Mengkenyahkan Bahasa Melayu?

Oleh: Emyzul Ismail


      SAYA amat tertarik akan kata-kata Profesor Nik Safiah Karim bahawa, bahasa Melayu itu sememangnya indah.  Cuma penggunanya sahaja yang tidak tahu akan keindahannya.  Saya ingin membawa pembaca meneliti situasi harian lisan bahasa Melayu di tempat saya ditugaskan.   

  Mengagumkan!  Hal ini demikian kerana sangkaan saya boleh dikatakan meleset terhadap kemampuan masyarakat Long Banyok suku kaum Kenyah untuk berbahasa Melayu.  Masyarakat kampung termasuk golongan tua boleh berbahasa Melayu malah boleh menandingi golongan tua yang menjadikan bahasa Melayu dialek Sarawak sebagai pertuturan harian.  Hal ini demikian kerana mereka menggunakan bahasa Melayu yang agak standard tetapi diselang-selikan dengan dialek daerah serta suku kaum mereka sendiri.   

  Frasa “Am ku toeh” atau “Tidak saya tahu” ingin saya utarakan buat tatapan pembaca.  Dua perkara yang ingin difokuskan di sini iaitu berlakunya penyongsangan ayat apabila dialek daerah diterjemahkan secara langsung dalam bahasa Melayu yang dituturkan dengan intonasi yang cukup indah.  Selain itu, terdapat ciri-ciri kekembaran maksud pada perkataan “ku” yang membawa maksud “saya” juga “toeh” yang bermaksud “tahu” dalam bahasa Melayu.  Hal ini melambangkan betapa bahasa suku kaum Kenyah ini mempunyai unsur-unsur persamaan dalam bahasa Melayu.   

  Seperkara lagi yang ingin dipaparkan ialah penggunaan partikel –lah dalam bahasa suku kaum Kenyah apabila mereka bertutur dalam bahasa Melayu.  Sebenarnya, penggunaan partikel –lah dalam bahasa suku kaum ini tidaklah sama dalam bahasa Melayu.  Yang menarik ialah nada pengucapannya yang pada pandangan saya amat indah apabila dituturkan.  Antaranya, “Mengapalah?”, “Kenapalah?”, dan “Siapalah?”.   Partikel -lah dalam ayat-ayat ini bermaksud, “Mengapa jadi begitu?”, “Kenapa jadi begitu?”, dan “Habis tu, siapa?”.    

 Banyak lagi pertuturan lisan akibat mengkenyahkan bahasa Melayu boleh dipaparkan.  Namun, sebalik keindahan pertuturan lisan ini, wujudnya impak yang kurang baik dalam penulisan bahasa Melayu terutamanya di kalangan murid-murid.  Masalahnya, sesetengah murid terbawa-bawa pertuturan lisan ini dalam penulisan mereka.  Dalam penulisan U.P.S.R., sering ditemui penggunaan ayat-ayat songsang dan penggunaan partikel –lah yang tidak serasi dengan pengolahan bahasa yang tidak tepat.  Hal ini dapat dilihat dalam penulisan yang menggunakan dialog.  Contohnya:  

    Sophia: Saya tidak dapat datang ke sekolah pada petang ini.   

Jeffery: Mengapalah?   

  Begitulah secara ringkas pemadahan unsur-unsur keindahan pengenyahan bahasa Melayu dalam pertuturannya yang tidak kurang dengan impak kurang moleknya dalam penulisan.  Apa pun, itulah cabaran buat guru bahasa Melayu seperti saya di Sekolah Rendah Kerajaan Morek, Baram ini.   


BALIK