Perhimpunan tiada sambutan

        Sekumpulan belia yang mendakwa pelajar institut pengajian tinggi tempatan semalam
        cuba berhimpun sempena setahun pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan.

        Kira-kira 15 belia yang membawa beberapa kain rentang antikerajaan cuba menarik perhatian orang
        ramai di beberapa lokasi sekitar ibu kota bagaimanapun tidak mendapat sambutan.

        Orang ramai hanya memerhatikan gelagat mereka yang menjerit 'reformasi' serta membuat ucapan awam
        selama 20 minit di Pasar Seni bermula jam 6.15 petang.

        Terdahulu kumpulan belia itu berkumpul di Dataran Merdeka sebelum bergerak ke Jalan Tuanku Abdul
        Rahman, Jalan Masjid Jamek dan ke Pasar Seni.

        Pasukan polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA)
        berkawal di sekitar Dataran Merdeka dan belakang Bangunan Sultan Abdul Samad bagi mengawal
        ketenteraman dan keselamatan awam.