Setiap insan adalah dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan diri sendiri. Bahaya yang akan menimpa tidak mengira waktu untuk berlaku. Justeru itu, adalah menjadi kewajipan kepada kita sebagai mukmin yang beriman kepada Allah dan Rasul- Nya untuk mempelajari seni mempertahankan diri bagi melindungi diri dan masyarakat sekeliling daripada kecelakaan yang tidak diundang. Ini bersesuaian dengan firman Allah di dalam kitab- Nya, ayat 60 surah Al- Anfal yang bermaksud "Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka(musuh) dengan kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi .....".

         Sehubungan dengan itu, pada tanggal 13 Julai 1976 Persatuan Seni Silat Cekak Universiti Teknologi Malaysia telah ditubuhkan di Kuala Lumpur dan kemudiannya berpindah ke kampus Skudai pada penghujung tahun 1986. Penubuhan ini secara tidak langsung telah menyahut tuntutan masyarakat kampus khususnya untuk mempelajari seni silat Melayu yang asli. 

         Persatuan Seni Silat Cekak UTMJB (PSSCUTMJB) merupakan salah sebuah persatuan yang berdaftar di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. PSSCUTMJB diterajui oleh pengamal Silat Cekak Ustaz Hanafi yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UTM. Tahun demi tahun, persatuan ini telah berjaya melahirkan mahasiswa/i yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu persilatan iaitu Silat Cekak Hanafi, bahkan cemerlang di dalam akademik dan bijak berpersatuan. 

         Silat Cekak Hanafi adalah sejenis silat Melayu yang asli dan mempunyai keistimewaan tersendiri malah berlainan daripada gaya ilmu pertahanan diri yang lain. Silat ini bersih dan murni daripada unsur- unsur tahyul dan khurafat. Kaedah pelajarannya tetap dengan buah-buah pukulan yang cukup lagi kemas serta kunci-kunci tangkapan yang lengkap. Pergerakannya adalah sesuai dengan gerak-geri semulajadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat,tenang dan sesuai dengan dengan prinsip agama Islam. Silat ini mampu mendidik pengamalnya supaya bersifat berani, berperangai baik, hidup bersaudara dan suka membantu.

         Di atas inisiatif ini, PSSCUTMJB bertanggungjawab dan berusaha untuk memperkenalkan Silat Cekak Hanafi kepada seluruh warga Universiti Teknologi Malaysia untuk mempelajarinya bagi memartabatkan seni silat Melayu warisan bangsa. Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk merealisasikan matlamat persatuan dan menarik seberapa ramai ahli supaya bersama- sama dapat merasakan kemanisan kesenian yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita. 

Kepada sesiapa yang berminat dan inginkan maklumat lanjut, sila hubungi :

Bangunan Persatuan Pelajar,
Universiti Teknologi Malaysia,
Karung Berkunci 791,
80990 Johor Bahru.
Tel : 07-5576160 ext 2596
Fax : 07-5572555

ataupun emailkan kepada : 
psscutmjb@yahoo.com


| Pengenalan | Sejarah | Organisasi | Matlamat | Aktiviti | Penerbitan | Wajadiri |
| Lagu | Email | Demonstrasi | Sistem Pembelajaran | Home |