MBA

Oleh: Fudzail


Pejabat yang terletak dalam Taman Teknologi itu memang canggih. Nama syarikat Multimedia Bestari Antarabangsa (MBA) berwarna merah cukup garang dari jauh. Syarikat berasaskan teknologi maklumat dan multimedia itu sudah pun mendapat status MSC.

Dengan modal setengah juta dan kepakaran terkumpul dari anak-anak tempatan yang berjiwa besar ini, MBA bermula dengan perniagaan melalui Internet, membuat laman web dan menyediakan khidmat rujukan dalam semua yang berkaitan dunia siber.

Ianya dipunyai oleh seorang usahawan-tekno muda bumiputera, Mahadhir bin Ali. Mahadhir berusia awal tigapuluhan itu mempunyai ijazah sains komputer dari ITM dan MBA (Master of Business Administration) dari Scotland. Mahadhir yang pernah bekerja dengan beberapa buah syarikat multinasional IT itu, menyambut seruan kerajaan dalam meramaikan pakar IT dan kelas menengah melayu.  

Lebih dari itu, MBA mahu menjadi syarikat global IT yang didukung oleh anak Melayu.

Dan memang hidup ini kekadang penuh dengan kebetulan. Rakan kongsinya, yang memegang saham minoriti, Mukhriz bin Alaudin, pengurus besar operasi dan Mirzan bin Amran, pengurus besar pemasaran juga mempunyai MBA. Malah dua orang pengurusnya, Mokhzani bin Afifudin, pengurus kewangan dan Marina binte Azizul, pengurus pembangunan sistem turut mempunyai MBA.

Antara kebetulan atau suratan, memang tidak dapat dielakkan syarikat MBA itu dipunyai oleh MBA, diuruskan oleh para MBA yang semuanya pemegang ijazah MBA.  

"Kau tahu, isteriku aku pun sedang buat MBA di sebuah kolej swasta!"

Mahadhir memberitahuku bangga sewaktu temuduga. "Kau bila lagi?" Aku sekadar tersenyum. "Isteri saya sudah ada MBA pun, tetapi dia duduk kat rumah saja. Sebab susah nak cari orang gaji. Dia sekarang tengah MBA juga, Membuat Bisnes AMWAY!" Jawabku antara sinis dan menyatakan yang benar. Mahadhir ketawa buat-buat.

Sehinggalah aku menyertai MBA sebagai pengurus R & D, memecahkan tradisi MBA diperingkat pengurusan. Namaku Anwar bin Mustafa, nama pendekan ABM dan aku tidak mempunyai MBA, sekadar MCS (Master in Computer Science) pengkhususan dalam kepintaran buatan.

Mungkin kelainan itu memberi kelebihan. Dan pada yang lain, mungkin kekurangan kerana MBA adalah lambang taraf ilmu dalam perniagaan. Sekarang semuanya mesti berkorporat. Nak naik politik pun lebih mudah melalui tiket korporat. Dan tidak kurang ramai yang keparat.

Bukankah MBA juga boleh bermaksud Melayu Baru Angkuh? "Kekuatan syarikat MBA adalah kerana kita berani mengambil risiko dan mendahului persaingan. Malah MBA adalah syarikat usahawan, kita semua adalah usahawan-tekno yang komited untuk menjadi syarikat global menjelang alaf 2000!" Bersemangat Mahadhir memberi ucapan di hadapan para kakitangan yang seramai tiga puluh orang itu.

Dengan sepasang sut biru tua kegemarannya, Mahadhir kelihatan hebat. Misai dan rambut yang sedikit keputihan menampakkan karisma kepimpinan. Bakat yang di kembangkan dari MRSM ke universiti. Mesti MBA, Menarik, Bergaya, Anggun!

Aku sekadar memandang keliling bilik mesyuarat yang nampak sendat. Hari ini ulang tahun keempat penubuhan syarikat. Sebagai menyahut seruan kerajaan untuk berjimat cermat dalam keadaan ekonomi yang kurang sehat, majlis sambutan hanya diadakan sederhana. Tidak seperti tahun lepas, menurut Mokhzani, dibuat di sebuah restoran besar di Kuala Lumpur. "Kita harus berbangga kerana syarikat kita mempunyai para pengurus yang hampir semuanya mempunyai kelayakan MBA!" Mahadhir terhenti, memandang aku dengan senyum. "Kecuali Encik Anwar yang mempunyai MCS!" Semua mata memandang padaku. Aku hanya tunduk. Tidak tahu maksud sebenar Mahadhir, sama ada menyatakan kelebihan atau kekurangan. Sebagai seorang pengurus baru yang masih belum kenal ramai orang, aku tiba-tiba jadi perhatian.  

Diakhir majlis sebelum makan, Pak Abu membaca doa dalam bahasa Arab

sepenuhnya sedangkan aku tahu semua orang tidak kisah apa makna doa Pak Abu. Pak Abu adalah pengawal keselamatan syarikat yang selalunya menjadi imam tak resmi di surau kecil yang terletak di belakang pejabat.  Surau yang jarang sekali digunakan untuk semua berjemaah kerana semua yang nama-nama pendekan MBA, terutama Mahadhir lebih suka sembahyang dalam bilik masing-masing. Kata Pak Abu padaku di hari pertama, "MBA maknanya, Masing-masing Bersolat Asing-asing!"

Memang cerita pasal MBA seakan segala-galanya dalam menentukan perjalanan syarikat. Masing-masing cuba menerapkan nilai-nilai ilmu MBA ke dalam operasi. Pelbagai teori dan 'business case' dijadikan panduan sebelum membuat apa-apa keputusan.

Sebagai pengurus R & D, yang tidak mempunyai MBA, selalunya aku hanya menjadi pendengar dan penonton yang baik dan tekun dalam mesyuarat pengurusan. Susah untuk masuk campur bila perbincangan selalunya tidak lari dari berteraskan perniagaan. Bersumberkan MBA. Sedangkan aku dianggap penghabis beras!

Apalagi dinding bilik mesyuarat itu dipenuhi dengan petikan-petikan kata-kata hikmat para ahli korporat dan falsafah yang berkisar dengan perniagaan. "Seven Habits of Highly Effective People" seakan rukun negara dan rukun Islam terpampang paling besar.

Kekadang melucukan bila teori yang diulas tidak kena mengena dengan perjalanan syarikat. Seolah-olah menyambung diskusi dari bilik kuliah MBA. Dan Mahadhir selalunya menjadi ko-ordinator kelas MBA syarikat MBA. Maka banyak keputusan yang dibuat atas dasar teori.

Pernah sekali perbincangan tidak semena-mena menjadi perbalahan peribadi.  "Tengoklah MBA dari universiti mana?" Sanggah Mokhzani yang sering cuba menonjolkan MBAnya dari London School Of Economics. Yang lain diam, terutama Mukhriz yang dengar kabar membeli MBAnya. Yang aku tahu, P & L syarikat MBA masih dalam negatif. Masih belum stabil. Memang bukan mudah untuk menerajui perniaggaan tekno. Mahadhir berhasrat besar untuk menyenaraikan MBA di MESDAQ nanti.  

"Bila MBA kita berjaya disenaraikan kemudian di BSKL, para pengurus akan diberi kereta dengan pilihan antara M atau B atau A - Mercedes, BMW atau Audi! Memang kereta buatan Jerman terbaik di dunia!" Pernah sekali Mahadhir berjanji dalam angan-angan.

Aku hanya tertawa, teringatkan Proton Perdana yang kubeli atas semangat patriotik, walaupun ianya tidak lebih kereta buatan Jepun yang dipasang di Shah Alam.

"Apa pendapat kau, Anwar? Perlu kita pasarkan produk ini secepat mungkin?" Tiba-tiba Mahadhir bertanya dan aku terkejut.

Memandang para MBA yang lain, aku serba salah.

"Bagi orang teknikal seperti saya, yang paling penting kita mesti betul-betul yakin produk itu teruji sepenuhnya! Jangan terburu-buru, nanti imej syarikat juga akan menjadi buruk"

Semuanya diam. Produk mesin mobile Internet yang sedang aku ubahsuaikan untuk pasaran tempatan itu masih dalam ujian. Sambungku, "Sekurang-kurangnya tiga bulan lagi". "Tetapi saya telah buat pengumumuan dalam media massa semalam yang ianya akan dipasarkan bulan depan!" Mahadhir mendengus. Mahadhir sengaja buat heboh tentang produk itu kerana inginkan publisiti. Lagipun, begitulah dunia komputer selalu menggunakan 'hype' untuk mencari publisiti. Malah Microsoft pun melakukannya.

Habis kenapa pandai sangat berjanji ? Bisik hatiku geram. Mesin mobile Internet yang bejenama MBA-Siberakyat itu diambil teknologi dari Amerika dan cuba disesuaikan dengan kondisi Malaysia. Untuk meramaikan rakyat Malaysia mengusai Internet.

"Kita perlu menjadi syarikat pertama memasarkan produk seumpama ini. Bila kita sudah mendahului pasaran, agak mudah untuk menguasai. Tidak boleh cepatkan ujian kau?"

"Kecuali kalau mahu kompromi tentang kualiti!" Jawabku sinis. Para MBA yang lain mula mengeluarkan hujah-hujah satu demi satu. Antara mendahului dan menguasai pasaran. Antara kompromi kualiti dan matlamat. Antara MBA dan MCS.

Akhirnya sebulat suara diputuskan mesin mobile Internet yang boleh disambungkan ke TV dan monitor komputer untuk melayari dunia siber itu mesti dipasarkan bulan depan juga. Siberakyat memang boleh laku kerana murah, mobile dan senang dipasang.

"By hook or by crook!" Kesimpulan Mahadhir. Aku tidak tahu sama ada pengajian MBA ada mengajar pepatah itu. Tetapi arahan itu mesti dipatuhi, bila MBA, Majikan Beri Arahan.  

Berhempas pulas juga aku dengan staf R & D lain cuba menjalankan segalanya sebelum tarikh pelancaran. Bukan mudah juga untuk mendapatkan bahan pemasangan dalam waktu singkat. Apalagi jumlah lima ribu untuk pelancaran! Kerja gila hasil dari teori MBA.

"Sebelum majlis pelancaran kita mesti buat majlis tahlil kesyukuran!" Aku membuat cadangan dalam mesyuarat mengenai pelancaran. Segalanya mengikut jadual. Sesuatu yang berjaya kubuktikan walau terpaksa bersengkang mata dan berumahtangga di pejabat. Memang aku tidak pernah menghampakan majikanku.

Para MBA memang terpaksa bersetuju. Mahadhir ingin menjemput Perdana Menteri atau sekurang-kurang TPM. Untuk mendapat publisiti lebih meluas.  "Kita tidak perlu panggil imam dari luar untuk mengepalai majlis ini!"  

Sambungku. Setelah hampir enam bulan, aku terasa sudah sampai masanya untuk seorang lulusan MCS menguasai suasana. Menunjukkan siapa yang lebih MBA, Memimpin Berasaskan Agama.

"Pak Abu ada!" Jawab Mahadhir pendek dan yakin. "Saya rasa dan saya pasti sebaik-baiknya, Encik Mahadhir sendirilah yang mengepalai majlis ini, nampak MBA, Management By Action!" Mahadhir nampak terkejut. Hingga tidak berkelip-kelip memandangku. Aku jadi lebih berani.

"Saya bangga dikelilingi oleh mereka yang mempunyai MBA dalam pengurusan syarikat MBA kita ini. Segala yang dibincangkan sedikit sebanyak memberi ilmu dan pengetahuan baru buat saya, malah mungkin selepas setahun saya di sini nanti, saya seakan salah seorang pemegang ijazah MBA, pengajian percuma bila ramai orang terpaksa berbelanja ribuan ringgit untuk mendapatkan sehelai ijazah bernama MBA!" Kataku sinis. Para MBA lain terdiam. Pertama kali aku banyak bercakap. Melepaskan apa yang selama ini tersimpan dalam jiwa yang tertekan. Apatah penekanan terhadap MBA tidak juga menampakkan peningkatan syarikat.  Malah ramai lagi usahawan bukan Melayu yang tidak mempunyai MBA, atau pendidikan tinggi boleh lebih berjaya. Kadang-kadang bisnes memerlukan 'common sense' lebih dari ilmu yang lebih banyak teori. Lagipun ramai para pengajar MBA tidak pernah berniaga pun!

"Saya bukan pemegang ijazah MBA, tetapi pengikut MBA yakni Muhamad Bin Abdullah. Nabi dan manusia teragung. Malah dia juga tokoh korporat dan bisnes yang paling handal! Malangnya, tiada seorang pun pernah menyebut nama itu di sini. Yang kita petik semua nama-nama besar lain termasuk para pengganas seperti Hitler,  Stalin, Mao Zedong dan Castro! Yang terpampang di dinding-dinding pejabat adalah petikan-petikan mereka yang berjiwa kapitalis!"

Aku menarik nafas sambil melihat gelagat yang lain. Tidak sangka mereka yang tunduk. "Apakah MBA kalian Muslim Buta Amalan?"

pAku tergelak seorang. Sejak berada di MBA, banyak istilah tentang MBA yang telah tercipta. Terutama bila bergosip dengan staf yang semakin MBA, Muak, Benci, Amarah dengan sikap para MBA.

"Surau yang ada tu hanya di guna oleh mereka yang tidak punya MBA. Apa orang ada MBA tak layak sembahyang di surau? Kalau sesekali buat sembahyang jemaah, Pak Abu yang hanya sekolah darjah enam tu lah jadi imam, yang baca doa kalau ada majlis. Nampak sangat MBA yang diagung-agungkan tu tak boleh bawa kita semua ke syurga! Apa syarikat MBA ini semuanya Mr. Bean Alumni?" Menyebut nama Mr. Bean aku ketawa berdekah-dekah. Muka Mahadhir macam muka Mr. Bean melihat gelagatku. Apalagi muka MBA yang lain. "Aku bukan pengamal MBA, jauh sekali Mentally Below Average tetapi MCS, yang bermaksud Menggunakan Common Sense!"

Aku terus ketawa sambil menghulurkan surat-surat notis berhenti kerja 24 jam, aku dan 6 staf jabatan R & D. Dengan slogan MBA, Mesti Bertindak Agresif!  

  Cerpen ini di tulis September 1997 setahun sebelum Anwar dipecat. Dan cerpen ini ditolak oleh Berita Minggu, Mingguan serta Al-Islam! Mungkin tidak akan disiarkan sampai bila-bila!


BALIK