MATA

 

PENGENALAN

Mata adalah satu deria yang sangat berharga kepada manusia. Jika mata tidak lagi berfungsi, segala keindahan alam tidak lagi dapat dinikmati. Untuk mengetahui, memahami dan menafsir dunia luar merupakan fungsi otak, pengalaman serta mata kita. Jadi kecacatan dalam penglihatan ini boleh menghalang pemahaman seseorang individu terhadap dunia seperti sedia kala. Definisinya jika dilihat dari segi undang-undang, ia melibatkan penilaian ketajaman penglihatan dan medan penglihatan iaitu seseorang yang buta di sisi undang-undang mempunyai ketajaman penglihatan 20/20 atau kurang dengan mata yang lebih baik penglihatannya walaupun dengan pembetulan. Melalui sistem klasifikasi undang-undang ini juga, orang yang kabur penglihatannya mempunyai ketajaman penglihatan di antara 20/70 dengan 20/200 dengan mata yang lebih baik penglihatannya. Melihat kepada kekerapan kejadian di Amerika Syarikat telah menunjukkan kurang daripada 0.10 peratus daripada bilangan penduduk dalam lingkungan umur antara 6 hingga 17 tahun telah diklasifikasikan sebagai tidak sempurna penglihatan mereka. Bagi pendidikan, individu yang buta ini terpaksa belajar membaca dengan menggunakan sistem tulisan braille ataupun menggunakan kaedah mendengar iaitu pita audio dan rakaman. Bagi individu yang tergolong dalam penglihatan rendah pula ialah mereka yang tidak sempurna penglihatannya serta dapat membaca tulisan cetak walaupun mereka memerlukan alat-alat pembesar atau buku yang memakai huruf cetak yang besar. Sesetengah individu yang rendah daya penglihatannya akan menghadapi menghadapi keadaan di mana terpaksa mempelajari Braille untuk persediaan apabila mereka sudah mencapai ke tahap tidak lagi dapat membaca bahan cetak dengan berkesan. Dari sini secara tidak langsung terdapatnya beberapa klasifikasi bagi kanak-kanak yang cacat penglihatan ini. Klasifikasi pendidikan berdasarkan penyesuaian-penyesuaian khas perlu bagi menolong kanak-kanak ini belajar. Bagi kecacatan penglihatan yang sederhana, ia boleh dibantu dengan alat bantu pandang manakala ia tidak berkesan bagi yang mengalami kecacatan yang berat kerana tidak dapat menggunakan penglihatannya sebagai pembelajaran. Namun apa yang hendak diberi penekanan di sini ialah melihat kepada masalah atau cabaran yang dihadapi oleh golongan cacat penglihatan ini bagi memasukkan diri mereka dalam masyarakat serta pembentukan personaliti dalam membangunkan diri mereka.

TANDA-TANDA TIMBULNYA MASALAH MATA

TINGKAHLAKU

i) Menggosok-gosok mata dengan keterlaluan.

ii) menutup atau melindungi sebelah mata , mengenyetkan kepala atau mendorong kepala ke depan.

iii)mengalami kesulitan membaca atau membuat kerja-kerja lain yang memerlukan penggunaan mata dengan rapi.

iv)mengedip-ngedip mata lebih kerap daripada biasanya atau mudah berasa jengkel apabila membuat kerja yang memerlukan penglihatan rapi.

v) memegang buku rapat pada mata.

vi)tidak dapat melihat benda-benda yang jauh dengan jelas.

vii)mengecilkan mata (merapatkan kelopak mata) atau mengerutkan dahi.

RUPA

i)bermata juling.
Biasanya antara sebab mata juling ini adalah disebabkan oleh rabun dekat yang terlalu teruk ataupun oleh penyakit barah.

ii)kelopak mata merah.
Tahap penglihatan anak adalah amat sensitif ketika tahun-tahun awal tumbesaran anak terutamanya ketika berusia 4 dan 5 tahun.

iii)mata yang radang atau berair.

iv)Tembel yang timbul berulang kali.

KOMPELIN

i)mata gatal, merah atau berasa gatal-gatal.

ii)tidak dapat melihat dengan jelas.

iii)pening kepala (rasa pening), sakit kepala atau rasa loya (mual) berikutan daripada kerja yang banyak memerlukan penglihatan rapi.

iv)penglihatan kabur atau berganda.

Bagi katarak, ia disebabkan oleh pengaburan kanta mata yang mengakibatkan penglihatan menjadi kabur. Pada kanak-kanak, keadaan ini dinamakan katarak konginental (katarak sejak lahir) dan penglihatan bagi jarak jauh dan terhadap warna adalah jelas.

Dr. Abdul Aziz Al-Aklbar bin Mohamed Noor mengatakan, "mengesan punca kerosakan mata di peringkat awal amat mustahak kerana jika terlambat terutamanya selepas anak berusia 10 tahun, rawatan yang diberikan mungkin memakan masa kerana ia berkait rapat dengan perkembangan otak. Selepas 10 tahun, perkembangan otak manusia sudah tetap jadi sukar untuk kita merawat penyakit tersebut dengan sepenuhnya."

CABARAN-CABARAN YANG DIHADAPI

Banyak cabaran yang harus dihadapi oleh golongan cacat penglihatan ini dan ini secara tidak langsung juga melibatkan keluarga serta golongan yang mendidik mereka. Individu ini mesti dibentuk dalam membolehkan mereka berdikari seterusnya mempunyai kehidupan sendiri yang mana tidak perlu bergantung kepada bantuan atau belas kasihan dari orang lain. Dalam proses pembentukan ini, keluarga memainkan peranan penting dalam memberi sokongan dan dorongan di samping terdapatnya pendidikan yang diterapkan oleh pihak sekolah. Malah keprihatinan masyarakat sekitar juga sama pentingnya dalam membolehkan golongan ini mempunyai keyakinan diri dalam melakukan sesuatu kerja. Pembentukan personaliti adalah penting terutamanya dari peringkat awal dalam membentuk diri yang sentiasa berfikiran positif.

Kanak-kanak cacat penglihatan

Kanak-kanak yang cacat penglihatan biasanya normal seperti kanak-kanak biasa cuma mereka hanya kekurangan dari segi kebolehan melihat sahaja. Namun yang menimbulkan masalah adalah cacat penglihatan yang disertai dengan beberapa kecacatan lain seperti pekak, autisme dan kecacatan anggota badan. Bagi kanak-kanak yang mempunyai kecacatan pelbagai ini, ia menimbulkan masalah terutamanya dalam penerimaan pendidikan. Temuramah ringkas telah dijalankan dengan seorang guru Sekolah Rendah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Jalan Batu iaitu Cikgu Basiran Yusof. Hasil daripada temuramah ini didapati yang kanak-kanak cacat penglihatan sepenuhnya iaitu buta adalah sama seperti kanak-kanak normal lain cuma kekurangan dari segi melihat. Malah kebanyakan daripada mereka menunjukkan pencapaian yang menggalakkan berbanding dengan murid yang rabun. Perkembangan kemahiran dalam diri kanak-kanak ini penting dengan diberi dorongan oleh keluarga dan guru. Adalah penting dalam membiarkan kanak-kanak istimewa ini melakukan sendiri kerja mereka. Dengan ini, banyak perkara-perkara baru akan dialami oleh mereka dan seterusnya dapat meluaskan pengalaman hidup mereka untuk penyediaan diri di masa depan.

Keluarga

Golongan keluarga penting dalam pembentukan diri individu ini. Sokongan moral dari semasa ke semasa akan menggalakkan mereka dalam melakukan sesuatu yang terbaik bagi diri mereka.Bagi kanak-kanak buta sepenuhnya, penerimaan keluarga di atas kecacatannya adalah positif di mana mereka sedia maklum yang anaknya buta walaupun mungkin sukar untuk mereka terimanya di peringkat awal. Namun perubahan masa telah membuatkan mereka menerimanya sebagai satu yang telah ditakdirkan. Seterusnya mereka akan mengambil berat akan perkembangan anaknya dalam melihat anaknya berjaya dalam pelajaran. Namun bagi sesetengah golongan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang rabun menganggap yang anaknya adalah normal seperti kanak-kanak lain dan mengatakan 'anaknya tidak cacat cuma rabun.' Jadi sesetengah mereka tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah pendidikan khas walaupun telah dinasihati oleh doktor berbuat demikian. Ketidakterimaan ini membuatkan sesetengahnya melayan anak mereka seperti anak-anak normal dan ini termasuklah dalam melihat kepada pelajaran mereka tanpa memberi penekanan yang lebih dalam aspek ini. Malah jika dibandingkan akan pencapaian akademik di antara pelajar buta dengan rabun, pencapaian pelajar buta lebih baik secara keseluruhannya.

Guru / sekolah

Golongan ini biasanya cuba membentuk diri kanak-kanak ini agar dapat mengeluarkan bakat-bakat yang ada di samping mengajar sukatan-sukatan pelajaran yang ditetapkan. Dalam meneliti masalah yang dihadapi oleh guru, biasanya masalah umumnya adalah dalam mengajar murid yang cacat penglihatan diikuti dengan kecacatan lain. Cikgu Basiran sendiri mengatakan yang tiada masalah dalam mengajar kanak-kanak buta sahaja tetapi masalah akan timbul jika kanak-kanak itu mempunyai kecacatan lain seperti autisme dan sebagainya. Ini kerana guru yang ada kebanyakannya mempunyai kelulusan dalam mengajar kanak-kanak buta sahaja. Jadi ia kadang-kadang menimbulkan masalah bagi guru-guru ini dalam menyampaikan pelajaran bagi golongan kanak-kanak ini. Di samping itu kekurangan pakar dalam bidang ini juga menimbulkan masalah. Dalam melihat dari segi pelajaran yang disampaikan adalah sama seperti sekolah normal cuma tulisannya dipindahkan dalam bentuk braille. Di samping itu, ia juga mengikut keupayaan masing-masing. Sukatan pelajaran mesti dihabiskan kerana peperiksaan tetap dijalankan. Biasanya setiap guru akan memberi lebih penekanan kepada anak muridnya. Malah dalam satu-satu kelas maksimanya hanya 6 orang sahaja. Jika diikutkan nisbah pula, seorang guru adalah untuk 3 orang murid (1:3). Salah satu akibat sampingan yang terbit daripada pergerakan dan pengalaman yang terbatas ialah keadaan tidak berupaya yang telah diterima menerusi pengalaman. Di sinilah guru penting dalam memainkan peranannya dengan menolong pelajar yang tidak sempurna penglihatannya untuk membentuk mereka menjadi individu yang aktif dan seterusnya dapat berdikari kelak. Kebanyakan golongan yang mengalami kecacatan penglihatan yang berat dan menyeluruh dikenalpasti lama sebelum mereka masuk ke sekolah. Namun ibu bapa dan guru pra-sekolah dapat memperluaskan pengalaman kanak-kanak ini jika sebarang masalah dapat dikenalpasti lebih awal lagi. Di sini, ingin disentuh sedikit mengenai program pendidikan bagi kanak-kanak ini iaitu ianya haruslah menekankan kepada pembelajaran konkrit, penyepaduan dalam pengalaman berserta kegiatan-kegiatan yang menggunakan peralatan. Malah kebanyakan pendidik berpendapat bahawa kecerdasan terjejas oleh pengalaman kanak-kanak ini semasa mereka berkembang. Remaja yang cacat penglihatan ini adalah kurang dari segi pengalaman bersepadu dan pemahaman mengenai pengalaman-pengalaman yang biasa bagi golongan yang boleh melihat. Ini adalah cabaran bagi pendidik untuk mengatasi keadaan ini melalui program khas pengajaran. Selain menggunakan Braille, golongan ini akan terus menggunakan penglihatan (bagi penglihatannya rendah), menggunakan kemahiran mendengar serta alat bantu berteknologi seperti optakon, mesin pembaca Kurzweil, Versabraille dan perkhidmatan video deskriptif.

Masyarakat sekitar

Masyarakat sekitar mempunyai juga akan mempengaruhi diri individu ini. Integrasi penting di antara masyarakat luar dengan golongan ini. Bagi pihak sekolah kanak-kanak cacat penglihatan ini, banyak aktiviti telah dilakukan dalam mendekatkan diri kanak-kanak ini dengan suasana persekitarannya. Di samping itu ia mendedahkan apa yang ada pada persekitarannya. Ini bagi memudahkan hubungannya dengan masyarakat kelak serta dapat menambahkan pengalamannya dalam interaksi dalam masyarakat. Apa yang penting di sini ialah setakat mana pula peranan masyarakat dalam mengintekrasikan diri mereka dengan kanak-kanak istimewa ini. Pendedahan mengenai golongan istimewa ini di kalangan masyarakat adalah kurang. Malah pelbagai persoalan timbul iaitu "apakah tindakan masyarakat?…. apakah yang dilakukan oleh dunia luar untuk mengintegrasikan diri mereka dengan kanak-kanak buta ini? " Apa yang banyak berlaku sekarang ialah golongan istimewa ini yang terpaksa medekatkan diri mereka dengan masyarakat. Jadi apa yang penting sekarang ialah masyarakat perlu membuat sesuatu dalam mendekatkan diri mereka dengan golongan ini!

PEMBENTUKAN PERSONALITI

Definisi ringkas personaliti seperti yang diambil dari 'Psychology Today,An Introduction' dalam buku 'BLINDNESS AND EARLY CHILDHOOD DEVELOPMENT' ialah corak atau bentuk perwatakan individu-individu terhadap sikap dan pemikirannya. Dalam melihat pembentukan personaliti, terdapat banyak percubaan untuk melihat perwatakan-perwatakan golongan ini. Sesetengah penulis seperti Carrol (1961) dengan jelas mengatakan bahawa personaliti golongan cacat penglihatan ini secara kualitinya berbeza dengan golongan yang boleh melihat. Sementara itu, seorang lagi penulis iaitu Foulke (1972) telah membahaskannya dan mengatakan tidak semestinya ada perbezaan. Cutsforth (1966) pula mengatakan bahawa tidak produktif untuk menunjukkan kebenaran atau bukti pengasingan psikologi terhadap kebutaan ini. Cutsforth telah mengidentifikasikan kepada 2 jenis reaksi terhadap kebutaan ini di mana dia melihat kedua-duanya adalah percubaan dalam mengukuhkan kepentingan diri di dalam kumpulan sosial untuk mengekalkan atau mendapatkan kembali pe rasaan terjamin/selamat dan memperolehi kepercayaan terhadap diri sendiri. Pertamanya, individu ini cuba membuktikan kepada diri sendiri dan juga kepada kumpulan masyarakatnya yang tidak ada kekurangan yang wujud dalam diri mereka. Keduanya adalah satu pengunduran atau pengasingan di mana individu ini menerima akan kekurangannya dalam menilai kepentingan diri dan mengukuhkan satu jaminan hidup yang salah dan secara agresif gagal dalam berhadapan dengan kehidupan. Walau bagaimanapun, beliau membahaskan dengan tegas bahawa bentuk-bentuk ini bukanlah keputusan yang diperlukan dalam kebutaan tapi keputusan lebih tepat jika melihat kepada interaksi individu-individu buta ini dengan kehidupan persekitarannya termasuk melihat sikap dan interaksi sesama mereka. Ia seterusnya memberi kesan kepada pembangunan personaliti terhadap kanak-kanak cacat penglihatan ini seperti mana kesannya terhadap kanak-kanak yang boleh melihat. Di sini jelas menunjukkan perbezaan-perbezaan penting di dalam persekitaran sosial dan fizikal bagi kanak-kanak cacat penglihatan dengan yang boleh melihat. Seterusnya ia akan membuahkan bentuk-bentuk perwatakan dalam melihat dari aspek perbezaan personaliti. Dalam pembentukan personaliti ini juga, ia telah diserapkan dalam pendidikan di sekolah-sekolah. Hasil daripada temuramah yang dijalankan, telah mengatakan yang personaliti orang buta adalah sama dengan kanak-kanak normal yang lain. Malah mereka bagus dari segi disiplin dan pertuturan dan ini membolehkan mereka dapat berinteraksi dengan baik. Menurut Cikgu Basiran, adalah lebih senang membentuk personaliti bagi kanak-kanak yang buta sepenuhnya berbanding kanak-kanak yang rabun. Malah bagi kanak-kanak yang buta sepenuhnya ini turut menerima pengaruh dari persekitarannya. Contohnya dari segi pertuturan. Mereka suka mendengar drama dan akan mendengar cara percakapan dalam drama tersebut. Gaya atau 'style' golongan ini bercakap juga adalah berbeza berbanding dengan normal. Dalam pembentukan personaliti ini, individu-individu ini dilatih supaya dapat membuang tabiat negatif mereka yang diamalkan sejak kecil. Menurut Cikgu Basiran, golongan buta ini mempunyai satu "blindisme", iaitu satu perangai yang ada pada orang buta. Jika perangai atau kelakuan ini tidak diubah dari kecil, ia akan terbawa hinggalah dewasa. Contohnya seperti mencucuk-cucuk dan menggosok mata hingga matanya kelihatan biru kehitaman, gerakan tangan atau jari yang berulang serta mengerut atau menyeringai muka di samping wajahnya sentiasa tersenyum (kelakuan stereotaip). Biasanya ibu bapa dan guru akan bekerjasama dalam membentuk diri anak-anak ini agar mereka membuang tabiat yang dianggap negatif terutamanya ketika berhadapan dengan masyarakat luar kelak. Pembentukan personaliti ini penting dalam melihat akan kejayaan dalam kehidupan mereka kemudiannya. Biasanya, golongan ini lebih cenderung kepada penulisan dan kesusasteraan serta ekonomi dalam menjadikan ianya satu karier di masa depan berbanding dengan bida ng lain seperti bidang sains. Ini kerana mereka bergantung kuat kepada ingatan dan menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk terus mendapat tempat di dalam masyarakat. Pembentukan personaliti ini juga berkaitan dengan pembangunan kognitif.Perbincangan telah dilakukan terhadap kemungkinan-kemungkinan dalam membangunkan kebolehan kognitif dengan cara yang lebih perlahan atau dengan cara lain ke atas kanak-kanak cacat penglihatan ini berbanding yang boleh dilihat. Contohnya, Lowenfeld telah menunjukkan bahawa terdapat tiga had-had umum kebutaan ini iaitu di mana kesemuanya akan memberi kesan dengan pembangunan kognitif. Ketiga-tiga had tersebut ialah terdapat banyak dan pelbagai eksperimen, kebolehan untuk mendapatkannya dan mengawal persekitaran serta diri dalam hubungannya dengan persekitaran. Kanak-kanak buta ini akan membina konsep-konsep asas tentang dunia berdasarkan kepada cara lain berbanding secara ekstrimnya ia sangat berguna kepada kanak-kanak normal dalam pembinaan konsep. Beliau juga mengatakan mendengar adalah kecil nilainya berbanding melihat manakala menyentuh pula adalah tidak sesuai untuk pengalaman tentang jarak, kebesaran, kekecilan, kerapuhan mahupun bahaya sesuatu objek. Warna pula langsung tidak memberikan apa-apa pengalaman kepada golongan ini. Pelbagai penghadan ini telah menyebabkan keseluruhan pengalaman yang diperolehi oleh golongan ini terhad dan seperti yang dinyatakan oleh Lowenfeld, ini mengurangkan pengalaman yang dapat dipelajari. Foulke sendiri telah memberi fakta yang sama bahawa secara umumnya konsep semulajadi yang dicari oleh individu ini bergantung kepada banyak mana pengalaman yang diperolehi. Ini sekali lagi menunjukkan bahawa konsep yang dipegang oleh golongan kanak-kanak ini adalah lebih terhad berbanding dengan mereka yang normal. Golongan kanak-kanak cacat penglihatan ini bergantung kepada cara lisan oleh orang lain untuk mendapatkan maklumat. Pergantungan dalam lisan ini amat berkesan bergantung sejauhmana efektifnya sesuatu komunikasi itu berjalan dan seterusnya memperlihatkan akan kemudahan cara lisan ini menjadi lebih penting dalam pembangunan kognitif berbanding dengan kanak-kanak normal. Kekurangan dalam pancaindera bagi kanak-kanak buta ini akan cenderung membuatkan mereka lebih dapat menyesuaikan diri dengan memberikan kesan-kesan yang baik dalam membentuk perwatakan personaliti. Antara kata-kata Foulke ialah individu tersebut akan menjadi "egocentric and…. interested primarily in sensations connected with his own body".

LANGKAH-LANGKAH RINGKAS MENGELAK DARI KEBUTAAN

Kepekaan ibu bapa terhadap kesihatan anak penting dan ini mestilah diambil berat oleh ibu bapa. Soal-soal yang perlu diambil berat oleh golongan ini ialah;

a)pemakanan
Makanan yang diberikan amestilah seimbang dan banyak vitamin ( sayur-sayuran hijau tua atau oren seperti bayam, lobak merah dan labu ).

b)kecederaan
Elakkan kanak-kanak dari bermain dengan benda tajam atau yang boleh mencederakan seperti batu, kayu, jarum, pisau atau gunting.

c)berjumpa doktor
Membawa anak berjumpa dengan doktor mata sekurang-kurangnya sekalisekali dalam setahun untuk membuat pemeriksaan walaupun tiada tanda-tanda yang menunjukkan anak itu mengidap penyakit mata. Berjumpa dengan doktor dengan segera adalah penting dalam situasi mengesyaki ada yang tidak kena dengan mata kanak tersebut.

Dr. Abdul Aziz sendiri telah banyak memberikan nasihat kepada kepada ibu bapa agar sentiasa memastikan anak mereka dalam keadan sihat serta mengingatkan golongan ibu yang sedang hamil supaya mendapatkan nasihat dalam penggunaan uibat serta mengelakkan diri dari mengambil dadah atau steroid kerana ia membahayakan kesihatan.

KESIMPULAN

Mata merupakan salah pancaindera manusia yang sangat penting dan penjagaannya perlu bagi memastikan tiada masalah akan timbul kelak. Golongan ibu bapa seharusnya menyedari tentang perkara ini dan sentiasa mengawasi anak-anaknya. Namun, bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang cacat penglihatan seharusnya menerimanya dengan redha keadaan anaknya sebagai satu dugaan bukannya menyalahkan mana-mana pihak. Penerimaan ibu bapa ini akan dapat, membentuk satu keyakinan diri di dalam diri anaknya dalam mencari identiti dirinya terutamanya dalam komunikasi dengan pihak luar. Pembentukan personaliti dari peringkat awal akan memudahkan kanak-kanak istimewa ini dalam menentukan di mana haluan yang akan dibawanya dan akan dapat bergantung kepada diri sendiri. Kejayaan kepada pergantungan ke atas diri sendiri merupakan satu kejayaan besar dalam diri individu ini. Individu ini dapat memperolehi pendapatan hidupnya tanpa mengharapkan kepada belas kasihan orang lain. Semua pihak mestilah mengambil berat dan berfikiran positif dalam pergaulan mereka dengan golongan istimewa ini dan ini akan membentuk persekitaran sosial yang lebih baik. Oleh itu, ingin ditegaskan bahawa masyarakat sekitar amat penting dalam mendorong kejayaan individu ini selain daripada ibu bapa dan guru.


RUJUKAN ;

BUKU

DAVID H. WARREN, BLINDNESS AND EARLY CHILDHOOD DEVELOPMENT, AMERICAN FOUNDATION FOR THE BLIND,NEW YORK, 1977

IRVING F. LUKOFF, ET.AL, ATTITUDES TOWARD BLIND PERSONS, AMERICAN FOUNDATION FOR THE BLIND, NEW YORK, 1972

MAJALAH

MAJALAH IBU, FEBRUARI 1993 (BIL. 47)

MAJALAH IBU, MEI 1996 (BIL 86)


Balik