CINDAI KATOEY

Oleh: Fudzail


Mama menjuih-juih bibirnya pada banyak mata yang menoleh. Mama dapat melihat dibalik cermin mata hitamnya pandangan yang lebih banyak mengejek. Walau kebiasaannya dia sudah lali dengan keadaan itu, dia kadang-kadang sengaja membalas balik tolehan sinis itu sebagai protes.

"Tadi Mama kena tahan di Brisbane Airport!" Ceritanya setelah rakan sejenis katoeynya (khunsa atau mak nyah dalam bahasa Thai), Katurong memandu keluar dari Don Muang menuju Bangkok. Mama baru tiba dari Brisbane. Awal pagi. "Kenapa? Tak istiharkan bawa keluar duit lebih dari 5000 dollar Australia?" Katurong yang masih awal dua puluhan itu ketawa terkekeh-kekeh. "Atau tak faham bahasa Inggeris?"

"Tak luculah Madonna, memang Mama kena tahan, tapi bukan sebab-sebab bodoh tu!" Mama menaikkan suara. Geram. Menjuih-juihkan bibirnya sambil membetul-betulkan duduknya. "Sebab lainlah!" Terkeluar suara garaunya. Katurong yang nama katoeynya Madonna terdiam. Mama tidak dalam mood yang baik untuk bergurau. Tidak seperti selalu. Sama ada melalui e-mel, IRC atau telefon, ada saja jenaka sensasi Mama. Tentu ada sesuatu yang berlaku. "Kenapa Mama kena tahan?" Katurong bertanya dengan suara yang lebih lembut. Mengambil hati Mama. Sambil menarik skirt yang dipakainya. Katurong adalah seorang eksekutif bank di waktu siang dan menjadi Madonna di waktu malam, menyanyi di kelab malam Katoey di Patpong. Menghiburkan pengunjung dan dirinya juga.

"Masa sampai di Sydney dan tulis borang imigresen, Mama tulis lelaki untuk jantina. Bila balik dari Brisbane, Mama isi sebagai wanita, jadi pegawai imigresen itu mengesyaki sesuatu. Ditahannya Mama!" "Habis tu?"

"Mama terus beritahu, memang masa masuk Australia, seperti dalam paspot memang Mama seorang lelaki, tetapi bila balik sudah jadi wanita!" Katurong ketawa kecil dalam cuba menahan dari menyinggung hati Mama. Mama menjeling manja. Mencubit Katurong.

"Pegawai tua botak bernama Frank tu tak percaya. Lantas Mama cakaplah, Mama baru selesai pembedahan tukar jantina! Kalau tak percaya, tengok semua bil-bil dan dokuman yang Mama bawa. Tak percaya lagi boleh periksa sendiri! Mama kata lagi, lagipun Pauline Henson tu ibu Mama!"

Mama ketawa sambil meninjau keliling dari kereta Honda Prelude Katurong. Melihat wajah kota Bangkok yang nampaknya tidak lagi sesak seperti dia datang dua tahun lalu. Menunjukkan kesan-kesan kegawatan ekonomi. Sudah semakin banyak kereta-kereta yang tidak lagi berada di jalanraya. Malah jerubu pun sudah berkurang. Banyak juga bangunan yang seakan kosong tanpa penghuni. Seperti mana ramai yang dulunya jutawan dan kini merempat di tepi-tepi jalan.

"Frank kemalu-maluan melihat semua dokumen yang Mama tunjukkan. Dia kata kalau dia belum kahwin, mahu saja dia mengurat Mama. Tetapi sebelum melepaskan Mama pergi, dia sempat buat jenaka. Dia tanya Mama sambil kenyit mata, setelah melihat paspot yang Mama datang dari Malaysia, tak mahu isytihar ke duit satu juta dalam beg itu ?"

Katurong ketawa sekuat hati. Mama sama tergelak. Bertampar-tamparan. "Mama pun jawablah, kalau ada satu juta duit dalam beg itu sudah Mama melabur beli hartanah di Gold Coast, buat apa nak bawa tunai ke sana ke mari. Lagipun berat bawa tunai satu juta!"

Ketawa terus pecah. Bersama lagu-lagu Spice Girls di corong keset. "Tetapi Mama beritahu dia yang Mama takut tinggal di sana bila Pauline Hanson dan kuncu-kuncunya dalam parti One Nation semakin diterima ramai! Frank kata dia pun berasal dari Greek, kaum minoriti. Lagipun bukankah semua orang putih Australia asalnya penjenayah?"

"Ah, Puline Hanson, the bitch!" Katurong mencemik. "Mama tahu dia siapa? Entah-entah katoey! Sebab tu tiada cerita suami dia siapa! Mama tahu pertunjukan apa sedang popular di Patpong sekarang? Pauline Hanson and the nude aborigines!"

Mereka terus ketawa sehingga Katurong membelok ke apartment tempat tinggalnya tidak jauh dari Patpong. Cindy yang memang hampir sama dengan Cindy Crawford dan Ginger yang saling tak tumpah seiras Ginger Spice (kumpulan Spice Girls) sudah menanti. Mereka berpelukan. Meraikan kedatangan Mama. Sahabat kateoy mereka yang kini sudah jadi wanita secara fizikal seluruhnya. Walau secara resmi dan undang-undangnya, masih seorang lelaki.

Mereka bertiga belum berani untuk bertindak seperti Mama. Mereka semua katoey yang mempunyai ijazah. Berpendapatan tinggi.Yang mula berkenalan melalui Internet melalui tapak web dan emel. Setelah dunia luar mengasingkan mereka. Untuk saling berinteraksi sebagai katoey normal di dunia siber.

"Habis Mama masih berminat untuk beli apartment di Kanchanaburi?" Tanya Ginger, seorang akauntan sewaktu menonton siri Ruean Mayara di Channel 3 petangnya. Siri tentang seorang katoey yang tamak dan bongkak. Yang kononnya lahir 200 tahun dahulu. Siri yang popular.

Mama mengangguk. Kedatangannya sebaik pembedahan menukar jantinya di Brisbane adalah untuk berhijrah sementara. Sehingga mereka di Malaysia merasakan kehilangannya. Salah satu pilihannya ialah projek hartanah "Guy Town' atau 'Flower Town' di Kanchanaburi yang terletak di daerah Dan Makhamtia. Ianya dibangunkan khas untuk golongan katoey dan homoseksual. Seakan satu pengiktirafan untuk golongan tersebut. Walau secara amnya rakyat Thai masih memandang rendah golongan ini, ada penerimaan secara terbuka. Walau mereka agak sinonim dengan pelacuran dan jenayah seks. Siri-siri TV juga semakin banyak menonjolkan karektor katoey. Malah mereka semakin popular dan semakin ramai yang berani untuk menonjolkan ke'katoey'an mereka.

"Habis, Mama tak mahu balik ke Malaysia lagi ke?" Tanya pula Cindy sambil menggigit kuku jari. Cindy merapati Mama, seorang pereka hiasan dalaman dan fesyen yang dikatakan amat terkenal dikalangan artis-artis dan isteri-isteri orang kenamaan Malaysia. Yang juga seorang penulis novel sedang meningkat naik. Walau melalut tetapi popular dikalangan remaja. Mama diam. Matanya dikaca TV. Terlalu sensitif soalan itu. Ini bukan persoalan kegawatan ekonomi atau masalah bisnes. Mama memang sensitif. Selalu menangis sendirian. Selalu berprasangka dengan manusia-manusia yang memandang rendah golongan sepertinya. Lantas menulis novel-novel romantis yang menggambarkan jiwa romatiknya.

"Mama bukan tak nak balik langsung. Tapi Mama sedih, sebelum Mama ke Australia, Mama kena halau dari sebuah masjid. Untuk bersembahyang istikharah dan berdoa. Konon katoey Islam hanya boleh ke masjid di waktu-waktu tertentu. Satu penghinaan. Apa mereka ingat Mama ni tak layak ke masjid?" Mama tersedu.

Kitarong yang sudah lengkap sebagai Madonna, Cindy dan Ginger serentak cuba memujuk. Mengelilingi Mama. Persahabatan mereka berempat walaupun lebih banyak on-line, memang agak rapat. Seumpama adik beradik. Ketiga mereka tahu yang Mama adalah seorang penganut Islam. Walau Mama tidak pula menunjukkan ciri-ciri seorang Islam.

"Alah Mama, di mana-mana sama saja. Baru-baru ini Institut Rajabhat, maktab perguruan terbesar mengharamkan katoey dari jadi pelatih guru. Sebelum itu, dua orang katoey ditolak dari pasukan bola tampar kebangsaan kerana mereka katoey. Siri-siri drama di TV pula memaparkan watak katoey secara berlebihan. Mengeksploitasi sebagai bahan jenaka murahan. Menemple-nempel. Seolah-olah kita tak ada perasaan. Lebih-lebih yang dilakonkan oleh mereka yang bukan katoey!"

Madonna berkata dengan penuh semangat. Bersama bahasa Inggerisnya yang baik. Wajahnya yang sedikit-sedikit macam Maggie Chueng itu merah kemarahan. Topik seperti ini memang tak habis dibincangkan dan sentiasa sama nadanya. Prejudis!

"Diskriminasi terhadap katoey sentiasa ujud di mana-mana!" Tegas Ginger. "Tengok Dana International di Israel pun kena pulau walau berjaya di peringkat antarabangsa. Walau Spice Girls pun tawarkan dia sebagai pengganti Ginger Spice!"

Memang Ginger tak habis-habis bercerita tentang Spice Girls, terutama sejak Ginger Spice menarik diri. Ginger sendiri pun berangan-angan mahu menggantikan Ginger yang asli. Kerana itu dia sedaya upaya meniru setiap gaya Ginger Spice.

"Tetapi sekurang-kurangnya di Thailand katoey sudah semakin diterima sebagai sebahagian dari masyarakat. Sudah mempunyai siri TV sendiri. Tak macam Mama, bukan sahaja dikutuk, malah dihina secara terbuka. Kami seolah-olah semuanya sampah masyarakat! Keluarga sendiri pun meminggirkan Mama. Mereka semua tidak menghargai katoey langsung!"

Mama yang berkelulusan dalam hiasan dalaman dan rekaan fesyen sudah cukup lama memberontak. Sejak dari MCKK ke kolej pilihan ayah ibunya. Mama datang dari keluarga ternama bergelar Tan Sri yang tidak mahu mengakui hakikat dirinya. Malah mereka tidak akan sekali menerima Mama sebagai seorang wanita! Kerana itu Mama mahu menteteramkan dirinya bersama kawan-kawan yang lebih memahami. Jauh di Bangkok.

Mama masih ingat kata-kata ayahnya bahawa apa yang dialaminya sekadar itu perasaannya sahaja. Ayahnya seorang ketua eksekutif sebuah syarikat korporat besar menganggap Mama terlalu mengikut emosi. Bahkan Mama pernah dikurung berhari-hari kerana enggan memakai pakaian lelaki sewaktu rumah terbuka hari raya di rumahnya. Setelah ditempeleng dan ditendang kerana memalukan sebuah keluarga ternama.

Apalagi ibunya yang cukup terkenal sebagai pendokong beberapa pertubuhan wanita. Dengan empat adik beradiknya yang lain semuanya normal, ibunya menganggap Mama, anak bongsunya budak gila. Walhal mungkin, seperti kata seorang ahli pakar sakit jiwa yang pernah merawat Mama, punca utamanya adalah ibunya sendiri. Terlalu sibuk dengan urusan luar terutama dengan aktiviti wanita yang menyebabkan Mama, yang dibawa kemana-mana begitu seronok dalam alam wanita. Terpengaruh dengan ibunya sendiri.

Mama mahu saja membunuh diri setelah kemahuannya untuk mengikuti kursus solek menyolek dan jahitan ditentang habis-habisan. Ayahnya mahu dia mengambil jurusan perakaunan, sedangkan jiwanya membenci orang korporat seperti ayahnya. Yang terlalu mementingkan bisnes dan kedudukan dari jiwa anaknya sendiri. Mama cukup tertekan dan tenggelam dalam segala pemberontakan dalaman.

Yang lebih menyeksa Mama, kalau ada pun mereka yang sejenisnya bukanlah dari golongan cendiakawan sepertinya. Sukar untuk dia berkomunikasi dengan katoey yang lain. Yang berterusan mencari rezeki di lorong-lorong belakang. Yang menghina diri mereka sendiri dengan menjual maruah. Kerana itu dia menggunakan Internet sebagai medium untuk mencari mereka yang sama senasib dan setaraf pemikiran. Katoey intelek yang ada mertabat.

"Tetapi dalam kedudukan ekonomi sekarang, Bangkok pun bukan sebuah tempat yang baik!" Cindy bersuara setelah semuanya terdiam. Cindy graduan ekonomi ini menjadi pensyarah dan model sambilan. Sebagai pensyarah orang memanggilnya Mr. Kiatisuk. Sebagai model selepas senja, dia adalah Cindy Crawford.

"Itu tidak kisah, yang penting Mama ada kawan-kawan seperti kalian!" Mama terdiam sambil melihat wajah-wajah sahabatnya itu sebelum menyambung. "Nasib lebih baik jumpa jodoh dengan Tiger Woods!"

Riuh rendah apartment itu. Tiger Woods, pemain golf Amerika separuh Negro dan separuh Thai itu memang cukup sensasi. Dikatakan Tiger Woods berminat untuk menjadi warganegara Thai. Dan untuk beristerikan wanita Thai! Sesuatu yang boleh membantu ekonomi Thailand.

"Jom pergi ke kelab kita di Patpong!" Jerit Ginger yang telah bersedia dengan kunci kereta BMWnya.

Sewaktu turun ke tingkat bawah, mereka terserempak dengan seorang lagi katoey. Sedang memunggah guni-guni beras. Menunjukkan otot-otot yang timbul. Walau berwajah lembut wanita.

"Tengok Mama, itu Looknam, tahun lepas dia ratu cantik katoey. Kerana kemelesetan ekonomi terpaksa jadi kuli, bukan bintang! Dia mahu simpan duit untuk buat pembedahan plastik terutama kat dada!" Bisik Cindy perlahan-lahan disambut ketawa.

Dan malam itu Mama benar-benar terharu. Kumpulan 'Spice Gays' yang menyanyi di kelab malam itu menyanyikan lagu popular Spice Girls 'Mama' untuk "seorang katoey yang kini menjadi wanita baru!"

Mama yang dipeluk kawan-kawannya, menangis tersedu-sedu. Termasuk antaranya 'Lady Diana', 'Demi Moore', 'Liz Taylor' dan "Pauline Henson' yang dikelilingi para 'aborigine'nya.

"Sawasdee Mama!"


BALIK