Sasteraku

Oleh: JOHAN JAAFFAR 29/06/98  


SEKIRANYA minat terhadap sastera dijadikan ukuran, maka majalah sastera sepatutnya boleh dijual lebih 50,000 naskhah sebulan di negara ini.  

Lihat sahaja minat yang ditunjukkan terhadap majlis pembacaan puisi, serta sekian banyak program lain, dari ceramah, muzakarah, kenduri dan cakap-cakap sastera. Berapa banyakkah pelajar yang mengikuti Kesusasteraan Melayu pada peringkat SPM, STPM dan universiti? Ratusan ribu.  

Berapa banyakkah karya dalam bentuk cerpen dan sajak yang diterima oleh editor sastera akhbar dan majalah? Puluhan ribu setahun.  

Berapa banyakkah mereka yang menunjukkan kecenderungan terhadap sastera - yang terlihat melalui penyertaan sebagai ahli persatuan penulis serta mereka yang menawarkan diri menghadiri Hari Sastera dan Hari Puisi? Pastilah puluhan ribu.  

  Tetapi apakah sokongan ini terlihat dalam bentuk dukungan terhadap majalah sastera - baik yang serius atau sebaliknya? Nampaknya tidak. Dewan Sastera telah wujud sejak tahun 1971. Ekoran daripada usaha Usman Awang, Baha Zain, Latiff Mohiddin dan lain-lain, Dewan Sastera muncul sebagai wadah kreatif sasterawan. Kini ia berusia lebih 27 tahun. Tetapi nasibnya ibarat melukut di tepi gantang. Ada memang ada tetapi tidak adapun tak apa. Hidupnya segan matinya tak tentu. Kalaulah Dewan Sastera bukan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang pemurah itu ia sudah lama gulung tikar.  

Setelah sekian lama hadir, dan setelah sekian lama menjadi gelanggang sasterawan lama dan muda membuat nama, jualannya masih terlalu kecil. Khabarnya hanya kira-kira 4,000 naskhah yang terjual setiap bulan.  

Mungkin Dewan Sastera ada masalahnya sendiri. Ia bukan Dewan Sastera yang original, meminjam istilah anak-anak muda hari ini. Ia malah bukan klon yang baik dari benih yang ditaburkan oleh generasi pertama editornya.  

Dewan Sastera menghadapi krisis identiti yang teruk. Dewan Sastera bukan lagi menjadi gelanggang di mana sasterawan boleh berbicara atau ilmuan berhujah. Ia menjadi bulanan yang sesama sendiri menepuk bahu tentang baik dan bagusnya orang itu dan orang ini. Dan menafikan yang lain.  

Di tengah kegawatan itu, tentulah majalah Karya yang diterbitkan oleh Kumpulan Utusan tidak boleh dijadikan alternatif. Sekiranya Dewan Sastera, gagal tidak ada sebab mengapa Karya harus berjaya. Dua puluh tujuh tahun bukan jangka waktu yang pendek. Kalau Dewan Sastera gagal, Karya tentu akan gagal.  

  Lagi pula, tidak ada alasan mengapa Karya akan dibeli orang kalau masyarakat sastera sendiri menolak Dewan Sastera. Lagipun berbanding Dewan Sastera yang disubsidi dengan hebatnya, Karya harus berdikari.  

Karya sudah berusia 10 bulan. Ia menemui pembaca dengan wajah Ras Adiba Razi menghiasi kulit keluaran pertamanya. Ras mungkin boleh dimaafkan sebab Ras juga khabarnya sasterawan. Tetapi apakah urusan Ziana Zain, Erra Fazira, Camelia, Krisya, Eisya, Arni Nazira, Abby dan banyak lagi menghiasi halaman kulitnya selama ini? Tidak cukupkah artis-artis itu muncul di Mangga, Hai atau URTV?   

Maka dalam gelabah, pengendali Karya cuba memberi justifikasinya. Mengapa tidak, kata mereka. Apa salahnya, hujah mereka. Jawapan mudahnya ialah bahawa untuk menarik audiens, Karya harus mengorbankan sedikit prinsip. Mesejnya ialah Karya harus disokong. Kalau orang membaca Karya kerana Karya menghiaskan wajah Erra dan Ziana, apakan daya.   

Mudah-mudahan mereka akan digantikan dengan wajah lain yang lebih sastera dan wibawanya.   

Lagipun apa salahnya menarik Erra dan Ziana ke gelanggang sastera? Mereka juga menyanyikan lagu yang liriknya tidak lebih dari baris-baris puisi?  

Kalau kerana Erra dan Ziana, tumbuh minat bersastera bagi ratusan ribu yang lain apa salahnya?   

Sementara itu Karya menunggu penuh debar. Nasib Karya kurang baik kerana sebaik-baik sahaja dilancarkan sahaja, gawat ekonomi berlaku. Tetapi Karya percaya bahawa ia akan mendapat sokongan. Karya ialah majalah untuk sasterawan besar dan kecil. Karya mahu mengambil sedikit kekuatan dari gagasan awal Dewan Sastera. Karya mahu menjadi majalah popular yang melampaui taraf keupayaan, darjat dan kedudukan penulis.  

Karya akan mati kalau sasterawan dan para simpatisannya menyambutnya sedingin sambutan mereka terhadap Dewan Sastera.


BALIK