Penggunaan bahasa Melayu di Hotel

Oleh: Dahlia Ahmad


   SAMBUTAN masyarakat terhadap kepentingan penggunaan bahasa Melayu kini semakin baik.  Keprihatinan terhadap bahasa Melayu terbukti melalui usaha kerajaan baru-baru ini yang menyarankan penggunaan bahasa Melayu di hotel-hotel.   

  Usaha ini sepatutnya dilaksanakan pada peringkat awal lagi. Walau bagaimanapun, kita masih belum terlambat untuk memulakan langkah yang sewajarnya.  Penggunaan bahasa Melayu di hotel-hotel adalah salah satu cara yang paling wajar dipraktikkan, kerana bidang perhotelan   melibatkan industri pelancongan.  Seperti yang kita ketahui hotel-hotel biasanya dikunjungi oleh pelancong-pelancong luar negara.  Sekiranya penggunaan bahasa Melayu dilaksanakan, usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang dikenali dunia akan menjadi realiti dan bukanlah fantasi semata-mata.   

  Dalam hal ini pekerja-pekerja hotel memainkan peranan penting. Sebagai petugas yang sering berdepan dan berinteraksi dengan orang luar, mereka seharusnya berusaha berkomunikasi dalam bahasa Melayu sepenuhnya terutama dengan pelancong tempatan.  Dengan cara ini pelancong-pelancong yang berkunjung ke Malaysia bukan sahaja dapat menikmati keindahan dan kedamaian negara kita tetapi dapat mempelajari dan menghayati bahasa ibunda kita.  Hotel-hotel boleh mengambil inisiatif dengan menyediakan menu-menu dalam bahasa Melayu misalnya untuk membuktikan sokongan mereka terhadap usaha sebegini.   

  Petugas-petugas di hotel tidak boleh mengambil sikap sambil lewa terhadap kepentingan bahasa Melayu seperti yang berlaku baru-baru ini ketika saya menginap di salah sebuah hotel di ibu kota.  Semasa makan tengah hari kami dipisahkan dalam dua kumpulan; kumpulan yang dimaksudkan ialah kumpulan saya dan pemain bola keranjang dari Thailand.  Di atas meja makan diletakkan kad yang tertulis “TAHI LAND” untuk membezakan kami.  Saya agak terkejut melihat ejaannya.  Perkataan yang sepatutnya dieja “Thailand” menjadi “Tahi Land”.  Kesilapan sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana hal ini merupakan nama negara yang sering disebut dan tidak sepatutnya berlaku kesilapan.  Agak malang lagi kerana apabila ditegur, pekerja di hotel tersebut seperti lepas tangan dan tidak langsung mengambil inisiatif untuk membetulkan ejaan tersebut.  Sekiranya keadaan ini berterusan, kesilapan ini boleh menjejaskan imej hotel tersebut kerana kita sudah sedia maklum hotel menjadi tumpuan pelancong-pelancong dalam dan luar negara.   

  Untuk merealisasikan usaha ini, perlu ada kesedaran dan kerjasama daripada semua pihak.  Sesuatu usaha ini tidak akan berjaya sekiranya tiada kesungguhan.  Semoga bahasa Melayu berjaya diketengahkan sebagai bahasa yang dikenali dan diminati bukan sahaja warga negara Malaysia malah yang lebih penting oleh dunia luar.   Dahlia Ahmad


BALIK