Mohamad Ezam beri keterangan tiga jam

        Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Mohamad Ezam
        Mohd Nor hari ini memberi keterangan lebih tiga jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala
        Lumpur berhubung dakwaannya ada dokumen rasmi kerajaan disimpan di luar negara.

        Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yang ditemani seorang peguam, P Uthayakumar,
        tiba di perkarangan IPPK Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi dan keluar pada jam 1.30 tengah hari.

        Bercakap kepada pemberita sebaik saja keluar dari IPPK Kuala Lumpur, Mohamad Ezam berkata
        beliau memberi keterangan itu seperti dikehendaki polis mengikut Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah
        bagi tujuan siasatan terhadap Seksyen 8(1) (iii) Akta Rahsia Rasmi 1972.

        Berita Harian difahamkan, keterangan Mohamad Ezam dicatatkan oleh Pegawai Turus (Operasi)
        Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Jamaludin Abdul Majid.

        Mohamad Ezam memberi keterangan itu selepas beliau dalam ceramahnya di Kampung Gajah, Ipoh pada
        12 Ogos lalu, mendakwa Anwar dan penyokongnya menyimpan lima atau enam kotak dokumen rahsia
        kerajaan di luar negara.

        Mengulas keterangan yang dibuat Mohamad Ezam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bandaraya, Senior
        Asisten Komisioner II, Mat Zain Ibrahim, yang ditemui di pejabatnya, berkata Mohamad Ezam telah
        memberikan percakapannya dengan terperinci dan menjawab soalan yang dikemukakan.

        Sementara itu, Mat Zain juga menafikan dakwaan Mohamad Ezam kononnya pihak berkuasa belum
        memulakan siasatan terhadap laporan polis yang dibuatnya pada 8 Mei lalu.

        Dalam laporan polisnya yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada 8 Mei lalu, Mohamad Ezam
        mendakwa dua menteri Kabinet, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah dan Timbalan Pendakwaraya
        kanan, Datuk Abdul Gani Patail terbabit dalam kes rasuah dan salah guna kuasa.

        Sambil menafikan dakwaan Mohamad Ezam kononnya polis belum mengambil percakapannya selepas
        tiga bulan aduan dibuat, Mat Zain berkata pihaknya sudah menjalankan siasatan sebaik saja laporan
        dibuat.

        Beliau berkata, percakapan Mohamad Ezam dirakamkan pada 14 Mei lalu, malah lebih dari itu, polis
        memberikan satu notis bertulis kepadanya mengikut Seksyen 51 (1) Kanun Acara Jenayah yang
        mengkehendakinya mengemukakan kepada polis dokumen yang beliau dakwa miliki atau yang polis rasa
        beliau miliki.

        Notis yang diberi pada 28 Mei lalu memberi tempoh kepada Mohamad Ezam sehingga 7 Jun lalu untuk
        mengemukakan sebarang dokumen yang boleh membantu siasatan polis.

        "Untuk ini (notis bertulis yang dihantar), (Mohamad) Ezam menjawab sendiri notis itu secara bertulis pada
        7 Jun lalu. Bagaimanapun, sehingga hari ini, saya tidak menerima apa-apa dokumen dari dia.