MANIFESTO BERSAMA
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Parti Keadilan Nasional (KeADILan)
Parti Rakyat Malaysia (PRM)
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
KE ARAH MALAYSIA YANG ADIL
Cabaran Terbesar Sejak Kemerdekaan
Dengan beberapa perkembangan dewasa
ini, jelaslah bahawa cabaran terbesar yang dihadapi seluruh rakyat Malaysia
ialah usaha melahirkan sebuah negara yang adil dan demokratik.
Krisis Politik
Di negara kita kini, telah terdiri
sebuah sistem pemerintahan yang memusatkan kuasa pada pihak eksekutif amnya
dan, dengan cara tertentu yang bermuslihat, pada seorang individu sahaja
khususnya. Dengan itu, sistem ‘sekatan dan imbangan’ (checks and balances)
telah dilumpuhkan. Apabila kuasa dijadikan milik peribadi seperti itu,
maka:
-
kepentingan pihak berkuasa diutamakan,
kepentingan rakyat diketepikan;
-
pihak berkuasa menentukan segala-galanya,
termasuk apa yang kononnya merupakan kepentingan rakyat;
-
daya upaya rakyat pastilah akan musnah;
pencabulan hak asasi manusia berleluasa;
-
pihak yang berkuasa tidak lagi menghormati
dan tidak mengendahkan pandangan pihak-pihak lain yang tidak sehaluan dengannya
dan melemparkan berbagai tohmahan terhadap mereka, termasuk tuduhan yang
direka;
-
yang lebih diutamakan daripada segala-galanya
ialah kesetiaan membuta tuli terhadap para pemimpin, meskipun para pemimpin
itu terbukti salah; dan
-
prinsip dan amalan ketelusan awam tidak
dipedulikan lagi oleh pemerintah.
Kezaliman, Korupsi, Kronisme dan
Nepotisme
Inilah sebabnya KEZALIMAN, KORUPSI,
KRONISME dan NEPOTISME telah menjadi-jadi di negara ini sejak beberapa
tahun yang lalu. Untuk menyembunyikan dan melindungi segala dosa tersebut,
maka terpaksalah golongan yang berkuasa itu melakukan penipuan dan berdusta
kepada rakyat. Mulai tahun 1980an, DEB dijadikan alasan untuk melakukan
pilih kasih (kronisme) dan pilih keluarga (nepotisme) dalam perniagaan
dan politik. Memang tidak boleh dinafikan bahawa ramai rakyat Malaysia,
terutamanya daripada kaum Melayu, telah mendapat faedah daripada DEB. Tetapi
kronisme dan nepotisme dewasa ini bukan demi perlaksanaan DEB, malah telah
banyak menguntungkan beberapa kroni, termasuk bukan Melayu, yang cuba berselindung
di sebalik DEB. Fitnah terhadap musuh-musuh politik telah menjadi amalan
yang biasa di kalangan golongan pemerintah, dan makin bertambah menonjol
dengan krisis politik dewasa ini.
Krisis Ekonomi
Krisis kini menjadi lebih runcing
memandangkan Malaysia belum lagi bersedia menghadapi pasaran global yang
makin mencabar dan bersaingan akibat keengganan pemerintah melaksanakan
reformasi ekonomi dan politik yang tulen. Masa depan negara bergantung
kepada daya saing dan keupayaan kita menembusi pasaran global. Satu sistem
pentadbiran dan pengurusan syarikat (corporate governance) dalam satu rangka
pengawasan yang telus, tegas dan bebas daripada campurtangan politik yang
tidak wajar dan berkepentingan, amat mendesak untuk mewujudkan ekonomi
yang kukuh. Amalan korupsi, kronisme dan nepotisme di bawah pemerintahan
BN hanya melumpuhkan ekonomi dan daya saingan kita di tahap antarabangsa
di samping menggadaikan masa depan ekonomi, rakyat dan negara.
Di samping itu, pemerintahan BN sedang
menyalahgunakan perbelanjaan kerajaan untuk memeras ugut dan ‘membeli’
rakyat menjelang pilihanraya. Hasil kerajaan berpunca daripada usaha, kerja
dan pendapatan rakyat, bukan milik parti BN. Maka, rakyat berhak terhadapnya,
dan BN tidak berhak langsung menyalahgunakannya mengikut nafsu dan demi
kepentingan kuasa mereka.
Pencabulan Hak Asasi
Pemerintahan BN telah banyak menyimpang
daripada prinsip-prinsip dan hak-hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan
Malaysia. Berbagai undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti
(AUKU), Akta Polis, dan sebagainya telah menafikan hak asasi rakyat untuk
bersuara, berkumpul secara aman dan berpersatuan. Segalanya bergantung
kepada sukahati pihak yang berkuasa. Malah, hak rakyat merujuk ke mahkamah
pun dinafikan atau disanggah. Dewasa ini, disiplin polis telah banyak merosot
akibat penyalahgunaan kuasa pucuk pimpinan negara, yang membawa kepada
penyelewengan, termasuk keganasan polis terhadap rakyat jelata, terutamanya
golongan yang lemah. Penyelewengan demikian ini jelas mencerminkan lagak
samseng pucuk pimpinan pemerintahan, yang tidak menghormati hak asasi rakyat
walaupun dijamin dalam Perlembagaan Malaysia.
Krisis Akhlak
Pemusatan kuasa dan kekayaan dalam
tangan segelintir pemimpin tertinggi negara telah menyebabkan keangkuhan
golongan berkuasa sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja tanpa segan-silu,
tidak kira benar atau palsu, betul atau salah, asalkan kuasa mereka berkekalan.
Tahap akhlak di kalangan golongan pemerintah pada umumnya telah mengalami
kadar kemerosotan yang amat menggerunkan. Golongan pemerintah bukan sahaja
sudah hilang kewibawaan moral, malah tidak dapat diharapkan lagi untuk
menjadi penyalur kemurnian akhlak kepada generasi yang akan datang. Golongan
muda sudah berasa kecewa; mereka tidak lagi
menghormati para pemimpin yang ada.
Krisis Kewibawaan
Sistem pemerintahan telah memusnahkan
kewibawaan pelbagai institusi masyarakat seperti parlimen, kehakiman, perkhidmatan
awam, polis dan media yang dipertundukkan kepada kehendak pemimpin-pemimpin
tertentu. Ini mendatangkan kesan yang buruk
terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia pada umumnya, malah telah menggugat
keyakinan para pelabur, dari dalam dan luar negeri. Sebenarnya, hanya perubahan
pemerintahan ke arah yang adil, bersih, cekap, jujur dan berkebolehan akan
dapat memulihkan kewibawaan pemerintah dan kepercayaan orang ramai, menyatupadukan
rakyat dan memajukan semula bangsa dan negara.
Pembohongan Barisan Nasional
Pemerintahan BN:
-
melanggar pelbagai prinsip dan cita-cita
dalam pelbagai dokumen ciptaannya sendiri, misalnya prinsip-prinsip "kedaulatan
undang-undang" dan cara hidup demokrasi yang tercatat dalam Rukunegara;
-
mengabaikan tanggungjawab dalam melaksanakan
sembilan cabaran Wawasan 2020, terutamanya cabaran untuk "melahirkan sebuah
masyarakat yang benar-benar berakhlak" dan cabaran "melahirkan masyarakat
penyayang";
-
tidak merealisasikan slogan-slogan laungan
sendiri — yakni slogan-slogan tentang pemerintahan yang "bersih, cekap
dan amanah", "kepimpinan melalui teladan", "tradisi membela rakyat", dan
sebagainya;
-
kalau diambilkira juga berbagai kenyataan
dan tuduhan pemimpin-pemimpin utama BN, maka ketara lagi pembohongan mereka
kian merebak.
Cita-Cita Rakyat Diketepikan
Terdapat beberapa keperluan dan cita-cita
asasi rakyat yang sepatutnya diberikan perhatian utama dan segera seperti:
-
sejumlah besar rakyat yang berpendapatan
rendah dan sederhana masih belum mampu memperoleh kemudahan perumahan yang
sesuai;
-
sejumlah pelajar yang layak masih tidak
dapat menikmati pendidikan tinggi tempatan yang bermutu pada kos yang berpatutan.
Pendidikan yang bermutu bagi semua yang layak merupakan tanggungjawab kerajaan
yang dapat memajukan ekonomi negara dengan lebih segera;
-
rawatan perubatan yang berkualiti pada
kos yang munasabah atau percuma masih belum terjamin bagi sejumlah besar
rakyat.
Di samping itu, rakyat yang makin sedar
bukan hanya inginkan ekonomi dan taraf hidup yang baik, tetapi juga kemajuan
budaya dan rohaniah serta keselesaan persekitaran hidup.
Jelas bahawa kesejahteraan rakyat
umum tidak menjadi agenda utama dasar pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional
(BN) yang ada sekarang. Rakyat negara ini mempunyai hasrat yang amat tinggi
terhadap pembangunan yang seimbang dan kesaksamaan sosial, sedangkan golongan
pemerintah lebih mementingkan projek-projek mega yang raksaksa dan pencapaian
bermegah-megah yang menggembungkan sifat takabur diri melalui projek-projek
yang hanya mendatangkan manfaat kepada suatu kelompok kecil. Oleh kerana
itu:
-
jurang pemisah antara golongan berada
dan golongan yang tidak berada menjadi semakin luas pada tahun-tahun sembilan
puluhan ini;
-
semakin meningkatlah bilangan dan peratusan
rakyat yang semakin terpinggir dalam proses pembangunan ekonomi, yang bukan
sahaja tidak adil dan bersifat songsang, tetapi juga boleh menghalang kemunculan
Malaysia sebagai sebuah negara maju pada masa akan datang;
-
dasar pembangunan Kerajaan BN memberikan
penekanan yang berlebihan terhadap keuntungan yang bersifat kebendaan sambil
mengabaikan pembangunan masyarakat yang lebih seimbang dari segi rohani,
akhlak, budaya dan tamaddun.
Kesedaran Rakyat
Sejak kebelakangan ini, rakyat mulai
sedar akan kecacatan dasar pembangunan BN dan kelemahan pimpinan BN. Maka,
mulailah mereka menyatakan bantahan secara terbuka. Tanpa menghiraukan
keluhan ikhlas rakyat, Kerajaan BN sebaliknya telah cuba menakutkan rakyat
bahawa kononnya, keluhan demikian bersifat ganas dan akan mencetuskan persengketaan
kaum. Menurut tohmahan BN, huru-hara akan terjadi jika sekiranya kekuatan
kedudukan Kerajaan BN itu dipersoalkan. Dalam menyebarkan dakyah tersebut,
mereka telah memperalatkan sepenuhnya media aliran utama negara ini, yang
dikuasai BN sepenuhnya. Tujuan mereka semata-mata untuk menakut-nakutkan
dan memecah-belahkan rakyat, yang mulai sedar dan ingin memperjuangkan
perubahan yang benar-benar bermakna. Jelaslah bahawa mereka cukup takut
dan sedang cuba menghalang rakyat Malaysia daripada menggembleng tenaga
demi membawa reformasi untuk melahirkan sebuah negara yang benar-benar
adil, saksama dan demokratik.
Selain itu, dalam menghadapi kegelisahan
rakyat, pemerintahan BN dengan jelasnya telah memperalatkan sentimen perkauman.
Mereka cuba menimbulkan rasa syak wasangka di kalangan pelbagai kelompok
kaum dan melaga-lagakan satu kelompok kaum dengan yang lainnya. Malah,
BN terus menerus menggembar-gemburkan persengketaan kaum di negara-negara
lain yang keadaannya sama sekali berbeza daripada negara ini dan tidak
ada relevannya bagi negara ini. Pemerintahan BN juga memfitnah parti alternatif
sebagai agen kuasa asing. Sedangkan merekalah yang mendakwa bahawa pelabur
asing akan lari tanpa BN kononnya kerana tidak yakin pada parti alternatif.
Rakyat tidak mudah tertipu oleh mereka yang sudah lama bersubahat dengan
kuasa asing dari Barat dan Timur. Sekarang, BN cuba memomokkan kuasa asing
sebagai alasan atas kegagalan BN dari segi pentadbiran ekonomi. Kita bersyukur
kerana permainan jahat ini sudah disedari rakyat dan tidak lagi berkesan.
Barisan Alternatif: Malaysia Yang Adil dan Demokratik
Peristiwa Bersejarah
Kini, telah lahir iltizam yang amat kuat di kalangan rakyat Malaysia
dari pelbagai kaum untuk melaksanakan suatu perubahan besar. Rakyat Malaysia
dari segala lapisan kini telah bertekad untuk melahirkan sebuah sistem
demokrasi:
-
yang jujur, dinamis dan benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat;
-
yang mempunyai sistem berparlimen yang dapat mewakili kepentingan-kepentingan
rakyat jelata;
-
yang mempunyai institusi kehakiman yang benar-benar bebas dan bersih;
-
yang mempunyai angkatan polis yang bersifat profesional, yakni melaksanakan
tugas-tugasnya secara adil dan saksama menurut lunas undang-undang;
-
yang mempunyai media massa yang tidak dibelenggu oleh pihak berkuasa
semata-mata;
-
dengan sifat bertanggungjawab dan ketelusan yang dihargai sebagai ciri
asasi sistem pemerintahan;
-
di mana perbezaan pandangan dan pendapat bukan sahaja dihormati, malah
dimanfaatkan untuk membaiki kesilapan akibat kekurangan faktor insaniah;
dan
-
yang mendukung ekonomi yang dinamis, kukuh, adil dan mampu bersaing
di tahap antarabangsa.
Masyarakat adil dan demokratik yang kita hasratkan itu mestilah dibina
atas asas nilai-nilai rohani dan akhlak yang tersimpul dalam ajaran Islam
dan ajaran-ajaran agama lainnya. Pengamalan Islam sebagai ad-deen
dan penghayatan nilai-nilai kerohanian — baik pada tahap individu maupun
pada tahap masyarakat — adalah benteng yang melindungi kita daripada korupsi,
tamak haloba dan keruntuhan moral. Demi mencapai natijah ini, institusi
keluarga sebagai unit asas masyarakat mesti dimantapkan. Institusi-institusi
sosial lainnya juga akan turut dimantapkan untuk menjadi asas pembinaan
sebuah peradaban moden yang utuh. Sesungguhnya, dalam usaha membina sebuah
bangsa yang berakhlak, perlulah usaha secara sedar untuk menggubal dasar
dan program dalam setiap bidang kehidupan masyarakat yang menerapkan prinsip
akhlak dan kerohanian yang bersifat universal. Di antara prinsip-prinsip
ini, nyatalah bahawa prinsip keadilan mempunyai kedudukan yang utama.
Usaha Kerajaan BN untuk hanya memperjuangkan
prinsip keadilan politik dan ekonomi di peringkat antarabangsa di kalangan
negara-negara di dunia sahaja tidak jujur, konsisten atau menyeluruh. Sepatutnya,
mestilah terdapat iltizam yang lebih untuk menegakkan prinsip dan amalan
keadilan dalam Malaysia ini sendiri. Usaha Malaysia sebagai pejuang keadilan
antarabangsa ditertawakan masyarakat dunia kerana prinsip yang sama tidak
pula diperjuangkan dan dilindungi dalam negara kita sendiri. Sebahagian
daripada perjuangan menegakkan keadilan ini ialah perjuangan mempertahankan
kemerdekaan dan kedaulatan negara kita, meskipun kita senantiasa berusaha
untuk memupuk hubungan yang baik dengan negara-negara lain.
Janji Kami
Dalam memperjuangkan cita-cita melahirkan
negara Malaysia yang adil dengan nilai-nilai akhlak yang luhur, kita menghormati
prinsip-prinsip asasi Perlembagaan Malaysia, iaitu:
-
Kedaulatan perlembagaan;
-
Raja berperlembagaan;
-
Demokrasi berparlimen;
-
Hak-hak kebebasan asasi;
-
Keluhuran undang-undang;
-
Kebebasan kehakiman;
-
Hak dan tanggungjawab kewarganegaraaan;
-
Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,
dan prinsip kebebasan beragama;
-
Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa rasmi, dan hak menggunakan dan mempelajari
bahasa-bahasa lain;
-
Kedudukan istimewa orang Melayu dan
Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum
lain; dan
-
Sistem pemerintahan persekutuan yang
memenuhi tanggungjawabnya, di mana kedudukan istimewa negeri Sabah dan
Sarawak dilindungi dan dihormati.
Maka, kami berikrar akan:
-
bersama dengan perjuangan rakyat untuk
melahirkan negara Malaysia yang makmur dan adil berasaskan sistem pemerintahan
demokratik tulen;
-
melindungi dan mempertahankan hak dan
martabat semua rakyat serta menjamin keadilan untuk semua;
-
melaksanakan usaha sepadu untuk mempertingkatkan
daya pengeluaran ekonomi, memantapkan kecekapan ekonomi, dan menyelaraskan
pengurusan ekonomi demi menyediakan ekonomi negara menghadapi cabaran antarabangsa;
-
menyalurkan sumber-sumber negara, bukan
sahaja untuk memenuhi keperluan asasi rakyat, tetapi yang lebih penting
lagi, untuk memastikan bahawa mutu kehidupan dan kesejahteraan masyarakat
pada umumnya ditingkatkan;
-
mengagihkan kemewahan dan peluang secara
saksama kepada semua;
-
mewujudkan kemudahan sosial yang bermutu
dan persekitaran fisikal yang bersih dan selesa; memantapkan mutu pendidikan,
kesihatan serta perkhidmatan sosial lainnya; membina masjid dan tempat-tempat
ibadah; membina taman-taman dan perpustakaan-perpustakaan awam; membina
pusat-pusat kegiatan budaya dan seni; dan membuka kesempatan seluas-luasnya
untuk memanfaatkan komputer, teknologi maklumat dan cara komunikasi lainnya;
dan
-
mewujudkan suasana yang menggalakkan
— melalui penyediaan prasarana, pendidikan dan perundangan — ke arah penghayatan
Islam sebagai sistem hidup yang menyeluruh (ad-deen)
di kalangan umat Islam, di samping memastikan bahawa hak masyarakat bukan
Islam mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin.
RANCANGAN DAN PROGRAM
Program Kami
Pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional
mengambil kesempatan di sebalik topeng menangani kegawatan ekonomi untuk
menyelamatkan, malah memperluaskan lagi, kepentingan mereka sendiri serta
kroni-kroni mereka.
Mereka memperluaskan lagi kuasa mereka,
terutama sekali terhadap sektor korporat (melalui peristiwa seperti CLOB
dan MPHB), bank (melalui syarat ‘bantuan’ Danaharta dan Danamodal) serta
syarikat niaga saham.
Penyalahgunaan kuasa demikian telah
melambatkan pemulihan ekonomi Malaysia berbanding dengan mangsa lain krisis
ekonomi di rantau ini. Malah, negara-negara jiran yang mengalami krisis
jauh lebih teruk pun kini sedang dalam proses pemulihan, sedangkan asas
ekonomi kita sebelum krisis jauh lebih baik berbanding mereka.
Namun, cabaran ekonomi yang terbesar
bukan sahaja sekadar pemulihan setelah krisis. Cabaran utama sebenarnya
ialah pembentukan rangka pembangunan dan pengawasan nasional untuk masa
depan, memandangkan sistem ekonomi antarabangsa yang sudah wujud dan akan
berkembang.
Oleh yang demikian, Barisan Alternatif
akan membentuk dasar baru untuk menggalakkan pelaburan dan pertumbuhan
dalam rangka liberal dan fleksibel, yang dilengkapi dengan rangka pengawasan
yang berpatutan untuk menggalakkan pelaburan dan pertumbuhan tanpa mengorbankan
kepentingan jangka panjang negara. Masa depan Malaysia akan bergantung
kepada penglibatan yang bijak dalam ekonomi global. Tetapi, Malaysia juga
memerlukan rangka pengawasan untuk mengelak daripada menjadi mangsa kuasa
pasaran modal global, bukan kerana spekulasi antarabangsa sahaja, tetapi
juga kerana faktor tempatan, seperti kegunaan modal secara tidak cekap
dan produktif, dan campurtangan pemerintah secara tidak telus demi kepentingan
tertentu.
Untuk memulihkan ekonomi dan mencapai
pertumbuhan ekonomi yang mantap lagi mampan, semua sumber ekonomi patut
digemblengkan. Suatu rangka pelaburan menarik, yang dapat menjaga kepentingan
rakyat dan negara, akan disediakan. Retorik kosong Mahathir (sebenarnya,
‘cakap tak serupa bikin’) menjelang pilihanraya telah menjejaskan pelaburan
asing yang baru dan juga perusahaan pelancongan, serta kepentingan rakyat
yang bergantung terhadap kedua-duanya.
Ekonomi dunia kian berubah dengan
pesat. Kita mesti menangani perubahan ini dengan bijak kerana ekonomi kita
amat terbuka. Kami menjamin bahawa Barisan Alternatif akan tetap bersikap
bertanggung jawab dan tidak akan mengubah peraturan dan suasana sesuka
hati tanpa menghiraukan kesannya, terutama sekali terhadap nasib rakyat
dan kepentingan nasional. Sementara itu, kami juga akan mengambil tindakan
yang wajar untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul daripada kekurangan
dan kegagalan pasaran tempatan dan global. Khususnya, kami berjanji mengambil
tindakan untuk perbetulkan berbagai herotan yang muncul akibat pertumbuhan
pesat yang tidak seimbang dalam dekad sebelum dilanda kegawatan ekonomi.
Justeru itu, Barisan Alternatif akan
membentuk Majlis Perundingan Ekonomi dan Sosial untuk menggemblengkan bakat-bakat
profesional sektor swasta maupun sektor awam serta masyarakat umum untuk
mencapai muafakat dan sokongan penuh akan dasar yang dibentuk mengikut
kepentingan negara dan rakyat.
Sasaran utama dasar tersebut ialah
menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi teknologi tinggi (hi-tech) dan ekonomi
maklumat dan ilmiah (information and knowledge economy) sambil terus memajukan
sektor-sektor tradisional seperti pertanian dan perindustrian. Sebagai
sebuah negara yang kecil dengan bilangan penduduk yang kecil, inilah satu-satu
jalan kita dapat berjaya dalam ekonomi global pada masa akan datang. Fleksibiliti,
kecerdasan dan kecergasan dalam sektor perkhidmatan sedunia, bukan industri
berat a la Mahathir yang gagal, yang akan menjamin kedudukan dan masa depan
negara dalam alaf baru.
Sasaran ini memerlukan masyarakat
yang mempunyai tahap keilmuan, kecerdasan berfikir serta kreativiti yang
tinggi.
Ia berkait rapat dengan pembentukan
sebuah negara yang benar-benar demokratik dan adil, kerana itulah prasyarat
untuk membebaskan potensi individu dan negara. Ia memerlukan pendekatan
baru dan menyeluruh terhadap pendidikan. Ia memerlukan individu yang mampu
mengawasi dan mendisiplinkan diri, bukan hanya sekadar menunduk kepada
perintah atau sekadar akur hanya apabila diawasi dan dikawal. Malah, kemampuan
mengawasi dan mendisiplinkan diri adalah asas akhlak dalam era teknologi
maklumat, kerana itu sahaja yang mampu menangkis pengaruh, nilai dan kegiatan
yang negatif.
Sementara itu, perkembangan antarabangsa
jelas membuktikan bahawa ekonomi global yang sedang muncul tiada belas
kasihan dan akan mendatangkan kesan buruk dari segi memperluaskan jurang
pendapatan di dalam negeri dan di antara negara.
Kami ingin menghalang gejala ini,
juga amat prihatin akan keperluan rangka sosial supaya membantu rakyat
menghadapi cabaran ini melalui usaha pendidikan, latihan dan kebajikan
yang serius dari awal-awal lagi.
Rancangan Bertindak
Berdasarkan prinsip-prinsip yang
telah dihuraikan dalam Muqadimah di atas, maka kami kemukakan, secara lebih
terperinci, perkara-perkara utama yang patut dilaksanakan oleh kerajaan
negara ini. Langkah-langkah permulaan untuk membangunkan sistem pemerintahan
yang demokratik, telus, bertanggungjawab (accountable), serta berakhlak
untuk menyediakan suasana di mana ekonomi kita boleh pulih kembali dengan
lebih teguh, mantap dan mampan, rakyat boleh hidup dengan makmur, bebas
dan sentosa, dan tanahair kita benar-benar disegani dunia.
Oleh itu, dalam penggal parlimen
nanti, kami bercadang mengambil langkah-langkah tertentu bersesuaian dengan
alaf baru demi:
-
mengukuhkan ekonomi negara;
-
meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti
pentadbiran;
-
mewujudkan kontrak sosial baru;
-
memupuk perpaduan nasional;
-
membina demokrasi tulen; dan
-
memulihkan imej dan kedudukan Malaysia
di pentas dunia
Secara am, sasaran jangka panjang kami
ialah sebuah masyarakat maju yang adil
-
yang memenuhi potensi insan dari segi
jasmani, mental dan rohani;
-
yang matang dari segi politik;
-
yang bersifat penyayang;
-
yang kreatif;
-
yan mempunyai nilai dan orientasi hidup
yang seimbang;
-
yang benar-benar menyumbang kepada kebangkitan
semula Asia dalam ertikata yang menyeluruh, bukan hanya ekonomi dan teknologi.
1. Mengukuhkan Ekonomi
1.1. Kurangkan beban rakyat
Kami ingin mengurangkan beban ke
atas rakyat. Maka, langkah-langkah di bawah perlu diambil oleh pemerintah:
1.1.1. Kurangkan beban cukai
-
Meningkatkan paras pendapatan yang dikecualikan
cukai ke RM12,000 setahun di samping meningkatkan elaun anak-anak ke paras
yang munasabah;
-
Meningkatkan paras pengecualian cukai
pendapatan untuk isteri yang bertugas sebagai surirumah sepenuh masa sebagai
tanda penghargaan akan sumbangan besar mereka;
-
Meningkatkan paras pengecualian cukai
khidmat kepada jumlah niaga sejuta ringgit setahun;
-
Menyemak semula sistem percukaian negara
secara keseluruhannya, dengan tujuan untuk memperkukuhkan hasil kerajaan
sambil mengurangkan beban cukai terhadap rakyat, terutamanya mereka yang
berpendapatan rendah dan sederhana.
1.1.2. Hapuskan kemiskinan mutlak
-
Menghapuskan kemiskinan mutlak dalam
jangka masa separuh penggal;
-
Mengurangkan kadar kemiskinan dalam
jangka masa satu penggal kepada paras separuh daripada kadar kemiskinan
pada tahun 1999;
-
Membaiki dasar serta rancangan pembasmian
kemiskinan supaya dibebaskan daripada campurtangan politik dan benar-benar
membantu golongan termiskin;
-
Menyelaraskan berbagai program pembasmian
kemiskinan yang sedia ada;
-
Mengurangkan jurang pendapatan serta
kekayaan di kalangan rakyat Malaysia tanpa menjejaskan hak sah semua rakyat.
1.1.3. Bantu peniaga kecil dan penjaja
-
Menamatkan amalan pelesenan peniaga
kecil dan penjaja sebagai sumber pendapatan negara dan sebagai alat politik
kepartian, sebaliknya menggunakan sistem pelesanan hanya untuk pengurusan
dan pemantauan demi menjamin keselesaan dan kesihatan rakyat, peniaga kecil
dan penjaja;
-
Menyediakan infrastruktur dan kemudahan
yang selesa, bersih dan menarik bagi penjaja.
1.1.4. Baiki perkhidmatan pengangkutan awam
-
Membaiki mutu perkhidmatan pengangkutan
awam dan mengurangkan kadar tambang pada keseluruhannya supaya sesuai dengan
taraf hidup rakyat;
-
Memberi permit teksi kepada pengusaha-penguasaha
individu dan koperasi mereka, bukan lagi kepada syarikat besar;
-
Meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan
teksi oleh pengusaha individu melalui pembentukan koperasi, persatuan,
majlis dan sebagainya untuk menghasilkan sistem pengangkutan teksi yang
teratur;
-
Menurunkan kadar tambang penerbangan
domestik antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak demi mendorong
integrasi nasional dan pelancongan dalam negeri;
-
Memodenkan dan mempertingkatkan perkhidmatan
keretapi di Semenanjung Malaysia;
-
Memajukan sistem jalanraya di Sabah
dan Sarawak;
-
Memberi perhatian yang lebih serius
terhadap masalah kemalangan dan bahaya lalu lintas dengan menyediakan kemudahan
serta peraturan sesuai yang dapat menjamin keselamatan orang ramai;
-
Mengkaji kemungkinan cara pengangkutan
awam baru di bandar-bandar utama di Malaysia untuk membaiki mutu hidup
di bandar;
-
Mengadakan perkhidmatan pengangkutan
bas-bas sekolah yang lebih teratur dan menasabah dari segi tambang untuk
meringankan beban kepada ibu-bapa.
1.2. Pertumbuhan Dinamik dan Adil
Supaya ekonomi kita lebih dinamis
dan untuk meningkatkan daya saing kita di pasaran global, kita perlu juga
pertingkatkan permintaan domestik serta pelaburan domestik yang produktif,
bukan membazir. Maka, kami akan:
-
Mengkaji semula rangka pengawasan yang
sedia ada, dengan tujuan mengatasi kekurangannya;
-
Memastikan sektor swasta berteraskan
etika pengurusan korporat, sedangkan sektor perbankan dan kewangan tidak
disalahgunakan dan senantiasa diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab;
-
Mengutamakan projek-projek yang menjana
manfaat yang paling besar kepada rakyat seperti projek-projek perumahan
kos sederhana dan rendah, projek memodenkan sistem keretapi, projek jalanraya
di negeri Sabah dan Sarawak, dan sebagainya;
-
Menghentikan projek-projek mega seperti
Empangan Bakun dan Empangan Sungei Selangor yang membazir, memusnahkan
alam sekitar dan tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat;
-
Mempertingkatkan peluang ekonomi yang
saksama bagi semua rakyat, dengan memberikan perhatian khusus dan bantuan
khas kepada golongan yang dhaif, dan sokongan yang cekap untuk inisiatif
usahawan tempatan, terutamanya usahawan kecil dan sederhana;
-
Memastikan pembangunan ekonomi seimbang
lagi mampan, dan tidak menjejaskan keutuhan sosial atau memusnahkan alam
sekitar dan sumber alam;
-
Memastikan rakyat miskin atau kurang
berada di kampung-kampung tradisi, kampung-kampung baru dan ladang-ladang
diserap ke dalam arus utama pembangunan negara menerusi rancangan pembangunan
khas serta memberikan punca pendapatan lebih baik, pekerjaan dan milik
tanah kepada mereka.
-
Memastikan bahawa hak istimewa tidak
disalahgunakan untuk memberi kemewahan kepada segelintir suku-sakat orang
berkuasa.
1.2.1. Memantapkan perindustrian
Walaupun perindustrian di Malaysia
agak maju, kemampuan industri Malaysia masih agak ketinggalan dan kurang
diberi perhatian dan sokongan sewajarnya. Kemampuan industri Malaysia masih
tidak seimbang dan harus diutamakan dengan dasar serta institusi yang sesuai
memandangkan masalah serta cabaran yang dihadapi. Maka, kami akan:
-
Memodenkan ekonomi dan membanyakkan
industri dengan daya pengeluaran tinggi bagi meningkatkan daya saing ekonomi
negara dan menggalakkan eksport yang bernilai tinggi;
-
Mengatasi kelemahan teknologi industri
kita yang memperlihatkan jurang yang agak luas di antara yang agak mundur
dengan yang paling canggih;
-
Memastikan bahawa projek-projek besar,
termasuklah projek-projek industri berat, dirancang secara sepadu dan selaras
dengan pelan induk perkembangan industri yang menasabah;
-
Memberi insentif serta sokongan lebih
untuk industri kecil dan sederhana.
-
Menggalakkan lagi — melalui sekim insentif
yang tepat — hubungan antara industri tempatan, khususnya perusahaan kecil
dan sederhana, dengan syarikat-syarikat besar antarabangsa untuk meningkatkan
pemindahan teknologi kepada industri tempatan serta kegunaan input tempatan;
-
Menyokong usahawan tempatan dan menggalakkan
perkembangan kemahiran serta kemampuan sumber manusia tempatan tanpa menolak
kemahiran luar;
-
Menggunakan modal, kepakaran, pasaran
dan teknologi luar dengan bijaksana demi memperkukuh asas-asas ekonomi
tempatan;
-
Meningkatkan peranan sains dan teknologi
demi kemajuan, dan memantapkan pendidikan sains asas di samping kemudahan
latihan teknikal yang sesuai;
-
Meningkatkan dan mempercekapkan peruntukan
kewangan serta perangsang lain untuk penyelidikan dan pembangunan sains
dan teknologi.
1.2.2. Mengukuhkan pertanian dan perikanan kecil dan
sederhana
Kebelakangan ini, BN telah melupakan
pentingnya sektor pertanian pada keseluruhannya, dan nasib serta masalah
pekebun kecil khasnya. Kami akan perbetulkan ini dengan tumpuan yang wajar
kepada sektor asas ini, yang sebenarnya telah menyelamatkan ekonomi Malaysia
ketika kegawatan ekonomi melanda. Oleh kerana itu, Malaysia perlu:
-
Mengutamakan pembangunan pertanian untuk
meningkatkan pengeluaran makanan demi keselamatan dan kestabilan negara;
-
Mempertingkatkan penyelidikan pertanian,
khususnya teknologi tinggi, makanan serta kegunaan industri hasil tanaman
di Malaysia;
-
Menggubal undang-undang demi melindungi
kepelbagaian alam (biodiversity) dalam bidang pengeluaran pertanian dan
perhutanan, serta mempertingkatkan penyelidikan kegunaan industri bahan
kepelbagaian alam;
-
Mengkaji semula rancangan-rancangan
FELDA, FELCRA, RISDA, MAJUIKAN serta badan-badan kemajuan pertanian dan
perikanan lainnya untuk membaiki pengurusan dan
teknologinya demi memanfaatkan para peneroka, petani dan nelayan;
-
Menyusun semula monopoli pemerintah
yang menelan sumber ekonomi kerajaan supaya menjadi badan yang lebih cekap,
berkesan dan sesuai dengan pasaran;
-
Melaksanakan dengan tegas undang-undang
pengasingan kawasan perikanan supaya melindungi nelayan kecil daripada
pencerobohan bot besar dan pukat yang merosakkan punca perikanan tepi pantai;
-
Membangunkan lebih banyak tanah terbiar
untuk meningkatkan pembangunan pertanian.
1.2.3. Teknologi dan ekonomi maklumat untuk semua
Rakyat Malaysia menyedari teknologi
maklumat (IT) telah muncul dengan cepat sebagai bidang yang amat penting
dan dinamik dalam ekonomi global, sedangkan pimpinan Mahathir telah banyak
memberi perhatian kepadanya. Akan tetapi, masih terdapat beberapa jurang
yang amat luas, misalnya di antara bandar dan luar bandar, yang mesti diatasi
supaya kita tidak akan ketinggalan zaman dengan kesan yang malang bagi
mereka yang tertinggal.
Oleh demikian, kami akan berusaha:
-
Mempercepatkan penyambungan infrastruktur
telekomunikasi ke seluruh pelusuk negara dan mengurangkan kos penggunaannya
bagi rakyat jelata;
-
Mengembangkan pendidikan teknologi maklumat
(IT) di semua sekolah dari sekolah rendah;
-
Merancang semula pengenalan teknologi
maklumat (IT) kepada masyarakat umum dengan lebih berkesan;
-
Melancarkan program ‘satu kampung, satu
pusat IT’ dengan memberi insentif yang wajar untuk menggalakkan penyebaran
kemudahan teknologi maklumat di pekan kecil dan di luar bandar;
-
Mewajibkan perancangan infrastruktur
teknologi maklumat di semua skim perumahan yang baru, termasuk rumah kos
murah dan sederhana, dan memodenkan infrastruktur ini di kawasan perumahan
sedia ada dengan cara yang paling cekap;
-
Berunding dengan pengeluar perisian
untuk mendapat perisian yang murah untuk pasaran tempatan.
1.2.4. Utamakan perusahaan kecil dan sederhana
Perusahaan kecil dan sederhana boleh
memainkan peranan yang penting, bukan hanya untuk pemulihan ekonomi, malah
dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa. Akan tetapi, amatlah ketara
rangka institusi kini perlu dirombak semula supaya benar-benar menyokong
pembangunan dan perkembangan perusahaan ini. Banyak insentif perlu diberi
untuk menggalakkan peningkatan secara berterusan teknologi pengeluaran
dan perkhidmatan perusahaan kecil dan sederhana serta daya pengeluaran
mereka. Sehubungan ini, kita perlu:
-
Menubuhkan dana pelaburan yang dijamin
oleh kerajaan untuk pembangunan perusahaan kecil dan sederhana yang diperuntukkan
mengikut prestasi, bukan pilih kasih politik.
1.2.5. Merombak rangka dasar penswastaan
Cukup ketara bahawa dasar penswastaan
Barisan Nasional dan pelaksanaannya telah banyak diselewengkan demi menguntungkan
segelintir orang dengan pendekatan pilih kawan (kronisme) dan pilih keluarga
(nepotisme). Melalui penyelewengan demikian, monopoli swasta telah menggantikan
monopoli awam sehingga rakyat dibebankan dengan harga yang terus meningkat.
Rangka pengawasan yang sepatutnya melindungi kepentingan awam hampir tiada
atau pun tidak berkesan.
Penswastaan boleh digunakan secara
berhati-hati demi pembangunan negara, tetapi dasar penswastaan serta pelaksanaannya
perlu dirombak. Kalaulah sektor swasta boleh mengurus perkhidmatan dan
memajukan projek dengan lebih cekap dan menarik modal yang kekurangan,
sektor swasta boleh dijemput mengambilalihnya daripada sektor awam asalkan
kepentingan awam tidak dikorbankan, seperti berlaku di bawah BN. Kemudahan
awam yang bersifat monopoli tidak patut dibenarkan menjadi monopoli swasta.
Di bawah BN, faedah daripada penswastaan dibolot oleh kroni pemimpin-pemimpin
tertentu, sedangkan hanya sedikit faedah yang tumpah kepada rakyat atau
pun sektor awam. Kami berjanji:
-
Menggantikan dasar penswastaan kini,
yang mengandungi unsur udang di sebalik batu, dengan dasar penswastaan
telus yang dapat memelihara kepentingan pengguna serta pekerja, dan menjamin
hak rakyat. Oleh yang demikian, kami akan memastikan bahawa butir-butir
semua kontrak penswastaan diumumkan kepada orang ramai;
-
Memastikan bahawa dasar penswastaan
memanfaatkan masyarakat, dan bukan lagi sekadar menggantikan monopoli awam
dengan monopoli swasta;
-
Memastikan bahawa segala kemudahan dan
perkhidmatan awam yang asasi — seperti air, pendidikan, kesihatan dan perumahan
rakyat — hanya diperbadankan atau dikorporatkan demi membaiki pengurusan,
tetapi tidak diswastakan;
-
Memastikan bahawa perusahaan awam yang
telah pun diswastakan akan diawasi dengan rapi untuk memelihara kepentingan
rakyat (perusahaan yang telah pun diswastakan tidak akan dihakmiliknegarakan
kerana kami akan patuh kepada undang-undang negara; namun, kontrak yang
tidak sah boleh dimansuhkan demi kepentingan rakyat dan negara);
-
Membentuk sebuah Suruhanjaya Bebas untuk
mengkaji dan mengaudit semua projek besar yang telah diswastakan untuk
memastikan manfaatnya kepada rakyat.
1.2.6. Memantapkan Sistem Kewangan
Malaysia mesti menyediakan rangka
yang perlu untuk mengurus sistem kewangan kita dengan lebih baik supaya
dapat mengambil tempatnya bersama negara-negara lain dalam masyarakat kewangan
antarabangsa. Maka itu, kami akan membatalkan langkah-langkah kawalan modal
1 September 1998 dan menggantikannya dengan sistem baru untuk mengawasi
pengaliran kewangan supaya dapat mengelak krisis 1997-8 daripada berulang.
Kami akan memperkemaskan sistem kewangan
dalam negeri supaya:
-
bersifat adil, telus, bertanggungjawab
serta tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam;
-
menyalurkan pelaburan dan kemudahan
kredit ke bidang yang produktif, bukan ke bidang spekulatif;
-
memulihkan imej, prestij dan kewibawaan
Bank Negara;
-
memastikan perbelanjaan persekutuan
disalurkan terutamanya untuk mempertingkatkan taraf hidup golongan miskin,
serta kawasan desa dan pendalaman yang masih terpinggir.
Sistem percukaian juga akan diteliti
dengan tujuan menggunakannya untuk menggalakkan para pengguna dan pengusaha
industri supaya lebih peka terhadap pemeliharaan alam sekitar serta perkara-perkara
lain yang diingini dari segi kepentingan negara. Antara perkara yang akan
diberi perhatian ialah percukaian terhadap untung spekulasi, pengurangan
beban cukai pendapatan upah, gaji dan dividen, dan percukaian terhadap
sumber-sumber alam untuk menggalakkan penggunaannya yang cermat.
2. Meningkatkan Ketelusan dan
‘Accountability’
2,1. Ke arah politik yang demokratik
dan adil
Keperluan proses pemerintahan yang
lebih demokratik amat mendesak. Ketelusan serta akauntabiliti (accountability)
perlu diterapkan ke dalam semua aspek pentadbiran kerajaan, tanpa mengganggu-gugat
kelicinan pentadbiran.
Kami akan menggalakkan pengagihan
kuasa sehingga ke peringkat tempatan supaya lebih melibatkan kerajaan negeri
dalam pembangunan negeri masing-masing, sambil menghidupkan kembali penyertaan
rakyat dalam pemilihan kerajaan tempatan seperti majlis perbandaran, dan
sebagainya. Selain itu, kami berikrar melakukan perkara-perkara di bawah:
-
Memperkuatkan kewibawaan Parlimen melalui
penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa tetap yang terdiri dari semua parti
yang diwakili dalam Parlimen dengan kuasa menamakan Peguam Negara, Hakim
Negara dan Hakim-Hakim lain, Ketua Polis Negara dan Gabenor Bank Negara
yang akan dilantik oleh DYMM Yang di Pertuan Agong di bawah Perlembagaan;
-
Menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana
Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal pada masa hadapan;
-
Menjamin kebebasan media supaya dapat
mengawasi dan mendedahkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa jika berlaku;
-
Melaksanakan secara tegas semua undang-undang
yang kini mewajibkan mendengar pandangan orang awam (public hearing) sebelum
sesuatu projek dilaksanakan atau peraturan dipinda, seperti Akta Perlindungan
Alam Sekitar, pindaan kepada taksiran nilai hartanah, dll.;
-
Mengkaji semula kaedah pemilihan anggota
Dewan Negara dengan tujuan memperkenalkan kaedah yang mencerminkan kepentingan
seluruh rakyat;
-
Memperkenalkan semula sistem pilihanraya
bagi kerajaan tempatan supaya pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi
dapat menegakkan prinsip akauntabiliti;
-
Memperkenalkan sistem hisbah (ombudsman)
sebagai badan pengaduan awam yang bebas lagi berkesan;
-
Melindungi, melalui undang-undang, individu
atau kumpulan, yang mendedahkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan
rasuah, terutamanya di peringkat atasan.
-
Menjadikan Badan Pencegah Rasuah (BPR)
sebagai sebuah badan bebas yang dilindungi oleh perlembagaan dan bertanggungjawab
terus kepada Parlimen; BPR mestilah diketuai oleh tokoh yang berwibawa;
-
Mewajibkan pengisytiharan harta wakil-wakil
rakyat dilakukan secara terbuka pada setiap tahun;
-
Meningkatkan kewibawaan Suruhanjaya
Pilihanraya (SPR) dengan memberikan kuasa penuh perlantikan Pengerusi serta
anggota-anggota lain SPR kepada Parlimen melalui proses ‘open hearing’;
-
Membersihkan daftar pemilih supaya bebas
daripada ‘pengundi hantu’, ‘pengundi bertindih’, dan warganegara asing;
-
Mengurangkan had umur mengundi bagi
warganegara Malaysia kepada 18 tahun dan menjamin pendaftaran semua warganegara
secara otomatik sebagai pengundi yang sah.
2.2. Pulihkan kewibawaan perundangan
dan kehakiman
Dalam beberapa tahun ini, pucuk pimpinan
pemerintah sekarang telah melemahkan kepercayaan umum terhadap kewibawaan
perundangan dan kehakiman di negeri ini. Untuk memulihkan kewibawaan ini,
kami berikrar akan melaksanakan perkara-perkara berikut:
-
Membentuk sebuah Suruhanjaya DiRaja
untuk mengkaji semula sistem kehakiman dan pentadbiran undang-undang negara,
dan membuat syor-syor wajar untuk dilaksanakan, termasuk syor-syor untuk
menjamin kebebasan kehakiman, perlantikan dan pemecatan hakim dan penyalahgunaan
undang-undang menghina mahkamahMemulihkan imej dan kedudukan Polis DiRaja
Malaysia dengan menubuhkan satu jawatankuasa tetap sebagai Suruhanjaya
Polis yang bebas untuk menerima dan mempertimbangkan rayuan rakyat jelata
berkenaan kelakuan polis;
-
Memastikan bahawa Peguam Negara tidak
boleh menjadi ahli yang turut mengundi dalam membuat keputusan Lembaga
Pengampunan, tetapi hanya menjadi sumber nasihat dan maklumat untuk lembaga
tersebut;
-
Mengasingkan perkhidmatan perundangan
dan kehakiman, supaya kedua-duanya tidak sekali gus dikuasai oleh Peguam
Negara;
-
Menjamin sistem ‘checks-and-balances’
dengan meminda segala undang-undang yang kini menidakkan kuasa penilaian
semula kehakiman (judicial review), termasuk undang-undang seperti Akta
Mesin Cetak dan Penerbitan, dll.;
-
Mengkaji semula kedudukan, pentadbiran
dan perlaksanaan undang-undang syariah bagi menjamin perlaksanaan keadilan
dan melindungi aqidah umat Islam.
2.3 Pulihkan kewibawaan perkhidmatan
awam
Anggota perkhidmatan awam negara
mempunyai kebolehan dan profesionalisme yang tinggi.
Di bawah Kerajaan Barisan Nasional,
terutamanya kebelakangan ini, potensi penuh perkhidmatan awam tidak tercapai.
Sebaliknya, semangat anggotanya semakin merosot kerana perkhidmatan awam
telah dipolitikkan dengan berbagai cara sehingga menjejaskan profesionalisme
anggotanya. Budaya mengiyakan pemimpin politik digalakkan sehingga menggantikan
budaya integriti dan berkhidmat demi kepentingan awam.
Perkhidmatan awam memerlukan perubahan
paradigma dan harus diberi peranan yang berpatutan untuk mengurus pembangunan
dan pentadbiran negara tanpa diganggu oleh politik
kepartian.
Demi itu, kami
berjanji akan:
-
Memulihkan kewibawaan perkhidmatan awam,
dengan memanfaatkan sepenuhnya kepakaran dan pengalaman yang terdapat di
kalangan para anggota perkhidmatan awam;
-
Mengganggap anggota perkhidmatan awam
sebagai pasangan yang setaraf dalam usaha membangunkan negara;
-
Mengadakan reformasi sektor awam yang
perlu demi meningkatkan kecekapannya dan menaikkan semangat dan etika bekerja
dengan memperbaiki keadaan bekerja dalam sektor awam;
-
Berusaha menghapuskan jurang dari segi
syarat perkhidmatan di antara sektor awam dan sektor swasta, terutamanya
di kalangan mereka yang mempunyai kelayakan yang sama dan melaksanakan
tugas yang sama;
-
Mengurangkan jurang pendapatan antara
peringkat tertinggi dan peringkat pertengahan dan bawah sebagai teladan
bagi sektor swasta;
-
Menggalakkan anggota perkhidmatan awam
menunjukkan iltizam yang baru demi berkhidmat untuk rakyat dan negara,
bukan untuk pemimpin politik.
3. Kontrak Sosial Menuju Alaf Baru
Keghairahan Kerajaan BN memajukan
projek ‘mega’ dan menswastakan kemudahan-kemudahan sosial telah mengenepikan
kepentingan dan keperluan rakyat jelata. Maka, perlu dijalin satu ‘kontrak
sosial’ baru antara pemerintah dan rakyat - yang akan mengutamakan keperluan
dan kepentingan rakyat pada masa depan. Kami menganggap hak mendapat perumahan,
pendidikan dan kesihatan sebagai hak asasi rakyat jelata
3.1. Pendidikan
Pengiktirafan rakyat Malaysia terhadap
pentingnya pendidikan merupakan suatu kekuatan nasional. Sikap ini boleh
menjamin masa depan rakyat masing-masing dan negara keseluruhannya.
Pendidikan yang luas juga merupakan
satu cara utama untuk mengurangkan jurang sosio-ekonomi, di samping menyediakan
rakyat untuk menghadapi cabaran masa depan dan globalisasi.
Sekolah dan institusi pengajian tinggi
telah dibangunkan di seluruh negara dan telah berjaya mendidik ramai orang,
tetapi malangnya, ramai lagi yang tidak berpeluang melanjutkan pendidikan
mereka sehingga memenuhi potensi masing-masing..
Di samping itu, semua warga institusi
pengajian menyedari kelengkapan serta mutu pendidikan dalam negeri semakin
merosot, sedangkan semangat guru-guru sekolah dan pensyarah institusi pengajian
tinggi semakin lemah.
Kemerosotan ini mesti dihentikan
dan pembangunan sepadu - yang merangkumi peruntukan serta kurikulum - mesti
diutamakan. Penglibatan guru-guru dan pensyarah dalam proses pengurusan
amat perlu untuk meningkatkan semangat mengajar.
Masalah utama kini ialah sikap Kerajaan
BN, yang mahu menswastakan pendidikan dan menganggap pendidikan sebagai
satu lagi cara mengaut keuntungan, iaitu sebagai satu jenis perniagaan.
Falsafah dan orientasi institusi pendidikan swasta harus disesuaikan dengan
kepentingan awam untuk mengutamakan cita-cita pendidikan, bukan keuntungan
semata-mata - seperti berlaku di banyak negara lain.
Maka, kami bercadang mengambil langkah-langkah
berikut sebagai langkah permulaan ke arah sebuah sistem yang memenuhi keperluan
dan hasrat rakyat untuk pendidikan, serta kepentingan negara dan masyarakat:
-
Menegaskan bahawa pendidikan merupakan
tanggungjawab asasi negara, meskipun sistem pendidikan swasta dibenarkan;
-
Sebuah Majlis Perundingan Pendidikan
Kebangsaan akan ditubuhkan untuk memastikan penghayatan Falsafah Pendidikan
Negara dan perlaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan secara berkesan dan
adil;
-
Menghentikan segala usaha ke arah penswastaan
institusi pengajian tinggi awam dan mengkaji semula pelaksanaan dasar pengkorporatan
supaya memastikan ia berpegang kepada prinsip pendidikan dan bukan keuntungan
kewangan;
-
Memperuntukkan perbelanjaan pendidikan
supaya lebih seimbang dan adil dan tiada golongan yang diabaikan;
-
Mengagihkan lebih biasiswa dan bantuan
pendidikan lain berdasarkan keperluan;
-
Memperbanyakkan kemudahan taska dan
tadika, terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah;
-
Menjamin terdapatnya pendidikan wajib
yang percuma untuk peringkat sekolah rendah dan menengah rendah;
-
Meningkatkan mutu dan kemudahan sekolah
di kawasan pendalaman, terutamanya di Sabah dan Sarawak;
-
Mengkaji semula sekim perkhidmatan guru
serta memperkenalkan insentif tambahan untuk berkhidmat di kawasan pendalaman;
-
Menaikkan taraf latihan guru untuk semua
peringkat sekolah dan meningkatkan bilangan guru yang dilatih selaras dengan
permintaan;
-
Memperbanyakkan peluang latihan lanjutan
untuk guru dan pensyarah supaya sentiasa kemaskini dari segi pengetahuan
dan kemahiran mereka masing-masing;
-
Memantapkan mutu dan kedudukan Bahasa
Melayu sebagai bahasa perantaraan di kalangan rakyat;
-
Menggalakkan dan mengembangkan Bahasa
Melayu sebagai bahasa sastera dan budaya yang dinamik, yang diterima dan
digunakan oleh semua kaum di Malaysia;
-
Menjamin hak mempelajari bahasa ibunda
seperti Cina, Tamil, Iban, Kadazandusun dan lain-lain di sekolah dan membaiki
pelaksanaan peraturan dasar bahasa ibunda supaya lebih cekap, bermutu dan
peka terhadap permintaan ibu-bapa; guru bahasa ibunda yang terlatih mesti
disediakan oleh sekolah kerajaan kalau terdapat sekurang-kurangnya sepuluh
anak murid yang menghendaki guru bahasa berkenaan dan latihan guru bahasa
ibunda akan ditingkatkan di kolej latihan guru dan di institusi pengajian
tinggi awam;
-
Mengekalkan aliran bahasa pengantar
di peringkat sekolah rendah seperti yang wijud pada masa kini, di samping
menggalakkan integrasi di kalangan para pelajar yang terdiri daripada pelbagai
kaum, misalnya menerusi kegiatan ko-kurikulum;
-
Menambahkan jumlah dan kemudahan sekolah
bahasa ibunda sesuai dengan permintaan;
-
Memajukan pengajaran serta pembelajaran
bahasa-bahasa antarabangsa, terutamanya bahasa Inggeris dan bahasa Arab
mengikut keperluan dari semasa ke semasa;
-
Meningkatkan mutu dan kemudahan yang
terdapat di sekolah rendah dan menengah agama;
-
Memperkukuhkan kedudukan institusi pengajian
tinggi awam (IPTA) yang sedia ada dan meningkatkan prestasi mereka;
-
Memperbanyakkan bilangan IPTA secara
teratur supaya tidak melemahkan IPTA yang sedia wujud untuk membolehkan
mereka menerima pelajar-pelajar yang layak dengan yuran pengajian yang
paling minima atau percuma;
-
Memperluaskan skim biasiswa dan pinjaman,
terutamanya untuk pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan
sederhana;
-
Menjamin otonomi universiti dan institusi
pengajian tinggi serta mutu mereka dengan membentuk Suruhanjaya Universiti
yang akan menyelia pengurusan semua universiti, dan meminda AUKU supaya
menegakkan hak asasi masyarakat akademik, termasuk siswa-siswi;
-
Mengadakan saluran TV pendidikan untuk
melengkapi pendidikan formal dan untuk menggalakkan pendidikan berterusan
sepanjang umur, dengan bantuan sektor korporat swasta dan institusi-institusi
pendidikan awam dan swasta;
-
Memperluaskan skop Lembaga Akreditasi
Negara untuk memantau, mengkaji dan mengiktiraf taraf akademik diploma,
ijazah dan sijil peperiksaan di luar sistem pendidikan kebangsaan. Ijazah-ijazah
dari institusi pengajian tinggi Arab, Indonesia, Filipina, Taiwan, India,
Pakistan, China dan negara-negara lain serta sijil-sijil persekolahan tempatan
- seperti Sijil Peperiksaan Sekolah Bebas Bersatu (United Independent Schools
Examination, UISE) - perlu ditimbangkan dari segi taraf akademiknya.
3.2. Kesihatan
Kerajaan Barisan Nasional mempunyai
rancangan pengkorporatan sistem kesihatan awam sebagai langkah ke arah
penswastaan. Rancangan ini dijalankan tanpa perundingan yang wajar dengan
pihak-pihak yang berkenaan, termasuk kakitangan sistem kesihatan dan rakyat
jelata. Setelah dibantah oleh orang ramai, Kerajaan BN terpaksa mengumumkan
pembatalan rancangan asalnya menjelang pilihanraya, tetapi sedang memindakannya
untuk dilaksanakan setelah pilihanraya.
Walhal, Malaysia mempunyai sistem
kesihatan awam antara yang terbaik dan termurah dari segi kecekapan belanjanya
di dunia. Ini telah dicapai dengan peruntukan belanjawan yang sedikit —
pada puratanya, sebanyak 7% daripada perbelanjaan mengurus dan 4% daripada
perbelanjaan pembangunan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh setakat
ini (1996-1999). Tiada sebab kewangan mengapa sistem ini perlu diswastakan
pada ketika ini.
Oleh demikian, pihak-pihak berkuasa
patut mengadakan perundingan dengan semua pihak yang berkenaan tentang
cara-cara terperinci untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan. Demimempertahankan
dan memajukan lagi mutu perkhidmatan ini, kami mencadangkan langkah-langkah
berikut:
-
Menubuhkan Majlis Kesihatan Kebangsaan,
yang bertujuan memelihara kepentingan semua rakyat, untuk memajukan lagi
mutu kesihatan;
-
Membatalkan semua program untuk menswastakan
sistem kesihatan awam;
-
Mengkaji semula — dari segi kos dan
mutu perkhidmatan — segala perkhidmatan kesihatan yang telah diswastakan;
-
Meningkatkan peruntukan perbelanjaan
untuk sektor kesihatan;
-
Merombak sekim perkhidmatan kakitangan
kesihatan kerajaan supaya lebih menasabah memandangkan beban kerja serta
tanggungjawab mereka;
-
Mengekalkan perkhidmatan rawatan kos
rendah untuk semua rakyat;
-
Menubuhkan suruhanjaya untuk mengkaji
kekurangan sistem kesihatan yang sedia ada untuk mengemukakan cadangan
yang perlu untuk memajukan sistem kesihatan sektor awam;
-
Mengawasi perkhidmatan rawatan swasta
untuk mereka yang mampu dan memerlukannya supaya mengurangkan penyelewengan;
-
Mewujudkan pusat kebangsaan kawalan
penyakit bagi melakukan kajian, memantau dan mengawal penyakit-penyakit;
-
Memperbanyakkan peluang pendidikan serta
latihan kepakaran yang berterusan untuk doktor, jururawat dan kakitangan
makmal;
-
Mengkaji untuk mengiktiraf kaedah-kaedah
rawatan complementary (seperti homeopathy dan perubatan tradisional) ke
dalam sistem kesihatan Malaysia;
-
Mempertingkatkan kegiatan-kegiatan promosi
dan pendidikan kesihatan, serta kegiatan-kegiatan pencegahan dan pemantauan
penyakit;
-
Menggalakkan penglibatan kaum wanita
dalam sektor perubatan, termasuk melatih lebih ramai doktor wanita demi
menangani masalah pesakit wanita.
3.3. Perumahan
Perumahan yang selesa pada harga
yang berpatutan merupakan satu keperluan asasi. Keperluan ini makin mendesak
dengan proses perbandaran — kini, hampir 60% daripada penduduk Malaysia
berada di kawasan bandar.
Program pembangunan perumahan kos
rendah dan sederhana Kerajaan Barisan Nasional jelas telah gagal sejak
tahun lapan puluhan. Akibat dasar songsangnya dan amalan spekulasi tanah
yang berlebihan, terdapat penawaran yang berlebihan bagi perumahan pada
harga yang di luar kemampuan golongan pendapatan rendah dan sederhana.
Maka, golongan-golongan ini telah bertahun-tahun menunggu giliran mereka;
antara hasil kehampaan ini ialah fenomena peneroka bandar ("setinggan").
Barisan Alternatif akan menubuhkan
sebuah Perbadanan Perumahan Rakyat dengan tugas memenuhi permintaan perumahan
kos rendah dan sederhana. Program pembinaan ini boleh dikorporatkan dan
kerajaan akan menguruskan peruntukan perumahan. Secara tidak langsung,
program ini akan mengurangkan harga perumahan di pasaran terbuka, yang
akan menguntungkan semua rakyat.
Selagi masalah perumahan tidak selesai,
hak peneroka bandar hendaklah terus diiktiraf. Peneroka bandar berhak mendapat
perumahan alternatif atau pampasan lain yang wajar kalau dikehendaki berpindah
untuk melicinkan pembangunan. Di samping itu, Kerajaan Alternatif akan:
-
Memperbanyakkan rumah kos rendah baik
dan selesa yang dapat memenuhi keperluan asas seisi keluarga dari segi
ruang persekitaran;
-
Menyelesaikan masalah "setinggan" dengan
segera, terutamanya di kawasan bandar, sebaik-baiknya melalui pembangunan
perumahan in situ dan/atau sistem perkongsian tanah (land sharing)
-
Kekerasan dan pemaksaan mesti dielakkan
dalam proses penempatan semula kaum "setinggan". Perundingan hendaklah
dijalankan di antara "setinggan", pemaju dan pihak berkuasa terlebih dulu
untuk menyetujui soal-soal rumah/tanah ganti atau pampasan.
-
Berusaha untuk menyediakan kemudahan
pinjaman yang murah bagi membantu peneroka bandar memiliki rumah sendiri.
-
Kemudahan awam di kawasan rumah pangsa
hendaklah diperbanyakkan untuk menjamin pertumbuhan sahsiah yang seimbang.
3.4 Perkhidmatan Sosial
Kami akan memberi tumpuan yang lebih
kepada keperluan sosial rakyat, terutamanya mereka yang kurang bernasib.
Akan tetapi, ini hanya dapat dilakukan dengan bantuan dan kerjasama daripada
pertubuhan sosial dan komuniti. Maka, kami akan mengeratkan perhubungan
dengan pertubuhan-pertubuhan tersebut dan menggalakkan mereka mengambil
peranan yang lebih besar dengan sokongan daripada kerajaan persekutuan,
negeri dan tempatan.
-
Memastikan bahawa negara menyediakan
perkhidmatan sosial yang menyeluruh, adil dan cekap sebagai salah satu
tanggungjawab asasi kerajaan.
-
Memastikan setiap projek perumahan yang
melebihi saiz tertentu menyediakan kemudahan-kemudahan sosial, seperti
padang, kelab rekreasi awam, perpustakaan dan sebagainya untuk kegunaan
rakyat awam.
-
Mengadakan suatu sistem yang tersusun
lagi menyeluruh untuk melindungi dan membantu kebajikan golongan fakir
miskin, anak yatim, dan ibu atau bapa tunggal.
-
Memastikan bahawa peluang dan hak yang
sama disediakan untuk orang cacat bagi memperoleh kemajuan diri, pendidikan,
kerjaya, penyertaan dalam masyarakat dan kemudahan yang perlu untuk hidup
berdikari di semua kawasan, kemudahan dan bangunan awam.
3.5. Alam Sekitar
Kerajaan BN hanya bercakap manis
tentang alam sekitar dan pembangunan mampan. Walhal, mereka tiada program
untuk pembangunan bestari terhadap sebarang aspek alam sekitar (sama ada
perhutanan, perikanan, perairan dan udara), malah tidak berupaya menggembelingkan
tenaga rakyat untuk memelihara persekitaran hidup mereka. Kebanyakan petunjuk
alam sekitar menunjukkan kemerosotan mutu alam sekitar, walaupun kerajaan
pernah merahsiakan indeks pencemaran udara apabila jerebu bertambah buruk.
Apabila sesuatu yang tidak dikehendaki berlaku, seperti keruntuhan tanah,
pemimpin kerajaan pandai menyalahkan orang ramai, negara jiran, malah Tuhan
juga!.
Bumi adalah anugerah Tuhan kepada
insan. Kadar pemusnahan dan pengurangan sumber alam kini menimbulkan pertanyaan:
Apakah yang akan menjadi pesaka anak-cucu kita? Maka, secara prinsip, pembangunan
tidak harus memusnahkan alam sekitar, dan sebarang impak negatif pembangunan
terhadap alam sekitar mesti diminimakan melalui satu sistem pengurusan
pembangunan yang menyeluruh, kukuh serta berpandangan jauh.
Demi itu, kami berjanji:
-
Menggubal dasar jangka panjang pembangunan
bestari dengan penglibatan semua golongan masyarakat supaya mendapat sokongan
penuh bagi setiap peringkat kerajaan di kalangan badan-badan bukan kerajaan,
parti-parti politik dan masyarakat umum;
-
Meminda Akta Perlindungan Alam Sekitar
supaya sesuatu projek tidak boleh dilaksanakan/dimulakan tanpa kelulusan
Penilaian Impak Alam Sekitar dan Sosial dan komitmen penaja secara bertulis
untuk melaksanakan semua syarat pengurangan impak negatif yang ditetapkan
oleh Jabatan Alam Sekitar, dan mengenalpasti prosedur penyampaian maklumat
dan perundingan di dalam proses Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) supaya
melibatkan golongan utama yang terlibat;
-
Menyelaraskan undang-undang perlindungan
alam sekitar di peringkat negeri dan persekutuan supaya penguatkuasaan
dan pengawasan lebih berkesan dan cekap (cost-effective);
-
Menguatkuasakan undang-undang untuk
melindungi harta-harta warisan kebangsaan, dan meningkatkan denda dan hukum
kerana kesalahan melanggar Akta Perlindungan Alam Sekitar serta undang-undang
perlindungan harta warisan kebangsaan;
-
Memastikan bahawa tiap-tiap negeri mengambil
langkah mewartakan taman negara atau taman pemeliharaan yang menasabah
serta tapak-tapak perbandaran dan perumahan baru dalam pelan induk;
-
Berusaha ke arah penyelarasan undang-undang
perhutanan dan pembalakan di antara negeri dan mewujudkan sistem pemeriksaan
yang bebas untuk memastikan bahawa semua undang-undangnya dilaksanakan
dengan tegas;
-
Menggalakkan semua negeri mewartakan
kawasan tadahan air yang mencukupi bagi masa depan secepat mungkin;
-
Berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri
supaya melaksanakan pelan pemeliharaan yang sedia ada serta menyediakan
pelan pemeliharaan yang baru di mana perlu.
3.6. Kepenggunaan dan Harga
Barisan Alternatif menganggap bahawa
kerajaan bertanggungjawab melindungi kepentingan rakyat sebagai pengguna,
antara lain dengan memajukan mutu hidup dan mengawal kos hidup. Oleh demikian,
kami berjanji akan:
-
Memperkuatkan undang-undang perlindungan
pengguna, khususnya dari segi kawalan harga barang dan kos perkhidmatan
serta mutunya, terutamanya pada musim perayaan;
-
Mengkaji semula Akta Pengguna supaya
sebuah Tribunal bebas ditubuhkan dengan
penyertaan badan-badan bukan kerajaan, untuk mengenalpasti senarai barang-barang
keperluan serta mengawal kenaikan harga barang-barang tersebut dengan mewujudkan
satu sistem indeks harga bagi tujuan pengawalan;
-
Menggalakkan gerakan koperasi dalam
bidang pengeluaran dan pengedaran barang perlu;
-
Menggalakkan persatuan-persatuan pengguna
bergiat dengan lebih cergas supaya meningkatkan tahap kesedaran pengguna
akan hak mereka;
-
Mengawal pengiklanan supaya tidak menjejaskan
maruah kaum wanita atau golongan lain.
3.7. Pekerja
Supaya Malaysia dapat meningkatkan
daya saingnya di dalam ekonomi global alaf baru, pekerja perlu bersifat
fleksibel dari segi kemahiran dan kemampuan mereka, bersikap inovatif dan
sentiasa meningkatkan produktiviti mereka. Demi itu, proses pendidikan
berterusan, suasana bekerja serta rangka perhubungan perusahaan amat penting,
bukan hanya dari segi hak pekerja, tetapi juga dari segi kepentingan negara.
Kami berjanji akan:
-
Membentuk rangka perundingan tiga pihak
(tripartism) yang berkesan, adil dan demokratik, dan meminda undang-undang
buruh, kesatuan sekerja dan perhubungan perusahaan sesuai dengannya;
-
Memansuhkan atau meminda undang-undang
yang menyekat hak pekerja untuk membentuk, menyertai dan bergiat dalam
kesatuan sekerja;
-
Mengkaji semula dan mengemaskinikan
faedah-faedah pemberhentian kerja serta mengkaji pembentukan dana kebangsaan
bagi membantu para pekerja yang diberhentikan (retrenchment fund);
-
Menetapkan gaji minima bulanan yang
menasabah untuk pekerja-pekerja bergaji harian;
-
Menetapkan gaji minima bulanan yang
menasabah untuk pekerja estet dan melaksanakan skim perumahan untuk pekerja
estet secara serius;
-
Memberi teladan ke arah sistem bekerja
5 hari seminggu dengan waktu kerja biasa tidak melebihi 40 jam seminggu;
-
Mengkaji semula cara pengambilan dan
pengupahan pekerja asing di samping mengurangkan pergantungan kepada mereka;
-
Mengiktiraf hak penglibatan kesatuan
sekerja dan pemimpin kesatuan sekerja dalam politik kebangsaan;
-
Menaikkan umur bersara kepada umur 60
tahun bagi sektor awam sesuai dengan peningkatan kesihatan dan jangka hidup;
-
Memastikan gaji atau ganjaran yang sama
bagi lelaki dan perempuan untuk kerja atau tugas yang sama;
-
Meningkatkan cuti bersalin ibu di sektor
awam kepada 90 hari dan memperkenalkan cuti kebapaan suaminya sebanyak
7 hari;
-
Memperbanyakkan program latihan dan
pendidikan berterusan bersama sektor swasta demi meningkatkan fleksibiliti,
kemahiran dan produktiviti pekerja;
-
Mengadakan program latihan semula untuk
para pekerja yang diberhentikan kerja;
-
Mengkaji semula keberkesanan Institut
Nasional Untuk Keselamatan dan Kesihatan Kerja dan memperbetulkan kekurangan-kekurangannya
3.8. Wanita
Kerajaan BN menganggap kaum wanita
sebagai sumber tenaga manusia sampingan; mereka digalakkan bekerja di luar
rumah apabila timbul kekurangan tenaga pekerja dan kembali ke rumahtangga
apabila pengangguran meningkat.
Kami akan:
-
Memperketatkan undang-undang berkenaan
hak, kepentingan dan martabat wanita dan memansuhkan undang-undang serta
peraturan yang mendiskriminasi terhadap wanita.
-
Melindungi hak serta kebajikan wanita
yang ditinggalkan suami tanpa nafkah yang berpatutan.
-
Meneruskan penerimaan pencen bagi balu
walaupun mereka berkahwin lain.
-
Menyediakan kemudahan-kemudahan asuhan
bayi dalam komuniti dan di tempat kerja.
-
Memperkenalkan waktu kerja anjal bagi
kaum wanita yang bekerja.
-
Mengkaji Agenda Perubahan Untuk Wanita
dengan tujuan untuk melaksanakan perakuan-perakuan yang sesuai.
3.9. Belia
Kegagalan atau kurang keberkesanan
berbagai program untuk belia ialah kerana program diatur tanpa perundingan
penuh dengan belia sendiri dan penyertaan mereka. Kami akan memberi nafas
baru kepada program belia melalui perundingan bermakna dengan belia sendiri.
Kami akan menimbangkan bagaimana:
-
Memberi dorongan dan kemudahan kepada
belia untuk mempertingkatkan bakat dalam bidang seni, sukan dan budaya;
-
Mengadakan projek-projek khusus untuk
mencungkil bakat pimpinan dalam bidang perkembangan diri, budaya, keusahawanan,
dan sosial;
-
Mengatasi masalah-masalah yang sering
dihadapi oleh sesetengah belia seperti pengangguran, salahguna dadah, keciciran
dan masalah-masalah akhlak dengan pendekatan yang tidak mengasingkan mereka
lagi;
-
Membuka peluang yang lebih luas kepada
belia dari pelbagai latarbelakang sosial untuk menyertai latihan kemahiran
dan projek ekonomi;
-
Menyediakan pusat pemulihan yang lebih
berkesan serta peluang pekerjaan bagi belia yang menjadi mangsa gejala
sosial, supaya mereka dapat diserap kembali ke dalam masyarakat dari segi
peluang kehidupan bermasyarakat.
3.10. Warga Tua dan Pesara
Warga tua dan pesara patut mendapat
tempat yang sesuai dalam masyarakat yang pesat membangun. Oleh kerana tidak
terlalu sibuk dengan beban kerja, warga tua patut digalakkan memainkan
peranan lebih besar dalam masyarakat. Kerajaan tempatan patut memulakan
program di kalangan masyarakat untuk menggerakkan warga tua ke arah ini.
Untuk menjaga kebajikan warga tua
dan pesara, kami akan:
-
Menetapkan kadar pencen minima supaya
warga tua mampu menyara diri;
-
Membolehkan pesara yang masih ingin
bekerja supaya dapat menyumbang kepada pembangunan nasional;
-
Mengadakan sistem tambang separuh harga
untuk para warga tua dan pesara bagi semua jenis pengangkutan awam;
-
Mewajibkan anak-anak dan waris terdekat
bertanggungjawab bagi penjagaan warga tua dan menyokong langkah demikian
dengan pengecualian cukai serta kemudahan-kemudahan lain;
-
Memastikan bahawa warga tua mendapat
keutamaan dalam menetapkan giliran mengerjakan haji;
-
Menggalakkan badan-badan bukan kerajaan
mengembangkan lagi program dan kursus untuk golongan warga tua dan pesara
yang ingin mencungkil bakat dan menguasai kemahiran baru, menyertai pelancongan
bersifat pendidikan, kursus bahasa, pendidikan jasmani, dan sebagainya.
4. Perpaduan Nasional
Perpaduan nasional masih merupakan
cabaran besar bagi Malaysia. Oleh demikian, Barisan Alternatif akan menumpu
perhatian terhadap usaha berterusan untuk mengeratkan perpaduan antara
semua golongan masyarakat Malaysia:
-
Menghapuskan amalan dan dasar "pecah
dan perintah" antara kaum yang sering diamalkan oleh Kerajaan BN untuk
terus berkuasa;
-
Menegakkan perpaduan nasional berasaskan
keadilan serta kepelbagaian budaya;
-
Mendukung peruntukan hak istimewa orang
Melayu dalam Perlembagaan, tetapi menentang penyalahgunaannya (misalnya
untuk menguasai kekayaan bagi segolongan kecil kroni), dan memperluaskan
lingkungan tindakan afirmatif kepada golongan yang lemah dan mundur tanpa
mengira kaum, latarbelakang sosial dan agama.
-
Memberi perhatian dan tumpuan yang wajar
kepada Orang Asli serta semua kelompok orang-orang asal di Sabah dan Sarawak,
dan meminda berbagai dasar dan peraturan berkenaan mereka supaya berlaku
adil terhadap mereka, termasuk menubuhkan Suruhanjaya untuk melindungi
tanah Hak Adat Orang Asal (native customary rights, NCR) menyelesaikan
masalah-masalah tuntutan tanah di samping menghormati nilai-nilai dan tradisi
masyarakat orang asal;
-
Memantapkan hubungan baik antara Negeri
dan Pusat dalam rangka sistem Persekutuan yang adil dan bertanggungjawab
lagi demokratik dalam perkara-perkara seperti peruntukan kewangan, penggunaan
sumber alam dan pentadbiran tanah. Dalam hubungan ini, Perjanjian Petroleum
antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri harus dikaji semula untuk
menjamin keadilan untuk semua pihak;
-
Memantapkan integrasi nasional dengan
memulihkan hak serta keistimewaan yang pernah dijanjikan kepada rakyat
Sabah dan Sarawak di samping mengelakkan penyalahgunaan keistimewaan ini
oleh segelintir pemimpin politik BN serta kroni mereka;
-
Menubuhkan sebuah Majlis Hubungan Kaum
yang bebas yang melapor terus kepada Parlimen demi membantu pembentukan
Bangsa Malaysia yang bersatu padu.
4.1. Agama dan Budaya
Oleh kerana masyarakat adil yang
menjadi hasrat kita dibina antara lain atas asas agama dan budaya, kita
harus menentukan bahawa perspektif dan pendekatan kepada persoalan-persoalan
agama dan budaya akan membantu kita mencapai matlamat yang murni itu.
-
Membentuk Suruhanjaya Kehakiman Syari’ah
di peringkat Persekutuan;
-
Mengurangkan pengaruh politik kepartian
dalam Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, masjid-masjid dan institusi-institusi
agama Islam yang lain;
-
Memperuntukkan tanah perkuburan dan
tapak rumah ibadah bagi masyarakat bukan Islam selaras dengan prinsip kebebasan
beragama;
-
Memperbanyakkan dailog antara agama
dan budaya untuk memupuk persefahaman di kalangan rakyat Malaysia;
-
Menggalakkan pengkajian, penerangan,
perbincangan dan penghayatan semua peradaban besar dunia yang memperkayakan
budaya rakyat Malaysia;
-
Mengembangkan budaya Malaysia yang berteraskan
nilai-nilai akhlak dan prinsip-prinsip hidup yang mulia. Pembentukan budaya
Malaysia memerlukan sikap terbuka kepada kepelbagaian budaya kaum dan suku
kaum negara. Pada masa yang sama, rakyat harus memahami hakikat sejarah
negara dan evolusi masyarakat Malaysia. Unsur-unsur budaya yang sihat dari
luar harus diterima, tertakluk kepada tata susila masyarakat kita.
5. Membina Demokrasi Tulen
Demokrasi tulen memberikan ruang
yang bermakna untuk penyuaraan pendapat orang awam serta penyertaan orang
awam dalam berbagai proses pemerintahan harian dan bukan hanya sekadar
mengundi lima tahun sekali.
Kumpulan-kumpulan yang berkepentingan
patut dibenarkan mengutarakan dan memperdebatkan pandangan masing-masing
jika tidak menjejaskan keselamatan negara, tidak menghasut kelakuan ganas,
atau bersifat fitnah semata-mata.
Maklumat yang penting haruslah terbuka
kepada semua yang menghendakinya, tertakluk kepada undang-undang negara,
yang harus dipinda untuk hanya merahsiakan perkara yang perlu dirahsiakan
seperti rahsia ketenteraan.
Kami akan mengurangkan atau menghapuskan
sama sekali segala bentuk tekanan atau ancaman pemerintah. Semua undang-undang
anti-demokratik, seperti tahanan tanpa bicara, akan dimansuhkan.
Namun, kami akan memperkenalkan berbagai
peraturan minima, yang membawa hukuman yang berat sekiranya dilanggar.
Demokrasi tulen tidak bermakna ‘apa saja pun boleh’, tetapi ia memerlukan
rakyat yang bertanggungjawab supaya mengawal diri dalam rangka peraturan-peraturan
minima ini.
Kami juga akan:
-
Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri
dan menghentikan amalan penahanan tanpa bicara.
-
Menubuhkan Suruhanjaya Bebas untuk mengkaji
semula akta dan undang-undang (seperti Akta Rahsia Resmi (OSA), Akta Hasutan,
Akta Polis, AUKU, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dll) dengan tujuan menghapuskan
aspek-aspek yang zalim dan mencabul hak asasi manusia.
-
Menjamin kebebasan media serta hak berkumpul,
bersuara dan berpersatuan melalui pindaan kepada akta dan undang-undang
tersebut; RTM akan diperbadankan tertakluk kepada sebuah Suruhanjaya Penyiaran
yang bebas.
-
Memastikan bahawa semua dasar, akta
dan undang-undang diselaraskan dengan sikap menjunjung kemuliaan dan martabat
insan.
-
Memastikan Suruhanjaya Hak-hak Asasi
Manusia yang bebas dan berwibawa untuk melindungi dan memupuk hak-hak asasi
manusia rakyat, di mana keahliannya mewakili semua golongan utama dalam
masyarakat madani.
-
Menggubal suatu Akta Kebebasan Maklumat
(Freedom of Information Act) bagi menjamin ketelusan dan pengaliran maklumat
kerajaan kepada rakyat.
-
Menggubal undang-undang untuk melindungi
orang yang membongkarkan rasuah, penyelewengan dan salah laku kerajaan
yang lain untuk membaiki pentadbiran.
-
Menandatangani dan mengesahkan Kovenan
Antarabangsa Tentang Hak-hak Sivil dan Politik dan Kovenan Antarabangsa
Tentang Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Budaya.
-
Meningkatkan mutu dan keberkesanan pendidikan
hak asasi di semua peringkat persekolahan dan institusi pengajian tinggi
serta pusat-pusat latihan perkhidmatan awam.
-
Membaiki pentadbiran penjara supaya
orang tahanan mendapat layanan yang sesuai dengan piawaian antarabangsa.
6. Memulihkan Imej dan Kedudukan
Antarabangsa
Nama baik Malaysia telah dicemarkan
oleh Kerajaan BN kebelakangan ini, bukan hanya kerana kes Dato’ Seri Anwar
Ibrahim dan Lim Guan Eng serta kenyataan-kenyataan yang melulu, tetapi
kerana amalan bertalam dua muka di dalam dan di luar negeri. Namun, Malaysia
mempunyai peranan yang penting dalam arena antarabangsa akibat beberapa
kejayaan dasar luar negeri yang kami akan pertahankan.
Kami akan tetap:
-
Memberi tekanan kepada pendirian-pendirian
antarabangsa Malaysia yang mendukung keadilan dan kepentingan negara-negara
membangun di medan dan badan antarabangsa, dan akan meminda dasar luar
negara Malaysia yang bercanggah dengan pendirian ini;
-
Memperjuangkan pandangan dan kepentingan
dunia membangun dalam forum-forum antarabangsa, dan kami akan cuba sedaya
upaya untuk menggerakkan semula pergerakan negara berkecuali (non-aligned
movement) dan memberikan nafas baru kepada Pertubuhan Negara-Negara Islam
(OIC);
-
Memperjuangkan reformasi dalam berbagai
badan antarabangsa supaya lebih bersifat demokratik serta telus, dan kurang
bersifat alat kuasa besar;
-
Menyediakan negara untuk menangani globalisasi
dengan prinsip ‘terima yang jernih, buang yang keroh’;
-
Menjalin hubungan persahabatan dengan
semua negara yang inginkan kedamaian dan kerjasama yang saling menguntungkan.
Oleh yang demikian, kami akan:
-
Mendukung sistem antarabangsa baru yang
adil serta demokratik, berdasarkan kesaksamaan dan kedaulatan nasional,
saling hormat-menghormati, dan hak asasi;
-
Melaksanakan dasar luar yang bebas serta
berkecuali dan memastikan kepentingan ekonomi dan politik negara Malaysia
sekali-kali tidak tertakluk kepada kepentingan kuasa besar dunia;
-
Memperjuangkan reformasi Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), IMF (International Monetary Fund), Bank Dunia
dan WTO (World Trade Organization) supaya menjamin keadilan bagi negara-negara
kecil dan miskin serta rakyat dunia, dan tidak memihak kepada kepentingan
syarikat gergasi antarabangsa atau kuasa-kuasa besar;
-
Memastikan proses globalisasi tidak
mengancam kepentingan negara dan rakyat jelata;
-
Menentang pemusatan kekayaan dan penindasan
di peringkat antarabangsa yang mengakibatkan jurang sosio-ekonomi bertambah
lebar antara Utara dengan Selatan;
-
Menyokong dasar "penglibatan membina"
(constructive engagement) di kalangan negara-negara ASEAN dalam persoalan-persoalan
pelaburan ekonomi, alam sekitar, hak asasi manusia, pekerja asing, dan
masalah-masalah sosial lainnya;
-
Mempertingkatkan kerjasama serantau
di kalangan negara-negara anggota ASEAN dalam semua bidang;
-
Memperluaskan hubungan di kalangan rakyat
negara-negara ASEAN supaya hubungan itu tidak terbatas hanya kepada hubungan
antara kerajaan;
-
Memastikan bahawa wilayah Malaysia tidak
akan ditawarkan lagi untuk dijadikan pengkalan tentera asing, seperti pernah
ditawarkan oleh Kerajaan Mahathir, yang kononnya anti-Barat.
Masa Depan Negara Dalam Tangan Rakyat
Kerajaan BN pernah mengaku dirinya
‘bersih, cekap, amanah’, tetapi sebenarnya, ‘boros, curang dan angkuh’.
Untuk menyelamatkan Malaysia daripada
cengkaman pimpinan rakus yang secara bermaharajalela mempertahankan, malah
menambahkan lagi kuasa politik dan ekonominya, rakyat mesti bersatu padu
untuk menolak pemerintahan BN pimpinan Mahathir.
Sesungguhnya, amatlah sukar bagi
kami — yang serba kekurangan — mengalahkan BN, yang sedang terus menyalahgunakan
kuasanya terhadap jentera dan perbelanjaan kerajaan, media siaran dan cetak,
serta politik wang. Walau bagaimana pun, penyelewengan dan penyalahgunaan
kuasa BN dewasa ini telah membuka jalan baru yang belum pernah diterokai
rakyat Malaysia sebelumnya. Buat kali pertama sejak kemerdekaan, kebanyakan
rakyat Malaysia daripada semua kaum menghendaki perubahan sedangkan parti
politik alternatif pula berjaya bersatu demi keadilan. Sekurang-kurangnya,
kesedaran rakyat yang meluas dan perpaduan parti alternatif yang kukuh
akan mengurangkan dominasi Barisan Nasional dalam pilihanraya kesepuluh,
dan insya Allah, memudahkan proses mengganti BN, yang telah mengkhianati
amanah rakyat, dengan Barisan Alternatif.
RAKYAT BOLEH
SELAMATKAN MALAYSIA
DEMI KEADILAN
24 Oktober 1999