Ziana Zain makin ligat
Oleh: JAMLIAH ABDULLAH
Petikan : Utusan Malaysia 5/6/2005
 


ZIANA ZAIN menurunkan autograf sambil diperhatikan oleh Tan Kim Tai.

SEMAKIN ligat nampaknya Ziana Zain sejak kebelakangan ini. Sebagai pelakon dia sibuk mempromosikan filem terbaru iaitu Pontianak Menjerit. Sebagai jurucakap pula, Ziana sibuk berkempen untuk promosi kempen terbaru produk yang diwakilinya. Itu yang membuktikan dia tetap laris walaupun dengan status isteri dan ibu kepada dua anak itu. Apa rahsianya? Kata Ziana, ''Imej tentu penting dan di samping itu cara kita berurusan dengan mereka juga penting iaitu bagaimana kita berkomunikasi. ``Apa yang penting adalah kita jangan terlampau demand. Cukup jika kita bersederhana saja asal senang bekerjasama. Apa yang penting ada persefahaman antara satu sama lain.'' Tentu saja kata-kata itu bukan sembarangan apatah lagi dengan kepercayaan yang diberi oleh pihak berkenaan yang berterusan melantiknya sebagai jurucakap produk mereka.

Tahun bersilih ganti, Ziana juga yang menjadi pilihan pihak terbabit. Sebagai contoh syarikat pengeluar tilam Slumberland memperbaharui kontrak dengan Ziana bagi tahun kelima sebagai jurucakap untuk tilam Vono.

Menurut Ziana, untuk artis sepertinya adalah satu penghargaan jika ada yang memberikan kepercayaan untuk mewakili produk mereka. ``Komitmen itu sendiri adalah satu penghargaan. Tidak perlu memilih atau demand sangat,'' tambahnya yang kembali aktif sejak cuti bersalin pada 2004. Semua barangkali sudah mengetahui selain daripada produk tilam, Ziana turut bertindak sebagai jurucakap untuk produk kosmetik, jam tangan dan pelangsingan badan.

Apa yang menarik artis itu berjaya mempertahankan statusnya sebagai jurucakap produk terbabit dengan cemerlang. Majlis penyambungan kontrak antara Ziana dan Slumberland diadakan baru-baru ini. Menurut Pengarah Urusan Serantau Kumpulan Slumberland, Tan Kim Tai, Vono dan Ziana mempunyai banyak persamaan dalam stail, kualiti, populariti dan permintaan.

``Ziana juga secara tidak langsung membantu memperbaiki status Vono sebagai jenama berkualiti tinggi pada tahun lepas,'' katanya. ``Kini sudah ada 10 tilam di rumah saya tidak tahu di mana hendak letak lagi,'' guraunya yang semakin cantik dan langsing itu.

Pejam celik rupa-rupanya sudah lima tahun kolaborasi antara Ziana dan Vono berlangsung. ``Sudah lama saya menggunakan tilam jenama ini malah sebelum menjadi jurucakap lagi dan ia terbukti mempunyai kebaikan. ``Hari ini saya bangga kerana dapat berkongsi dengan orang ramai tentang pengalaman itu,'' kata Ziana.

Pada masa yang sama, Ziana turut menjadi jurucakap untuk produk kecantikan Nutrimetics, jam tangan Omega dan butik penjagaan badan, Slimworld. ``Ia adalah satu persefahaman yang baik antara saya dan produk terbabit. Saya gembira jika mereka puas hati dengan komitmen saya,'' katanya.

Walaupun bertindak sebagai jurucakap untuk empat produk namun Ziana tidak menganggap ia sebagai satu beban. Malah dia seronok apabila dapat berkongsi pengalaman dalam banyak perkara dengan pelanggan terutama peminatnya. ``Saya mendapat maklum balas yang baik sejak menjadi jurucakap Vono banyak peminat yang menelefon meminta nasihat peribadi tentang kepentingan menjaga belakang dengan baik. ``Kemudian setelah beberapa lama mereka menelefon kembali dan memberitahu kesannya. Saya rasa gembira,'' katanya.

Selain berkongsi pandangan tentang tilam yang baik untuk belakang, Ziana juga sering memberikan ceramah tentang penjagaan badan sejak kebelakangan ini mewakili Slimworld. Testimoni Ziana tentu saja mencuri perhatian ramai kerana penampilannya yang bertambah baik terutama setelah melahirkan anak kedua. ``Saya sendiri ada idola saya. Saya selalu tengok bagaimana artis luar negara menjaga diri mereka dengan baik. Walaupun sudah berusia tetapi bergaya. ``Kini saya lakukan hal yang sama untuk peminat saya iaitu kelihatan terbaik bukan untuk saya saja,'' katanya.

Bukan itu saja Ziana turut mengesyorkan cara yang sihat untuk menjaga badan berbanding dengan pengambilan pil atau kaedah pembedahan. Ziana sendiri setelah berjaya dalam program pelangsingan badan berusaha mengekalkan berat badan dengan senaman dan diet yang sesuai. Di sebalik kesibukan dengan komitmen sebagai jurucakap, Ziana tetap tidak lupa dengan dua nyanyiannya.

Artis itu dalam perancangan membikin album terbarunya. Membikin album pada masa sekarang harus teliti, kata Ziana untuk memastikan yang terbaik. ``Biarlah lambat asalkan selamat kerana saya ingin bertahan lama,'' katanya yang dalam proses mengumpul bahan untuk album terbarunya.

Sehingga kini, sudah enam lagu berjaya disiapkan yang membabitkan komposer muda terkenal seperti Ajai, Hazami dan Cat.

Dalam bidang lakonan pula, Ziana akan muncul dalam filem Pontianak Menjerit tidak lama lagi.