Oleh: Uthaya Sankar SB
KALI ini dia menjadi manusia pula. Peluang seumpama ini memang telah lama dinantikannya sejak lama dahulu. Sebelum ini, pernah dia merayu-rayu meminta dirinya dibenarkan menjadi manusia. Tapi tiap kali itulah juga usahanya tidak membuahkan hasil. Rayuannya sering dipandang enteng.
"Kau tidak layak menjadi manusia."
Demikian jawapan yang sering diterimanya. Tapi kini impiannya sudah tercapai. Dia mejadi manusia. Dia benar-benar menjadi manusia.
Dia benar-benar diberi kepercayaan untuk menjadi manusia. Manusia pada erti kata yang sebenar.
"Kau jadi siapa?" tanya rakannya yang sebelum ini sering menjadi pengawal pintu istana atau pun pengayuh sampan.
"Manusia!"
"Itu aku tahu. Malah mungkin semua orang sudah tahu sebab sudah kau hebohkan merata-rata," rungut rakannya itu. "Kau jadi siapa; maksudku watak siapa yang akan kau mainkan?"
Watak siapa yang akan aku mainkan? tanyanya sendirian. Ah! Itu tidak penting. Yang penting, aku memegang peranan seorang manusia di dalam pementasan kali ini.
Sebelum ini, dia terlalu sering diberi peranan bukan manusia. Rakannya agak beruntung kerana walaupun dia sekadar menjadi pengawal istana atau pendayung sampan atau pak pacak, wataknya tetap manusia. Dirinya pula sering diberi peranan yang tidak memerlukan apa-apa pergerakan atau dialog. Malah ekspresi muka pun tidak perlu. Dia hanya perlu berdiri -- atau terbaring -- kaku tanpa suara.
Semasa mula-mula menyertai kumpulan pementasan ini, dia mengharapkan peranan yang kecil sahaja. Maklum sahaja dia tiada pengalaman mahu pun pengetahuan tentang dunia teater. Yang ada hanya minat yang sangat mendalam. Berbekalkan minat itulah dia merayu pada tuan pengarah. Akhirnya dia berjaya.
Peranan pertama yang diberikan padanya adalah mangkuk. Ya, mangkuk yang digunakan untuk makan itulah. Pada mulanya dia fikir peranan 'mangkuk' ada makna simbolik. Mungkin 'mangkuk' yang dimaksudkan bukan mangkuk yang digunakan untuk makan tetapi merujuk kepada 'orang bodoh'.
Demikian tanggapan dan harapannya. Tapi ternyata dia silap. Peranan 'mangkuk' yang dipegangnya tidak lebih daripada peranan bekas makanan. Dia hanya perlu duduk mencanguk di atas meja semasa pementasan. Di situlah letak duduknya sepanjang pementasan dari awal hingga akhir.
Mungkin ada penonton yang menyangka 'mangkuk' itu akan turut memainkan peranan di dalam pementasan yang dilakukan. Tapi ternyata dia hanya menjadi prop yang tidak berperanan dari awal hingga akhir. Dan dia tidak terlalu kecewa kerana dia akur pada hakikat bahawa dia masih terlalu mentah dalam alam pementasan pada waktu itu.
Kemudian dia pernah menjadi pokok pinang dalam sebuah lagi pementasan lain. Bukan dia seorang sahaja sebenarnya. Ada sekitar tujuh pelakon lain. Mereka hanya perlu berdiri tegak di atas pentas. Beberapa pelakon lain akan mempersembahkan lakonan dengan berlatarkan pokok-pokok pinang itu. Itupun hanya bagi satu scene. Babak-babak lain menggunakan latar tempat lain di mana pelakon lain pula yang menjadi prop latar.
Begitulah sejak empat tahun lalu. Dia sudah pernah memegang hampir semua peranan tidak bernyawa. Dia sudah menjadi kerusi, meja, pokok, tiang, tembok. Malah pernah juga dia menjadi burung hantu. Dia perlu berlari dari penjuru kiri pentas menuju ke penjuru kanan sebanyak dua kali sambil mengibaskan tangan. Itu sahaja. Kemudian dia turun pentas dari arah belakang. Habis. Pelakon-pelakon lain yang memainkan peranan-peranan lain bagi menjayakan pementasan tersebut.
"Tahniah!" tegur seseorang.
Dia tersenyum bangga kerana sudah dapat mengagak bahawa ucapan tahniah itu adalah kerana dia akan memegang peranan manusia di dalam pementasan teater terbaru nanti.
"Pengarah kata, kau pegang peranan Paul Lathic," tambah rakan tadi sambil mengerak-gerakkan kening berulang kali.
"Paul Lathic? I don't believe this! Aku menjadi Paul Lathic yang mashyur itu?!"
"Ya, sayang," rakan itu meyakinkan dengan suara manja.
"Wow! Dan kau?"
"Ah! Macam biasa sahaja ... pak pacak."
"Nasib kaulah," dia berkata di dalam hati.
Sepanjang malam dia tidak dapat melelapkan mata. Peluang yang diterimanya benar-benar di luar jangkaannya.
Bayangkan: aku menjadi Paul Lathic!
Siapa yang tidak kenal Paul Lathic. Zaman kanak-kanaknya, zaman remajanya, kisah cintanya, hidup rumah tangganya, perjuangan politiknya, hidup peribadinya serta apa sahaja yang berkaitan dengan dirinya semuanya sudah dibukukan. Segenap lapisan masyarakat sudah membacanya. Malah sebuah buku koleksi surat-suratnya dijadikan bahan kajian oleh sejumlah sarjana bidang sastera dan kemanusiaan.
Siapa yang tidak kenal Paul Lathic, negarawan unggul itu? Siapa yang tidak pernah kagum dengan kepimpinan Paul Lathic. Kanak-kanak sekolah pun sudah biasa melaungkan kata-kata pujian terhadap pemimpin itu; walaupun hanya sebagai mengulangi apa yang diajar oleh guru-guru sekolah.
Daripada hidup sengsara di zaman kanak-kanak, Paul Lathic bekerja keras menuju zaman kegemilangannya. Dilaluinya hidup remaja penuh pancaroba. Diredahnya alam pekerjaan yang terlalu mementingkan pangkat dan wang. Akhirnya dia bangkit melaungkan kata 'merdeka.'
Serta-merta selepas itu dia dilamar oleh seorang tokoh politik. Tugasnya adalah untuk melaungkan kata 'merdeka' bagi pihak parti XYZ pimpinan tokoh berkenaan.
Begitu cepat sekali Paul Lathic berjaya menjadi anak emas tokoh berkenaan. Dalam masa tidak sampai setahun sahaja dia masuk bertanding jawatan kedua tertinggi dalam parti XYZ. Undian memihak 99% padanya memandangkan dia dicalonkan sendiri oleh tokoh yang memegang jawatan tertinggi parti XYZ.
Kemudian, baru lima tahun lalu Paul Lathic berjaya memegang jawatan tertinggi setelah tokoh yang 'melamar'nya dahulu meninggal dunia. Serta-merta Paul Lathic diangkat menjadi ketua; sekaligus presiden Pulau Cinta.
Tapi tentu sahaja sepanjang terlibat dalam parti XYZ, dia terpaksa terlebih dahulu memperjuangkan kemerdekaan Pulau Cinta daripada belenggu penjajah. Perjuangannya yang bersungguh-sungguh itu tetap dikenang hingga hari ini. Malah apabila Paul Lathic meninggal dunia tahun lalu, pucuk pimpinan parti XYZ khasnya dan rakyat Pulau Cinta amnya tertanya-tanya siapakah yang akan mengganti tempat Paul Lathic sebagai pemimpin negara. Tiada tokoh yang difikirkan layak selayak-layaknya. Tiada yang difikirkan akan dapat melaksanakan tugas pimpinan sebaik Paul Lathic, pemimpin lagenda itu.
"Wah! Aku memegang peranan Paul Lathic," katanya sendirian. Kemudian dia segera bangkit dari katil menuju ke cermin besar di sisi pintu bilik. Dibukanya lampu lalu memandang wajahnya di dalam cermin.
"Ya, wajah aku memang iras wajah Paul Lathic!" Dia tersenyum. "Hidungku mancung seperti hidungnya juga. Dan lihat. Oh! Bentuk fizikalku juga menyamai bentuk tubuhnya."
Ditenungnya dirinya dalam cermin. Dia tersenyum bangga. Diangkat-angkatnya kening sambil merenung matanya sendiri. Kemudian ditariknya bibir ke kiri.
"Bukankah ini stail Paul Lathic di zaman remajanya!" Tapi segera dia mengerutkan kening.
"Alamak! Bukankah Paul Lathic ada gaya sendiri hampir setiap tahun?" fikirnya. "Semasa di zaman remaja dia suka menarik bibirnya ke sisi. Kemudian dia suka mengangkat-angkat kening. Lepas tu ada pula dia mulakan trend mengangguk-angguk semasa berucap di khalayak ramai. Kemudian macam-macam lagi gaya yang terus sahaja menjadi ikutan ahli parti XYZ."
Dia terdiam. Dia perlu tahu dahulu peringkat umur Paul Lathic yang akan dibawakannya di dalam pementasan yang bakal diadakan. Kemudian barulah boleh dia melatih diri secara intensif untuk menjiwai secara total watak dan perwatakan Paul Lathic yang dianggap lagenda itu. "Mungkin juga aku akan diminta membawakan peranan Paul Lathic sejak dia menjadi ahli parti XYZ sehinggalah kejayaannya menjadi pemimpin parti XYZ. Wah! Itu tentu lebih mencabar kerana aku perlu menjiwai perwatakan Paul Lathic semasa mula-mula menjadi 'kaki laung' tanpa upah. Kemudian bagaimana sikap dan statusnya berubah apabila mula melibatkan diri dalam hal-hal politik. Kemudian bagaimana dia menjadi presiden Pulau Cinta...." Setelah tersenyum sendiri memikirkan segala hal itu, dia memutuskan untuk tidur sahaja. Esok dia akan berhubung terus dengan pengarah drama untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang watak yang akan dipegangnya.
Ketibaan subuh disambutnya dengan ceria. Tanpa berlengah, ditujuinya dewan latihan di pusat bandar. Pengarah sedang mengedarkan skrip kepada para pelakon yang terlibat di dalam menjayakan drama terbaru itu.
Disedarinya bahawa para pelakon lain asyik menjeling ke arahnya dengan rasa cemburu. Mereka kelihatan berbisik sesama sendiri sambil menjuihkan bibir.
Biarkanlah! Tentu mereka cemburu dan iri hati, fikirnya.
Dilewatinya ruang dewan latihan dengan penuh bangga. Ditujuinya kerusi tempat pengarah drama "Paul Lathic" sedang duduk meneliti skrip.
"Skrip saya, tuan?" tanyanya apabila menyedari bahawa dia tidak diberikan senaskhah.
"Oh! Kau mainkan peranan Paul Lathic."
"Jadi, skripnya?"
"Tak perlu."
Dia tergamam seketika. Ditenungnya wajah pengarah muda itu.
"Mungkinkah aku dibenarkan membuat inovasi sendiri?" fikirnya.
"Jika begitu, tentu lebih hebat lagi. Aku akan dapat melakukan apa yang aku suka kepada watak yang aku pegang."
Para pelakon lain sedang membelek-belek skrip masing-masing sambil sesekala menjeling ke arahnya.
"Okey, kita cuba posisi setiap pelakon," pengarah muda melaung dari arah pentas. "Kau yang pegang peranan Paul Lathic, cepat ke mari."
Segera dia bergegas menuju pentas. Dapat dirasakannya bahawa para pelakon lain sedang memerhatikannya. Tentu mereka cemburu kerana aku memegang peranan bekas presiden! Demikian fikirnya. Paul Lathic bukannya calang-calang orang. Itu setiap warga Pulau Cinta akui. Murid-murid sekolah pun boleh menyanyikan lagu yang memuja Paul Lathic jauh sebelum mereka belajar lagu kebangsaan Pulau Cinta. Pelajar sekolah membaca biografi tentang Paul Lathic sebagai buku sejarah. Demikian juga para penuntut pusat pengajian tinggi.
Dan kini dia diberi penghormatan untuk memegang peranan sebagai negarawan unggul itu. Tentu pementasan kali ini membuka ruang kepadanya untuk menonjolkan diri. Mungkin dia akan berpeluang pula untuk menjerumus dalam bidang kepolitikan parti XYZ. Tambahan, mungkin mulai sekarang dia akan diberi nama jolokan 'Paul Lathic Jr'.
"Okey, kau baring sahaja di tengah pentas."
"Baring sahaja?"
"Ya. Itu sahaja yang perlu kau lakukan."
"Apa?" tanyanya kehairanan.
"Ya lah. Kau pegang peranan Paul Lathic pada hari dia meninggal.
Kau jadi mayatnya," pengarah muda itu menjelaskan. "Kau hanya perlu berbaring kaku di tengah pentas. Watak-watak lain yang akan beraksi bagi menjayakan pementasan kita."
"Saya sekadar menjadi mayat Paul Lathic?"