adakah ini satu cara
untuk memperjuangkan
agama Allah? Sikap yang suka mengutuk secara keterlaluan itu boleh menjejaskan
maruah pemimpin parti
politik itu sendiri. Sikap sedemikian boleh menyebabkan masyarakat memandangnya
secara sinis.
Hakikatnya, perkara yang berkaitan dengan diri individu manusia itu sering
diliputi oleh kelemahan. Seperti
firman Allah dalam surah 53 (al-Najm):32 yang bermaksud, "Sesungguhnya
Tuhan mu Maha Luas
ampunannya. Dan dia lebih mengetahui (mengenai keadaan) kamu ketika dia
menjadikan kamu dari tanah
dan ketika kamu masih dalam perut ibumu; maka janganlah kamu mengatakan
diri kamu suci. Dialah yang
paling mengetahui mengenai orang yang bertaqwa.
Firman Allah ini perlu dijadikan panduan ketika berbicara dan membuat kritikan
terhadap orang lain.
Apakah tujuan pemimpin berbicara di hadapan masyarakat?. Setiap perbicaraan
itu mempunyai motif
yang tersendiri. Jika ucapan itu hanya semata-mata mengutuk dan mengherdik,
maka jelaslah tujuan
berbicara adalah untuk menghina dan bukan untuk menjelaskan dasar perjuangan
parti. Setiap parti politik
mempunyai dasar dan matlamat yang mantap dan baik, tetapi dalam perlaksanaannya
ternampak begitu
jelas perjuangan yang dilaungkan terkeluar daripada dasar dan matlamat
sebenar perjuangan.
Kepentingan politik lebih diutamakan daripada maruah agama dan bangsa.
Apabila perjuangan terkeluar
dari dasar dan objektif asal parti politik, maka berlakulah percanggahan
dalam pelaksanaan.
Akhirnya parti politik menjadi satu parti tanpa haluan yang mantap. Pelbagai
cara digunakan untuk
menutup kelemahan yang jelas didedahkan di depan masyarakat. Adalah tidak
mungkin ketika ini parti
berkenaan boleh mempertahankan kesilapan yang dilakukan kerana kebanyakan
masyarakat sudah
memakluminya.
Jika sesebuah parti politik hanya asyik mengkritik parti lain, sedangkan
mereka tidak bersedia menerima
kritikan, maka parti itu tidak akan berkembang dan maju. Kritikan sepatutnya
perlu berbentuk rasional
dan berdasarkan fakta yang benar. Kritikan yang berdasarkan perasaan marah
dan benci bukan saja
boleh menimbulkan kemarahan kepada individu yang dimaksudkan, tetapi ia
juga boleh menyebabkan
pengkritik itu tidak dihormati oleh masyarakat. Dalam konteks Malaysia
hari ini, nasib seseorang ahli
politik itu ditentukan oleh masyarakat.
Masyarakat Melayu adalah satu bangsa yang paling sensitif kepada bahasa.
Seseorang itu dianggap tidak
baik jika beliau sering memaki hamun dan mencerca orang walaupun orang
itu berpangkat besar atau alim
dan cukup ilmu agamanya. Oleh sebab itulah dalam kempen pilihan raya, parti-parti
politik tidak perlu
meniru cara parti politik luar negara berkempen kerana cara mereka tidak
bersesuaian dengan fitrah
masyarakat Melayu. Misalnya, isu mengkafirkan orang lain sebagaimana dilaungkan
oleh Takfir
wa'-Hijrah dan Tanzim al-Jihad di Mesir tidak sesuai digunakan dalam kempen
pilihan raya di negara ini.
Apabila orang yang digelar ulama dijemput memberi ceramah, ini adalah satu
dakwah yang digemari
kerana beliau diberi peluang mendidik masyarakat, bukan memaki-hamun dan
mengutuk. Adalah tidak
wajar bagi orang bergelar ulama meletakkan harga tertentu jika dijemput
untuk memberi ceramah.
Perkara seperti ini perlu difikirkan oleh orang yang merasai dirinya ulama.
Pada masa ini terlalu sukar
untuk mengatakan ulama dari golongan ini baik dan golongan lain tidak baik.
Sikap, corak pemikiran dan
kehidupan orang yang mempunyai ilmu pengetahuan agama yang tinggi hari
ini adalah terlalu jauh bezanya
dibandingkan dengan keperibadian ulama silam.
Dari segi zuhud, keikhlasan dan pengorbanan dalam memperjuangkan Islam
sukar ditandingi oleh orang
beragama masa ini. Di Malaysia hari ini, terdapat orang beragama memperdagangkan
ilmu wahyu. Orang
berpendidikan Islam sudah tidak ada lagi perasaan malu untuk meletakkan
harga apabila orang yang
kurang ilmu pengetahuan agama menjemput mereka memberi penerangan agama.
Sepatutnya perkara
seperti ini tidak berlaku di kalangan orang yang berpendidikan tinggi dalam
bidang agama. Jika corak
hidup orang beragama sudah sampai ke tahap orang yang terlalu mementingkan
status dan kekayaan,
maka adalah tidak wajar ahli-ahli politik Islam di negara ini mentafsirkan
istilah ulama. Jika diteliti dan
dikaji secara terperinci ciri-ciri ulama mengikut tafsiran Rasulullah SAW,
maka boleh dikatakan terlalu
kecil bilangan ulama di negara ini walaupun sudah beribu orang memiliki
ijazah dalam pelbagai ilmu
pengetahuan Islam.
Oleh itu adalah lebih baik tajuk kempen dan perbincangan politik berkisar
dalam aspek pentadbiran dan
pemerintahan. Inilah persoalan politik yang sering dibangkitkan oleh Saidina
Ali ketika mengkritik
pemerintah sewaktu pemerintahan Muawiyah. Beliau tidak mempersoalkan keimanan
Muawiyah
disebabkan pemahaman beliau mengenai al-Quran dan hadis adalah terlalu
mendalam. Perkara-perkara
berkaitan keimanan dan ketaqwaan seseorang itu hanyalah Allah saja yang
tahu kerana iman itu adalah di
hati.
Pembangunan dan perkembangan keIslaman dalam negara ini cukup membanggakan
kerana kebanyakan
tuntutan rakyat mengenai hal ehwal agama sudah dilaksanakan. Jika objektif
parti pembangkang Islam
ialah untuk ummah dan agama, mereka perlu menerima hakikat bahawa parti
lawan mereka juga
melakukan satu kebaikan untuk Islam.