Jangan guna isu 13 Mei

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran kepada semua pihak supaya jangan menggunakan isu perkauman, termasuk menjadikan peristiwa berdarah 13 Mei 1969 sebagai bahan ceramah politik.

Tegasnya, beliau tidak akan teragak-agak menggunakan kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja termasuk anggota Barisan Nasional (BN) yang menggunakan isu berkenaan.

''Jangan guna isu yang boleh membangkitkan kemarahan kaum... termasuk mengungkit-ungkit peristiwa 13 Mei yang telah menjadi satu pengajaran pahit kepada kita. Rakyat tidak mahu ulangi lagi (peristiwa hitam itu),'' tegasnya kepada Utusan yang menghubungi beliau di Kota Kinabalu malam ini.

Abdullah berada di Sabah bagi merasmikan Konvensyen Wanita BN negeri itu.

Beliau memberitahu demikian ketika diminta mengulas laporan polis oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ke atas Naib Presiden Parti Keadilan Marina Yusof yang membuat kenyataan menuduh para pemimpin UMNO yang diketuai oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris merancang dan membunuh kaum Cina ketika kejadian rusuhan kaum itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sepatutnya semua pihak, termasuk pembangkang membawa isu-isu yang boleh menjalinkan kerjasama dan permuafakatan antara kaum dan bukannya membawa isu-isu yang boleh menyebabkan perpecahan.

''Saya bimbang jika isu perkauman diungkit-ungkit dan tuduh-menuduh berlaku, mungkin satu reaksi yang tidak baik akan tercetus,'' tegasnya.

Menurut Abdullah, negara telah membawa satu formula baru kepada rakyatnya sejurus selepas peristiwa berdarah itu yang telah mengembalikan keamanan dan kesejahteraan sehingga sekarang.

''Pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Rukun Negara dan kelahiran BN telah menjadi satu gagasan perkongsian kuasa yang membawa keharmonian dan kemakmuran... jangan hancurkannya,'' tegas beliau.
 

Harun dalam wawancaranya dengan Mingguan Malaysia hari ini melahirkan rasa hairannya mengapa beliau dikaitkan oleh Marina dengan peristiwa berdarah itu.

''Saya masa itu sibuk memikirkan bagaimana hendak menubuhkan kerajaan negeri (Selangor),'' jelas Harun.

Terdahulu ketika ditemui para pemberita di Butterworth petang ini, Abdullah menyifatkan Marina bertindak melampau dengan menjadikan isu 13 Mei sebagai isu politik.

Beliau berkata, Marina tidak mempunyai bukti untuk menuduh para pemimpin UMNO terlibat sebagai pencetus kepada peristiwa rusuhan kaum itu.

''Dakwaan itu paling tidak wajar, tidak betul, melampau dan dibuat tanpa bukti,'' tegasnya kepada para pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Penswastaan Pembinaan Kompleks Markas Dua Divisyen Tentera Darat Bukit Gedung.

Sehubungan itu, Abdullah meminta polis mengambil tindakan selanjutnya berhubung laporan yang dibuat oleh Pemuda UMNO itu.

Katanya, apabila ada laporan dikemukakan, polis seperti biasa perlu mengambil tindakan susulan selanjutnya.

''Saya percaya Pemuda UMNO amat memahami tindakan yang mereka telah ambil dan tentu sekali mereka harapkan ada tindakan susulan dibuat,'' ujarnya.

Abdullah menambah, pendekatan yang digunakan oleh Naib Presiden Keadilan itu dan parti-parti pembangkang lain mempunyai niat untuk menghina kerajaan dan juga menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat agar menentang kerajaan.

Cara mereka memainkan peristiwa berdarah 13 Mei untuk meraih simpati dan sokongan rakyat juga kata Abdullah, membuktikan parti itu sudah terdesak dan kehabisan idea.

''Macam mana nak jadi parti alternatif... tak ada idea lain, asyik mengata kerajaan saja.

''Saya percaya rakyat dapat melihat dan memahami bahawa pendekatan yang mereka gunakan bukan cara yang boleh membuktikan mereka boleh menggantikan BN,'' ujarnya lagi.

Beliau berkata, BN tetap akan menjadi satu parti yang berkemampuan dan berpengalaman untuk memajukan negara dan memenuhi hasrat rakyat.