KENAPA TRAGEDI GEMPA DI TURKI DIPOLITIKKAN?

        Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini dinasihatkan
        supaya tidak mempolitikkan kejadian gempa bumi di Turki dengan menyamakannya sebagai bala akibat
        tidak melaksanakan Islam.

        Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman, berkata kejadian itu
        adalah takdir dan ketetapan Allah, yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kegagalan pemimpinnya
        melaksanakan pemerintahan Islam.

        Oleh itu, katanya, adalah tidak adil untuk mengaitkan sesuatu bencana itu dengan agama terutama dari
        segi akhlak Islam.

        "Bagi umat Rasulullah, bala bukan dalam bentuk fizikal secara serta merta, berbanding kejadian yang
        menimpa umat Nabi Noh dan Nabi Musa seperti dikisahkan dalam al-Quran.

        "Kalau dikaitkan bala dalam bentuk fizikal, ia boleh mendatangkan huru-hara dalam negara.
        Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNya kita akan kembali," katanya.

        Beliau mengulas kenyataan Nik Aziz yang mahu umat Islam menjadikan tragedi gempa bumi yang
        mengorbankan lebih 12,000 ribu rakyat Turki, sebagai peringatan.

        Ketika melahirkan simpatinya terhadap nasib rakyat Turki, beliau berkata sekuat mana kuasa di dunia ini
        tidak boleh melawan kekuasaan Allah.

        Dr Abdul Hamid berkata, Nik Abdul Aziz boleh memberi peringatan tetapi tidak seharusnya mengaitkan
        bencana gempa bumi itu sebagai bala yang menimpa umat Islam.

        Bekas Timbalan Presiden Semangat 46 (S46), Datuk Dr Rais Yatim, pula berkata jika gempa bumi itu
        dianggap bala daripada Allah, kemalangan yang membabitkan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang,
        baru-baru ini juga boleh dianggap bala.

        "Bolehkah kita mengatakan kemalangan jalan raya yang membabitkan Abdul Hadi itu sebagai bala
        daripada Allah.

        "Kita tidak harus membuat kesimpulan mudah kerana sesuatu kejadian alam itu adalah ketetapan Allah,
        dan kita sebagai manusia harus membuat perancangan mengatasinya," katanya.

        Dr Rais meminta Nik Abdul Aziz tidak menjadi tukang tilik dengan membuat pelbagai spekulasi kerana ia
        boleh memalukan pemimpin Pas itu sendiri.

        "Jangan menganggap bencana alam itu sebagai bala kerana hanya Allah sajalah yang mengetahui punca
        sebenar kejadian itu. Jika Pas asyik membuat spekulasi mereka juga akan mengalami keaiban," katanya.

        Ketua Penerangan Pemuda Umno, Mohamad Supardi Md Noor, berkata kerajaan Barisan Nasional
        (BN) tidak pernah melawan Islam, sebaliknya menyediakan pelbagai kemudahan termasuk sekolah untuk
        membolehkan generasi muda mendapat pendidikan.

        "Sekiranya kita menganggap semua kejadian buruk itu bala, kegagalan kerajaan Pas menyediakan
        bekalan air kepada rakyat negeri Kelantan juga boleh dianggap bala.
        "Mereka tentunya tidak menganggap kegagalan itu sebagai bala, sebalik menyalahkan pihak lain kerana
        kegagalan melaksanakan pemerintahan Islam," katanya.