20 wanita paling glam
Petikan : Harian Metro 19/8/2004
DIIKTIRAF 20 Wanita Paling Glam
tentunya satu penghargaan yang diimpikan ramai wanita apatah lagi diraikan
dalam satu majlis penuh glamor dan bergaya hebat sentuhan pereka terkenal
dari hujung rambut hingga hujung kaki.
Dewan kecil di Tingkat 2 Hotel Grand Plaza Parkroyal menjadi saksi kehebatan 20 wanita apabila pengacara majlis, Anita Sarawak memperkenalkan satu demi satu wanita ini, dalam satu majlis minum petang pada Jumaat lalu. Seperti kata Anita, 52, dia bangga diberi kepercayaan sebagai pengacara sekali gus tuan rumah untuk meraikan wanita glamor tanah air kerana diadakan buat pertama kalinya di negara ini. Katanya, majlis itu khusus memberi penghargaan kepada 20 wanita istimewa. Wakil media yang setia berdiri, terpegun dengan gaya hebat mereka bersama gaun hebat yang direka khas oleh pereka hebat dan juga pereka muda berbakat, lengkap aksesori dan kasut yang semuanya direka khas untuk mereka. Michael Ong khusus untuk Ning, Ziana dan Erra, Carven Ong (Syafinaz), Lester Wong (Kavita), Ismail Hassan (Ida), Kapas (Ai Ling, Kudsia), Khoon Hooi (Umie Aida, Ella), Beatrice Looi (Sofia), Sayfol (Aida), Salikin Sidek (Shawati), Daniel Tang (Nasha), Frank Lai (Eja), Jonathan Cheng (Tiara), Scott Chu (Azura), Villiam Ooi (Bernie), Embun (Normala) dan Donna Chew (Janet). Tidak cukup dengan itu, penganjur mengundang Maya Karin, Nurul, Juliana Banos serta model terkenal dan juga ratu cantik seperti Pushpa Narayanan, Carmen Soo, Wong Sze Zen, Rachel Tan Weng Kim dan Tan Su Wei untuk memeriahkan majlis kerana mereka tidak layak dinobatkan Wanita Paling Glam. Normala, 40, yang digelar Wanita Melayu Tercantik mengakui terkejut dipilih antara 20 wanita glamor ini kerana tidak menyangka akan diberi penghargaan itu. “Bagi saya glamor bukan saja penampilan hebat tetapi juga pengalaman kerana semua itu akan terpancar melalui penampilan. Apabila banyak pengalaman, keyakinan juga lebih terserlah,” katanya yang anggun dengan gaun merah. Ketua Pengarang majalah Glam, Wirda Adnan, berkata Pencarian 20 Wanita Glam yang mereka anjurkan bersama Rafflesia Pearl sempena pembukaan Rafflesia adalah khusus untuk wanita di kalangan selebriti berumur 30 ke atas. Katanya, syarat itu perlu ada memandangkan ramai selebriti glamor tetapi pengiktirafan untuk wanita 30 ke atas lebih istimewa kerana mereka sudah matang dalam hidup serta mantap dari segi ekonomi dan kerjaya. “Saya akui ada ramai lagi selebriti glamor tetapi tidak masuk dalam senarai 20 kerana beberapa sebab. Antaranya usia belum cukup 30 tahun ataupun mereka ada komitmen lain. “Contohnya Deanna Yusof tidak dapat turut serta kerana ada undangan lain dan Fauziah Latiff sibuk dengan Malaysian Idol. Ramai bertanya saya mengenai Camelia tetapi ketika pencarian ini diadakan, Camelia belum cukup 30 tahun lagi. Kami undang Camelia memeriahkan majlis tetapi penyanyi itu tidak dapat hadir kerana berada di Bali. “Mungkin untuk majlis akan datang kalau mendapat sambutan, akan diadakan setiap tahun. Sebahagian daripada mereka adalah penghias muka depan majalah Glam seperti Kudsia, Normala, Kavita, Sofia dan Tiara. “Selebriti lain akan menghiasi muka depan tidak lama lagi seperti Nasha, Ida dan Tengku Azura,” katanya. Tambah Wirda, majlis itu hanya memberi pengiktirafan dan meraikan mereka dalam majlis glamor dihadiri lebih 300 tetamu khas di kalangan ketua jabatan syarikat korporat dan orang kenamaan. Majlis meraikan Pencarian 20 Wanita Paling Glam berlangsung di Grand Plaza Parkroyal, pada sebelah malam tetapi pihak media berpeluang menyaksikan gaya 20 wanita glamor ini lebih awal melalui majlis minum petang. Paling hebat bergaya ialah Anita, 52, yang bertukar empat pasang pakaian rekaan Dino, Adnan Hassan, Wan Huzairil dan Shabri Saad manakala kasut bagi semua wanita glamor ini direka oleh Karina Ng manakala aksesori dari mutiara rekaan Rafflesia. |