Peguam bela arah HUKM?

        Peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pawancheek Marican, hari ini
        menafikan beliau pernah mengarahkan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menghantar
        contoh ujian arsenik dihantar ke Victoria Institute of Forensic, Melbourne (VIFM), Australia.

        Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan Pengarah dan Profesor Perubatan HUKM, Datuk Dr Khalid
        Abdul Kadir bahawa peguam bela Anwar pernah cuba melengahkan keputusan ujian itu.

        "Jika benar apa yang dikatakan Dr Khalid dalam akhbar yang kami cuba melengahkan keputusan ujian,
        itu adalah pendapatnya. Dalam surat saya kepadanya, tidak disebut langsung soal arahan menghantar
        contoh air kencing, kuku dan rambut Datuk Seri Anwar.

        "Mungkin Dr Khalid keliru apabila menjawab surat saya bertarikh 2 Oktober lalu," katanya.

        Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Khalid bahawa peguam bela Anwar
        pernah cuba melengahkan keputusan ujian arsenik dengan mengarahkan HUKM menghantar contoh air
        kencing, kuku dan rambut Anwar ke VIFM.

        Dr Khalid berkata, HUKM menolak arahan kerana ia bertentangan dengan profesionalisme yang
        diamalkan kerana contoh kuku, rambut dan air kencing Anwar sudah diuji di makmal bebas dalam dan
        luar negara.

        Bagaimanapun, Pawancheek kesal surat Dr Khalid kepadanya didedahkan kepada umum kerana ia
        adalah maklumat sulit peguam bela dengan doktor yang merawat Anwar.

        Pawancheek berkata, berdasarkan surat yang dihantar kepada Dr Khalid pada 2 Oktober lalu, beliau
        memberi pendapat undang-undang mengenai kedudukan Anwar di hospital itu.

        Katanya, Anwar dihantar ke hospital atas perintah mahkamah pada 10 September lalu dan hanya
        mahkamah yang boleh mengarahkan dia dikeluarkan daripada hospital berkenaan.

        Beliau berkata, pada 4 Oktober lalu beliau difahamkan mahkamah mengeluarkan perintah supaya boleh
        dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

        Sehubungan itu, katanya, tidak timbul beliau mengeluarkan arahan berhubung dengan contoh air kencing,
        kuku dan rambut Anwar.