Ziana Zain
kembali ke dunia yang menjadi medan perjuangannya selama lebih 15 tahun,
seni suara. Setelah berehat lebih setengah tahun, Ziana muncul dengan imej
yang segar tetapi agak seksi pada pandangan mata sesetengah peminatnya.
Kepada Utusan Malaysia, Ziana
berbicara tentang apa yang dikatakan seksi dan persediaannya berhadapan
dengan hari esok.
Soalan:
Selepas beranak dua, rezeki Ziana nampaknya semakin murah. Betulkah suami
Ziana, Armin baru sahaja dinaikkan pangkat?
ZIANA: Alhamdulillah!
Rezeki anak. Armin jadi `Chief Steward' sejak Mac lalu. Selagi kita pandai
jaga nama baik, diri dan keluarga, insya-allah rezeki ada di mana-mana.
Soalan: Perkembangan
terkini album baru, kenapa dua saja lagu baru, sama macam album kompilasi?
Bila album penuh?
ZIANA: Perancangan awal
album pertama saya dengan EMI, adalah album rakaman penuh. Tetapi Tuhan
bagi rezeki lain, anak kedua dan saya mengandung. Jadi kena tangguhkan
seketika dan saya perlu berpuas hati dengan album kompilasi. Tetapi bukan
sebarang kompilasi sebab ia gabungan suara saya dalam beberapa konsert
sebelum ini.
Soalan: Apakah Ziana
dan syarikat rakaman takut bersaing kalau muncul dengan album baru?
ZIANA: Saya tidak takut
bersaing. Cuma waktu tidak sesuai. Buat album bukan mudah dalam keadaan
mengandung. Nafas cepat semput dan hasilnya tentu tidak memuaskan. Baik
tunggu sahaja sampai habis bersalin. Dalam masa menanti itu, EMI keluarkan
album kompilasi untuk peminat saya.
Soalan: Pada awal berumah
tangga dulu, Ziana pernah cakap tidak akan berlakon lagi. Tapi selepas
itu, Ziana buat kenyataan mahu berlakon semula. Kenapa?
ZIANA: Pertama, kerana
tawaran berlakon yang datang kepada saya sangat banyak sehingga kini. Dulu
baru kahwin banyak perkara yang saya kena adjust. Tetapi saya perlukan
watak yang sesuai dengan usia dan status. Kisah cinta pun tidak apa tetapi
saya tidak mahu cinta jenis budak-budak. Biarlah cinta yang serius macam
yang Rashid Sibir selalu buat dalam drama dan filem dia.
Soalan: Apakah Ziana
baru menyedari bahawa adalah satu kerugian yang besar kalau Ziana tinggalkan
dunia lakonan?
ZIANA: Saya tidak anggap
macam itu. Saya tinggalkan lakonan sekejap sahaja, tidak rugi apa-apa.
Cuma bila orang panggil saya berlakon semula, saya fikir kenapa tidak?
Sedangkan saya memang sudah bersedia untuk itu semua dan keluarga tidak
lagi menjadi halangan.
Soalan: Mungkinkah Ziana
fikir publisti sebagai penyanyi sahaja tidak memberi perkembangan yang
meluas terhadap karier anda selama ini. Sebab itu Ziana mahu berlakon semula?
ZIANA:Tidaklah! Lagipun
sebelum ini orang memang sudah kenal saya sebagai penyanyi. Cuma kedua-dua
bidang membantu saya daripada sudut yang berbeza.
Soalan: Bercakap tentang
imej baru, apakah Ziana melantik imej konsultant sendiri?
ZIANA: Secara khusus
tidak. Tetapi cakap tentang baju, saya selalu bincang dengan Michael Ong
atau pengurus saya, Lisa. Kalau pasal rambut, saya ada `hairdresser' sendiri
dan solekan saya serahkan kepada Nurul Shukor. Mereka semua profesional
dan kami sering bincang untuk hasilkan sesuatu yang segar dan mengikut
perkembangan fesyen.
Soalan: Ada peminat tanya
kenapa selepas bersalin anak kedua, Ziana tukar imej agak drastik. Pada
satu majlis anugerah baru-baru ini Ziana pakai seluar paras lutut, agak
seksi dan mereka anggap kurang sesuai dengan usia dan perwatakan yang sebelum
ini agak sopan. Apa komen Ziana?
ZIANA: Saya tidak kisah
kalau orang anggap penampilan macam itu seksi. Komen yang membangun, saya
tidak marah. Tetapi ada juga peminat yang suka saya pakai macam itu sebab
mereka tahu saya sentiasa mahu tampilkan kelainan. Kalau orang tidak suka,
lain kali saya tidak akan pakai lagi. Bukan selalu pakai seluar setengah
macam itu. Sekali sekala sahaja.
Soalan: Apa pandangan
Ziana terhadap artis-artis muda yang sangat cepat mendapat tempat dalam
dunia seni suara hari ini? Menyanyi sehari sudah dapat macam-macam anugerah.
Apakah ini satu perkembangan yang sihat kepada industri?
ZIANA: Ia akan menjadi
sesuatu yang sihat kalau kita bijak menggunakan peluang. Itu kelebihan
mereka membina nama pada zaman sekarang. Zaman saya, susah mahu dapat anugerah.
Sudah ada dua, tiga album barulah dapat satu anugerah tetapi bila dapat,
kita rasa puas dan bangga sebab kita sudah lama berjuang. Sekarang sangat
berbeza. Dapat anugerah memang bagus sebab kita masuk kategori terbaik
tetapi untuk mengekalkannya bukan sesuatu yang mudah. Jadi mereka kena
lebih berhati-hati.
Soalan: Sebagai penyanyi
senior apa nasihat Ziana kepada golongan artis-artis baru ini?
ZIANA: Saya pun masih
belajar, macam mana hendak nasihatkan orang. Apa pun mereka kena kerja
kuat. Jangan anggap nyanyian sebagai hobi tetapi sebagai periuk nasi. Usia
muda, kumpul duit banyak-banyak sebab kita tidak akan lama berada di atas.
Penyanyi datang dan pergi begitu sahaja. Sebab itu cari duit banyak-banyak,
simpan dan beli harta. Selagi boleh buat duit, buat sehabis daya. Umur
sudah 28, 29 barulah fikir tentang kahwin. Ingat, jangan cepat lupa diri
dan jauhkan sikap hidung tinggi.
Soalan: Bercakap tentang
populariti, Ziana sendiri macam mana. Apakah Ziana sudah bersedia untuk
berhadapan dengan saat-saat pudarnya populariti anda?
ZIANA: Bermula daripada
langkah pertama dalam bidang ini, saya sudah cukup bersedia kalau orang
sudah lupakan saya suatu hari nanti. Saya sudah cakap kepada diri sendiri,
populariti tidak akan tahan lama. Kalau kita tidak cepat lupa diri dan
sombong kita tidak akan terperanjat bila jatuh. Saya sudah sangat-sangat
bersedia untuk berada di bawah pada ketika saya masih berada di atas lagi.
|Back|