Tidak benar gereja banyak

Kerajaan Melaka kesal dengan kenyataan melulu seorang khatib, Ustaz Yaakob,
yang mendakwa jumlah gereja di negeri ini melebihi bilangan masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Negeri, Datuk Mohd.
Shariff Mohd. Drus, yang menafikan dakwaan itu berkata, jumlah gereja di negeri ini
tidak melebihi 20 buah berbanding 200 masjid yang terdapat di seluruh negeri
Melaka.

Menurutnya, khatib tersebut tidak sepatutnya menyampaikan perkara itu di dalam
khutbah Jumaat yang dihadiri oleh umat Islam.

Beliau memberitahu, gereja yang besar dan digunakan cuma ada empat sahaja iaitu St.
Francis, St. Theresa, St. Peters dan Gereja Protestant Christ yang kesemuanya
terletak di Bandar Hilir.

''Gereja-gereja kecil di Bandar Melaka pula cuma berjumlah lima sahaja selain gereja
terbiar dan tidak digunakan di beberapa kawasan di Merlimau, Sungai Rambai dan
Tengkera,'' kata Mohd. Shariff ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Yaakob
semalam, yang menyatakan gereja Kristian lebih banyak dibina daripada masjid di
negeri ini.

Beliau mendakwa mengesan perkara itu daripada lawatannya ke Melaka, baru-baru
ini.

Yaakob membuat dakwaan itu dalam khutbah Jumaat di Masjid Jamik Al-Hidayah,
Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor.

Mohd. Shariff menegaskan, khatib itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam
khususnya di negeri ini dengan membuat kenyataan pembohongan sedemikian.

Beliau berkata, jumlah masjid di negeri ini sememangnya melebihi bilangan gereja
sejak zaman penjajahan lagi.

''Saya tidak nampak di mana kebenaran dakwaan yang dinyatakan oleh khatib
berkenaan,'' katanya sambil menambah kenyataan itu lebih bermotifkan politik
semata-mata.

Sementara itu, Mufti Negeri Melaka, Datuk Rashid Redza Md. Salleh ketika
dihubungi pula berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak benar malahan boleh
menimbulkan salah faham serta kemarahan umat Islam.

Beliau berkata, pandangan kasar oleh khatib itu tidak boleh dijadikan satu kesimpulan
untuk membuat sesuatu kenyataan berhubung satu-satu perkara.

''Ia sepatutnya perlu berasaskan fakta dan bukti sebelum membuat sesuatu kenyataan.
Mungkin apa yang dilihat oleh khatib itu lebih terhad di kawasan Bandar Hilir sahaja.

''Hakikat sebenar, setiap kampung masing-masing mempunyai sebuah masjid dan
negeri ini juga memiliki lebih 800 buah surau untuk digunakan oleh umat Islam,''
katanya.

Rashid berkata, jumlah masjid serta surau yang banyak itu menggambarkan kerajaan
negeri sememangnya menitikberatkan syiar Islam.