Keadilan bukan ancaman di Sabah

        PARTI Keadilan Nasional (Keadilan) yang menganggotai Barisan Alternatif, bukan parti alternatif kepada
        politik Sabah. Sebaliknya, ia dilihat sebagai kumpulan serpihan daripada pelbagai organisasi siasah yang
        sudah tersisih dan dipinggirkan majoriti rakyat Sabah.

        Pemerhati politik Sabah melihat barisan pimpinan Keadilan yang diumumkan baru-baru ini, tidak sama
        sekali menggambarkan kewibawaannya sebagai landasan alternatif.

        Justeru, mereka tidak menganggap Keadilan sebagai cabaran yang boleh menggugat keutuhan Barisan
        Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, sekurang-kurangnya dalam konteks
        politik Sabah.

        Berbanding agenda jangka panjang BN, isu yang cuba dilaungkan Keadilan dan parti pembangkang lain
        lebih bersifat domestik tanpa arah dan wawasan. Jurang perbezaan inilah menjadikan BN dan
        pembangkang umpama langit dan bumi - satu hakikat yang tidak mungkin dapat dinafikan.

        Tanggapan bahawa Keadilan bukan alternatif bagi orang Sabah dipersetujui oleh Ketua Penerangan
        Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Karim Ghani, yang menyifatkannya sebagai mereka dari
        kalangan 'orang politik terbuang.'

        Sememangnya dalam konteks politik kepartian dan amalan demokrasi, barisan kepemimpinan
        mencerminkan kewibawaan organisasi atau pertubuhan itu sendiri. Oleh itu, melihat kepada barisan
        pimpinan Keadilan itu, nyatalah tanggapan Karim ada rasionalnya.

        Karim menganggap barisan pimpinan Keadilan tidak sama sekali menjejaskan sokongan penduduk Sabah
        terhadap BN dalam menghadapi pilihan raya Parlimen ini.

        "Lebih-lebih lagi apabila melihat barisan pimpinan dilantik itu sebahagian besar mereka pernah dipecat BN
        atau pernah bertanding dalam pilihan raya dan hilang wang pertaruhan," katanya.

        Berikutan itu, Karim mengulangi amaran memecat mana-mana ahli Umno yang didapati menyokong parti
        pembangkang, termasuk menyertai Keadilan, kerana tindakan itu menunjukkan mereka tidak setia kepada
        parti.

        Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Salleh Tun Said, juga sependapat bahawa Keadilan tidak
        akan membawa kesan negatif kepada BN negeri ini dan yakin rakyat Sabah akan menolak parti itu dalam
        pilihan raya nanti.

        "Keadilan tidak ada dalam politik Sabah. Rakyat negeri ini senang hati dengan BN di bawah
        kepemimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad," katanya.

        Menurutnya, rekod cemerlang yang ditunjukkan BN selama ini menyedarkan rakyat untuk terus memberi
        sokongan kepada parti pemerintah.

        Ketua Pemuda Umno Sabah, Juhari Janan, pula menyifatkan barisan pimpinan Keadilan itu golongan
        kecewa selepas hilang pengaruh dalam BN terutama ketika bersama Umno.

        "Antaranya Abdul Rahman dan Mazhary yang nyata tidak berpengaruh selepas meninggalkan Umno untuk
        bertanding atas tiket pembangkang pada pilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Mac lalu,"
        katanya.

        Menurut beliau, Pemuda Umno tidak gentar dengan barisan pimpinan Keadilan itu yang disifatkan biasa
        melompat parti sejak hilang pengaruh dalam parti komponen BN itu.

        Oleh itu, Juhari berkata, Pemuda Umno Sabah bersedia menghadapi Keadilan dalam pilihan raya
        Parlimen di negeri ini pada bila-bila masa daripada sekarang.

        Hakikatnya, kehadiran Keadilan dalam kancah politik Sabah tidak mungkin mengubah senario, malah
        tidak mustahil ia akan menerima nasib sebagaimana yang dialami parti pembangkang lain ketika pilihan
        raya Sabah, 12-13 Mac lalu.