Ziana kembali semarakkan dunia hiburan
petikan dari Berita Harian 31 Januari 2004
 

SELEPAS 10 bulan tidak muncul dalam mana-mana persembahan berikutan mengandung dan melahirkan anak kedua, kini aura Ziana Zain bakal menyelinap semula dalam industri hiburan apabila beraksi di malam Anugerah Perdana Seniman 2004 di Alor Star, Kedah pada 7 Februari ini.

Lebih menarik, Ziana akan ‘memulakan semula’ tugasnya sebagai penyanyi di depan Sultan dan Sultanah Kedah selain beberapa VIP lain termasuk Menteri Besar Kedah dan beberapa menteri kabinet. Majlis berkenaan dijangka bakal menghimpunkan hampir 300 warga filem dan insan seni tanah air yang berkampung di Negeri Jelapang Padi itu selama tiga hari, bermula 6 Februari.

Ziana yang berehat empat bulan selepas melahirkan anak keduanya, Mahammad Ammar, kini bersedia 100 peratus untuk aktif semula sambil menjanjikan dua lagunya, Lembah Asmara dan Kalau Mencari Teman akan dijadikan penyeri untuk malam anugerah itu

Selain itu, pada masa sama, Ziana kini sedang mengumpul material untuk album terbarunya yang dijangka akan dihasilkan dalam tahun ini, selain menginginkan satu konsert istimewa jika mendapat sokongan penganjur.

“Sejak habis pantang, saya sering merungut seorang diri... selalu bertanya bilalah aku nak bekerja semula. Saya gembira sebab kerja pertama saya selepas lama bercuti akan diadakan di Alor Star untuk acara istimewa ini. Jadi, saya kenalah pi Aloq Staq, jumpa peminat yang dok kat sana,” katanya sambil mengajuk dialek orang Utara.

Ziana tetap menawan dan mesra dengan penampilan ringkas dan berkonsep etnik ketika ditemui pada majlis taklimat Seniman untuk acara itu di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Klang, kelmarin.

Mengenai dua cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama suaminya, Armin Zaharin, Ziana mengakui, sudah tiba masanya dia harus mencari pembantu rumah berikutan kesediaannya untuk aktif semula dalam kerjaya nyanyian.

“Saya bersyukur sekarang sudah ada dua ‘bodyguard’. Memang masa saya banyak habiskan masa untuk mereka, jadi apabila hendak menyanyi semula dan mahu muncul di mana-mana show, rasanya kenalah cari orang gaji... sekarang tengah sibuk nak cari pembantu rumah.

“Sebelum ini, masa ada seorang anak, memang kami tidak ambil orang gaji sebab boleh urus sendiri. Bila saya ada show, masa itu emak tolong jagakan. Sekarang apabila sudah ada dua anak, rasanya tidak boleh biarkan lagi orang tua kita jaga, kasihan mereka sebab mereka juga ada kerja lain, nak berehat.

“Saya sekeluarga tinggal di rumah sendiri di kawasan Shah Alam juga, dekat dengan rumah ibu bapa dan adik beradik lain. Jika ada apa-apa show dan serentak Armin pula kena bertugas berhari-hari lamanya, emak dah cakap boleh tinggalkan sementara orang gaji dan anak kami di rumahnya.

“Memanglah bila dah ada dua anak, semua kerja kita kena buat sendiri tentulah penat, tetapi bagus kalau kita nak kuruskan badan. Kalau di rumah, masa saya jadi kelam kabut tetapi seronok,” katanya yang menjelaskan Muhammad Aiman, 5, kini sudah memasuki kelas tadika.

Kata Ziana, selepas habis persembahan di Alor Star, dia juga ada menerima beberapa tawaran membuat persembahan di sekitar ibu negara pada sepanjang Februari dan Mac ini.

“Sambil mencari lagu untuk album terbaru, saya akan cuba lagi muncul dengan konsep tertentu. Sekarang masih dalam perancangan. Kalau boleh, harap-harap ada rezeki anak, saya ingin buat konsert, kalau macam konsert unplugged pun tidak mengapa,” katanya yang muncul dengan dua album pada tahun lalu, berjudul Ratu dan Ziana Zain No.1’s Live .

Mengenai lakonan, Ziana yang sudah lebih enam tahun tidak berlakon filem, masih belum membuat keputusan sama ada mahu menceburi semula dunia layar perak atau hanya terus menumpukan karier nyanyian.

“Entah.... tidak terfikir lagi nak berlakon filem balik, buat masa ini belum lagi,” katanya sambil mengulas drama bersiri Sembilu di TV2, saduran daripada filem yang pernah dibintanginya, Sembilu dan Sembilu 2 juga tetap menarik dengan cita rasa generasi sekarang.

“Masing-masing ada cara berlakon dan peminatnya. Sekarang generasi lain. Karisma seseorang itu yang menentukan daya tarikan kerana masing-masing ada kelebihan dan kekurangan,” katanya.

Ziana dan dua anaknya akan menyambut Aidiladha di rumah ibu bapanya tanpa Armin kerana suaminya yang bertugas sebagai pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) akan mengikuti penerbangan ke Afrika Selatan.

| back |