Pembohongan besar di masjid

Dakwaan seorang khatib kononnya bilangan gereja
lebih banyak daripada masjid di negeri Melaka terbukti tidak benar dan merupakan
satu pembohongan besar, kata Senator Datuk Zainuddin Maidin hari ini.

Pembohongan itu terbukti apabila kerajaan negeri Melaka sendiri menjelaskan
bahawa terdapat 200 buah masjid berbanding hanya 20 buah gereja di negeri itu.

''Pada pandangan saya perbuatan khatib itu bertujuan mencemarkan maruah para
ulama ulilamri yang berwibawa, rasional dan terpelajar.

''Ia juga bermatlamat menghakiskan keyakinan terhadap institusi-institusi agama yang
dikendalikan oleh para ulamak ulilamri dan ulama yang bertauliah,'' katanya ketika
dihubungi hari ini.

Jumaat lalu, Ustaz Yaakob Wan Haron dalam khutbah Jumaatnya di Masjid Jamik
Al-Hidayah, Taman Melawati Hulu Klang, Selangor, mendakwa gereja Kristian lebih
banyak daripada masjid di Melaka.

Yaakob berkata, beliau mengesan perkara itu daripada lawatannya ke Melaka
baru-baru ini.

Zainuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Zam berkata, pembohongan tersebut
yang didengarnya bersama 300 jemaah lain, seharusnya menimbulkan kesedaran dan
perhatian para ulama terhadap pembohongan yang sekarang sering dilakukan di
beberapa buah masjid di negara ini.

Beliau tidak mahu para ulama mendiamkan diri kerana terkeliru dengan orang yang
menyerupai mereka yang bermatlamat memberi gambaran bahawa para ulilamri tidak
berkuasa dan pada akhirnya akan menyebabkan mereka tidak dihormati.

Beliau yang tinggal di Taman Melawati berkata, ulama seperti itu cuba
menggambarkan bahawa mereka lebih prihatin terhadap masalah-masalah agama
daripada ulilamri sehingga sanggup membuat pembohongan dan fitnah bersandarkan
kepada perasaan dan bukan kepada fakta yang benar.

Beliau memberi contoh bagaimana Ustaz Yaakob yang terus terang berkata: ''Sama
ada benar atau tidak (gereja lebih banyak daripada masjid), tidak tahulah tetapi itulah
perasaan saya.''

''Saya tak faham bagaimana khatib sanggup membuat pembohongan yang boleh
menimbulkan kemarahan dan kebencian kepada pihak-pihak tertentu berdasarkan
kepada perasaan dan bukan fakta yang benar,'' katanya.

Menurut Zam, khatib itu juga menyatakan bukan ulama tidak boleh mentafsirkan
al-Quran.

''Tetapi kini ramai orang mempersoalkan adakah perbuatan fitnah di dalam masjid
yang dilakukan olehnya berasaskan kepada ajaran al-Quran menurut tafsirannya
sendiri sebagai seorang ulama yang berkelayakan,'' katanya.

Sementara itu, Kapten (B), Aminuddin Abdullah yang tinggal di Jalan K2, Fasa 7
Taman Melawati pula berkata khutbah Jumaat itu ibarat ceramah politik yang sama
sekali tidak sesuai disampaikan di tempat suci seperti masjid.

Katanya, ia terlalu panjang sehingga menyebabkan ramai jemaah gelisah kerana
terpaksa kembali bekerja.

''Bukan saya sahaja tapi ramai jemaah yang meragui fakta-fakta yang telah dikemuka
oleh khatib berkenaan,'' katanya.

Seorang jurutera dari Bukit Mas, Taman Melawati juga melahirkan rasa hairan apabila
ustaz itu membuat rumusan bahawa orang Islam di negara ini menyambut
kemerdekaan tanpa iman.

''Adakah khatib ini beriman apabila dia membuat pembohongan dalam masjid?,'' tanya
beliau.