Ziana Mungkir Janji ?
Sumber: Mingguan Malaysia (13/6/2004) SELEPAS mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dua orang cahaya mata, artis wanita popular, Ziana Zain pernah mengeluarkan kenyataan yang dia tidak akan kembali ke layar perak. Ziana memberi alasan lebih selesa untuk menumpukan perhatian pada bidang nyanyian selain komitmen terhadap rumah tangganya. Bagaimanapun, baru-baru ini, Ziana mengejutkan media dan peminat-peminatnya apabila dia menyatakan persetujuannya untuk kembali ke arena lakonan apabila menerima tawaran daripada pengarah, Datuk Yusof Haslam. Awal bulan depan, Ziana akan ke lokasi filem Sembilu 2005 dan bergandingan semula dengan rakannya, Erra Fazira. Keputusan Ziana untuk kembali berlakon mengundang persoalan apakah artis yang cukup popular menerusi lagu Lembah Asmara ini memungkiri janji yang pernah dilafazkannya suatu ketika dulu? Bercakap kepada Pancaindera, Ziana tidak menafikan yang dia pernah menyatakan secara terbuka tidak akan berlakon selepas berkahwin. ``Saya juga pernah berkata keputusan itu dibuat ketika saya masih baru di alam perkahwinan dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan. ``Pada masa itu juga, saya ada menegaskan yang saya tidak dapat menolak ketentuan andainya pada masa depan ada rezeki untuk saya kembali berlakon,'' jelas Ziana menjelaskan kekeliruan banyak pihak. Keputusan menerima tawaran berlakon Sembilu 2005 juga kata Ziana, bukanlah dibuat dalam sekelip mata. Sebaliknya, wanita berusia 36 tahun itu terlebih dahulu mendapatkan maklum balas daripada orang-orang yang rapat dengannya selain peminat-peminatnya. Paling utama kata Ziana restu suaminya, Armin Zaharin menyebabkan dia bersedia untuk ke layar perak. ``Armin menyerahkan kepada kebijaksanaan saya untuk berfikir dan membuat pertimbangan yang sewajarnya. ``Pesan Armin, terima tawaran berlakon yang tidak menjejaskan kedudukan saya sebagai isteri dan ibu selain tawaran yang tidak memerlukan saya berjauhan daripada keluarga untuk tempoh yang lama,'' jelas Ziana mengenai pendirian suaminya. Selain didorong oleh minat berlakon yang masih kental dalam jiwa seninya, Ziana juga menghormati pelawaan Yusof yang dianggap sebagai gurunya dalam bidang seni lakon. Ziana tidak menafikan, banyak pihak yang bertanya kenapa dia membuat keputusan untuk kembali aktif bersama dengan Yusof dan bukannya pengarah filem lain. ``Kenapa tidak? Yusof merupakan orang yang pertama membawa saya ke layar perak. ``Kebetulan pula ketika menyuarakan tawaran berlakon Sembilu 2005 saya tengah memikirkan untuk aktif semula dalam bidang itu,'' ujar ibu kepada Muhammad Aiman, 4 dan Muhammad Ammar, lapan bulan. Lebih manis lagi kata Ziana, temannya, Erra Fazira juga turut menyuarakan keinginan kepada Yusof untuk berlakon bersama-sama dengannya. ``Saya gembira kerana selain Yusof dan Erra yang masih yakin dengan kemampuan saya, ramai lagi pelakon veteran serta pelakon-pelakon sebaya dengan saya yang meminta saya supaya kembali aktif dalam bidang lakonan,'' kata Ziana rancak bercerita. Selain Sembilu 2005 yang akan menjalani penggambaran awal bulan depan, Ziana turut mendedahkan, dia juga sudah mengesahkan satu lagi tawaran berlakon lain yang akan menjalani penggambaran pada Ogos depan. Namun sebagai menghormati permintaan penerbit dan pengarah, Ziana berkata, dia tidak boleh membuat pengumuman lanjut mengenai projek berkenaan. `Memadai saya katakan, tawaran berlakon itu sesuatu yang menarik perhatian saya,'' kata Ziana yang sebelum ini pernah membintangi filem Sembilu, Sembilu II, Maria Mariana, Merah dan sebagainya. Ditanya tidakkah dia bimbang kehadirannya ke layar perak akan menyebabkan pelakon muda yang lain berasa satu cabaran buat mereka, Ziana tidak bersetuju dengan pandangan itu. Menurutnya, setiap individu mempunyai bakat seni masing-masing dan terpulang kepada mereka untuk membuktikan bakat yang dianugerahkan. ``Saya dapat lihat pelakon-pelakon muda yang sedia ada mempunyai bakat yang cukup hebat dan mereka mempunyai pengikut masing-masing. Artis itu juga menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya, sebab utama dia kembali berlakon kerana mahu mengukuhkan semula popularitinya selepas berehat lama. ``Populariti tidak pernah menjadi keutamaan sepanjang penglibatan saya sebagai artis. Saya berlakon dan menyanyi semata-mata kerana mahu mencari rezeki. ``Kalau saya fikir tentang populariti saya akan tenggelam punca sehingga menyebabkan orang tidak menghormati saya. Itu yang sentiasa saya elakkan,'' jelasnya. Sementara itu, bercerita mengenai projek rakaman album terbarunya pula, Ziana tidak menafikan, dia sudah tidak mampu membendung kerinduan untuk kembali ke studio rakaman. Ziana juga sudah letih untuk menjawab pertanyaan media dan peminat yang masih tidak henti-henti bertanya bilakah album terbarunya akan berada di pasaran. Berdasarkan rancangannya, Ziana dan pihak pengurusannya akan berusaha untuk memastikan album terbarunya dapat dimiliki oleh peminat-peminatnya menjelang akhir tahun. Yang pastinya, Ziana akan berusaha untuk merealisasikan keinginan peminat-peminatnya yang mahu dia merakamkan sebuah lagu dengan adiknya, Anuar Zain. ``Saya gembira kerana jawapan positif untuk merealisasikan usaha itu sudah diperoleh. ``Kini, saya ingin mempelawa mana-mana komposer baru atau lama yang mempunyai lagu yang sesuai untuk dirakamkan oleh saya dan Anuar, saya tidak keberatan untuk menerima lagu mereka,'' kata Ziana lagi. |