Provokasi bukan budaya

        Bukan budaya Barisan Nasional (BN) untuk membuat provokasi atau menganggu
        ceramah pembangkang sehingga menimbulkan ketegangan, kata Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohd
        Khalil Yaakob.

        Beliau menjelaskan Pemuda Umno dan parti komponen BN hanya bertindak balas dengan pantas jika
        mereka dicabar kerana mempunyai ahli yang ramai.

        "Kita tidak menganggu ceramah pembangkang kerana itu bukan budaya kita. Tetapi jangan sekali-kali
        mencabar Pemuda BN kerana kita akan bertindak balas," katanya di sini, hari ini.

        Beliau mengulas dakwaan pembangkang kononnya Gerak Gempur Pemuda Umno mengganggu beberapa
        ceramah yang dianjurkan pembangkang.

        Khalil sebelum itu membentangkan kertas kerja mengenai persiapan BN menjelang pilihan raya pada
        Konvensyen Pemuda BN.

        Khalil berkata, BN boleh mengulangi kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum akan datang jika
        empat juta ahli parti komponen terus mendekati rakyat.

        "Pemuda perlu mendekati rakyat secara bersemuka untuk mendengar dan menjelaskan dasar kerajaan,
        khususnya mengenai kejayaan kita mengatasi kegawatan ekonomi di negara ini.

        "BN juga sentiasa mengadakan aktiviti di seluruh negara untuk membantu dan mendekati rakyat, bukan
        seperti pembangkang hanya berdamping ketika menjelang pilihan raya," katanya.

        Mengenai persiapan pilihan raya, Khalil berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan yang dibuat
        berdasarkan lawatan mengejutkan atau lawatan biasa ke pejabat BN di seluruh negara.

        "Persiapan dan susunan jentera BN sentiasa terkini. Pemuda pula sudah mendapat pendedahan dan saya
        bangga kerana ini memberi satu gambaran Pemuda sentiasa bersatu dan faham dengan fungsi
        masing-masing," katanya.

        katanya, beliau menjelaskan kepada Pemuda bagaimana menyusun jentera pilihan raya kerana mereka
        antara penggerak utama.

        "Saya juga menjelaskan mengenai isu yang bakal dibangkitkan pembangkang dan masalah berkaitannya
        kerana setiap pilihan raya mempunyai isu berbeza," katanya.

        Khalil yang juga Menteri Penerangan berkata, beliau turut menjelaskan isu yang dibangkitkan mengenai
        kementeriannya termasuk masalah beberapa kawasan di pedalaman yang tidak mendapat siaran
        televisyen dengan memuaskan.

        Sehubungan itu, katanya, beliau akan berusaha memastikan masalah berkenaan dapat diatasi segera.