Utusan 2/2/97

Oleh: ??? (email Fudzail)


Usah bertelagah mengenai karya eksperimental

PERSOALAN kehadiran karya sastera berbentuk eksperimental sepatutnya tidak menjadi pertelagahan yang berpanjangan di kalangan sasterawan sendiri. Sebaliknya biarlah penulis aliran itu meneruskan kebebasan berkarya untuk mereka menghasilkan sesuatu yang dianggap baru, ada kelainan dan sebagainya.  

  Marsli N.O dalam tulisannya, Mingguan Malaysia 29 Disember 1996, melahirkan rasa kecewanya dengan sikap sesetengah sasterawan yang membuat tuduhan bahawa dengan kehadiran karya berbentuk eksperimental sebagai penyebab sastera kita kehilangan khalayak.  

  Lontaran rasa kecewanya itu memang ada kewajarannya, sebagai penutup tirai tahun 1996. Isu ini sudah lama menjadi polemik yang tak berkesudahan.  

Namun begitu, setelah meneliti dan memerhati sejak sekian lamanya, iaitu sejak munculnya karya-karya berbentuk eksperimental ini, timbul satu kecenderungan baru di kalangan para editor, pengkritik dan penggemar karya eksperimental untuk mengangkat karya dan penulis aliran itu ke persada seni yang amat tinggi sekali.   

Keadaan itu, mungkin dirasakan oleh penulis aliran lain sebagai satu ancaman. Dalam masa yang singkat saja SM Zakir menjadi lebih terkenal dari penulis yang lebih lama bergelumang dengan dunia sastera. Zaen Kasturi pula diberi saham yang amat mahal harganya, apabila dilantik sebagai editor Dewan Sastera (DS).  

  Karya-karya yang bukan aliran eksperimental, sukar mendapat tempat di DS, kecuali penulis itu sudah ada nama besar. Berdasarkan kepada elemen-elemen ini, penulis aliran lain (selain dari karya eksperimental), barangkali merasakan perkembangan ini sebagai anasir yang kurang sihat.  

Barangkali juga, mereka rasakan diri mereka terpinggir kerana dipinggirkan. Mereka (bukan semua), mula melenting apabila menghadapi suasana yang tidak adil ini menurut pendapat mereka, lantas membuat pelbagai kritikan. Ada kritikan yang dibuat berdasarkan emosi semata dan jarang sekali yang dibuat secara ilmiah dan bersopan.   

Sama ada penulis-penulis aliran bukan eksperimental ini memang sengaja dipinggirkan ataupun sebaliknya, mereka tidak patut melenting. Kepopularitian SM Zakir dalam masa yang singkat disebabkan oleh banyak faktor antaranya; beliau memiliki bakat alam yang semula jadi, terpengaruh dengan ayahnya dan beberapa faktor lain.   

Seperti yang disarankan oleh Marsli N.O. agar sasterawan sewajarnya banyak membaca dan memiliki pelbagai ilmu bantu, satu sasaran yang baik. Banyak membaca, rajin membuat rujukan, akan mematangkan fikiran seseorang sasterawan dan bila seseorang sasterawan itu menulis, beliau tidak menulis berdasarkan emosi semata.   

Kehadiran karya-karya eksperimental dalam tidak wajar disekat, sepertimana kehadiran teknologi maklumat melalui rangkaian lebuh raya maklumat. Sasterawan sepatutnya menerima sebarang perubahan selagi perubahan itu tidak terkeluar dari landasan sastera bangsa.   

Selagi bentuk eksperimental itu tidak melanggar batas akidah yang ditetapkan oleh agama, ada nilai seni, tidak terkeluar dari kolong sastera bangsa, sememangnya eksperimental dalam lingkungan garisan ini boleh diterima.   

Penulis-penulis aliran eksperimental ini lazimnya menggunakan bahasa yang simbolik melalui istilah yang bukan-bukan (yang sukar dimengertikan), yang sesetengahnya tidak ada dalam kamus bahasa. Pembaca terpaksa banyak berfikir untuk memahami maksud yang ditulis oleh si penulis.  

Penyampaian sesuatu mesej dalam bentuk simbolik ini misalnya bukan baru, bahkan alim ulama di zaman silam pernah menguji kepintaran muridnya melalui bahasa yang amat simbolik.   

Seorang guru agama yang ingin menguji kepintaran muridnya, memberi dua ekor ayam untuk disembelih oleh dua orang muridnya yang akan tamat pengajian. Seorang murid membawa ayam itu ke dalam hutan kerana sebelum itu gurunya berpesan agar ayam itu disembelih di tempat yang tidak ada orang dan jangan sekali menyembelih, ada orang nampak.   

Yang seorang muridnya juga diingatkan perkara yang sama tetapi dia tidak dapat menyembelih ayam itu kerana ke mana pun dia pergi, dia merasakan ada yang nampak (Allah).   

Apabila kedua-dua muridnya kembali semula kepadanya, guru itupun bertanya kepada salah seorang muridnya, ``sudahkah kamu sembelih ayam itu''?  

Maka jawab salah seorang muridnya, ``sudah pak guru.''  

``Kamu pula?'' tanya pak guru itu kepada seorang lagi muridmya.  

``Tidak pak guru, jawab murid itu''.

   ``Kenapa tidak?'' tanya pak guru lagi.   

`Sebab ke mana-mana pun saya pergi di dunia, saya tetap merasakan ada yang nampak. Sesungguhnya Allah tetap nampak saya sedangkan pak guru kata jangan bagi orang nampak.''   

``Kamu murid yang pintar, kamu lulus ujian dan pengajian kamu telah tamat,'' kata pak guru kepada yang tak jadi sembelih ayamnya. Kepada yang sembelih ayamnya ``kamu seorang murid yang bodoh dan kamu kena belajar lagi.''   

Begitu juga dengan mesej yang disampaikan melalui karya-karya eksperimental. Ia tidak diceritakan secara langsung kepada pembaca, sebaliknya melalui bahasa yang amat simbolik dengan menggunakan istilah-istilah yang ganjil bunyinya.


BALIK