KENYATAAN DSAI DI MAHKAMAH PADA 14 APR 99

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada peguam-peguam yang telah membela saya dengan cara yang cukup bertenaga. Mereka wajar dikagumi.

Saya dari awal tidak menaruh sebarang harapan yang saya akan dibicarakan dengan adil. Saya mengatakan ini bukanlah didorong oleh rasa prasangka tetapi berdasarkan maklumat. Justeru kerana saya mengambil sikap reformis semasa saya di dalam kerajaan ramai pegawai-pegawai tinggi kerajaan rnengadu kepada saya tentang pelbagai penyakit yang merebak dalam jentera kerajaan. Ini termasuklah dalam bidang kehakiman. Ada hakim yang amat kanan yang secara peribadi dan suka rela memberikan laporan bertulis terperinci tentang krisis dalam institusi kehakiman, tentang perilaku peribadi dan penghakiman kes-kes tertentu yang membuktikan betapa tenatnya krisis dalam institusi tersebut.

Saya tidak menaruh harapan kerana tuduhan terhadap saya adalah satu konspirasi politik untuk rnenjatuhkan saya dan mempastikan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad terus memerintah dengan apa cara sekalipun. Hatta mengorbankan sisa-sisa yang tinggal dalam kewibawaan institusi kehakiman. "You resign or I charge you " ("Kamu berhenti atau kamu akan didakwa") Itulah kata dua yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada saya pada tengahari 2 September 1998. Apakah ini tidak rasuah? Perdana Menteri menggunakan pendakwaan sebagai alat tekanan politik.

Semua jentera kerajaan, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Polis bahkan institusi kehakiman, telah berada di bawah telunjuk Perdana Menteri. Di zaman absolute monarchy terdapat ungkapan "rex non potest peccare' raja tidak akan melakukan kesalahan. Begitulah juga pemerintahan sekarang dengan mempastikan kelompok pimpinan terlepas dari sebarang tindakan dan kalangan yang mempertikai kepimpinan mereka diaib dan dihina melalui tuduhan rekaan.

Di awal perbicaraan, yang arif Hakim telah mempamerkan sedikit keberanian dengan menegur beberapa pemimpin negara supaya jangan mengulas kes saya. Nampaknva keberanian itu lenyap semasa perbicaraan sedang berjalan bila Perdana Menteri terang-terang menghina mahkamah dengan mengatakan andaikata saya didapati tidak bersalah akan berlaku huru-hara dalam negara. Bukankah ini satu amaran kepada mahkamah? Peguam Negara juga membisu seribu bahasa. Tetapi yang arif hakim mempamerkan kembali ‘keberanian" dan 'ketegasannya" kepada peguam-peguam saya tatkala mereka mengemukakan permohonan rnelucutkan kelayakan Hakim mendengar kes.

Sesungguhnya pembicaraan ini memberi kesan kepada rakyat. Bukan sahaja Kepada masyarakat tempatan tetapi juga kepada masyarakat dunia. Perbicaraan ini telah membuka mata rakyat. Saya dengan segala kempen ke segenap pelusuk negara belum tentu boleh meyakinkan rakyat jelata tentang wujudnya konspirasi politik, tetapi mahkamah dengan memutuskan bahawa konspirasi politik tidak relevan dan penonjolan saksi-saksi tidak relevan telah membantu saya meyakinkan rakyat bahawa pendakwaan saya adalah satu helah dan konspirasi politik.

Saya didakwa dengan tuduhan yang direka kerana saya berusaha untuk membanteras rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme, nepotisme dalam kerajaan dan hakim membuat kenyataan bahawa 'saya tidak peduli samada seluruh negara rasuah; ia tidak ada kaitan dengan kes ini." Persoalan pokok adalah rasuah: kerana penentangan saya kepada rasuahlah saya disingkirkan dan kerana rasuahlah kes ini tidak boleh dibicarakan dengan adil.

Saya dituduh rasuah. Tetapi Peguam Negara tidak berusaha untuk membawa sebarang bukti saya pernah menggunakan kedudukan saya untuk memperkayakan diri saya dan keluarga saya. Sementara Perdana Menteri mengarahkan Petronas menyelamatkan Konsortium Perkapalan milik anak beliau , Mirzan Mahathir. Apakah ini bukan rasuah? Masih ada dalam simpanan saya laporan siasatan rasuah ke atas seorang Menteri kabinet yang diserahkan kepada saya oleh Peguam Negara. Laporan diakhiri dengan ayat berikut "Badan Pencegah Rasuah dan Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara mengesyorkan B1 (iaitu menteri berkenaan) dituduh di Mahkamah".

Laporan tersebut ditandatangani pada tarikh 14 March 1995 oleh seorang pegawai yang bernama Abdul Gani Patail. Masih ada dalam simpanan saya surat-surat beberapa orang tokoh korporat kepada Tun Daim Zainuddin tatkala beliau menjadi Menteri Kewangan yang diakhiri dengan ayat "In the event of my death or permanent disablement, this letter shall serve as irrefutable proof of your claim against my estate". Jumlah yang disebutkan dalam surat-surat tersebut adalah ratusan juta ringgit. Saya ulangi cabaran saya kepada pimpinan Kerajaan untuk mendedahkan sepenuhnya kelulusan lesen kontrak dan saham oleh saya dan Tun Daim selaku Menteri Kewangan dan kelulusan penswastaan oleh Unit Perancangan Ekonorni.

Tuduhan rasuah terhadap saya bukan tuduhan yang mempunyai keuntungan kewangan, tetapi penyalahgunaan kuasa. Tetapi proses pendakwaan saya menampilkan insiden-insiden penyalahgunaan kuasa yang paling menjolok mata dari Perdana Menteri sehingga susah mensifatkannya kecuali sebagai satu konspirasi.

Tekanan, kata dua, bahkan penyeksaan dilakukan oleh pihak-pihak bertanggungjawab untuk mencipta bukti bagi menghukum saya. Saya punya bukti untuk konspirasi tersebut dan penglibatan Peguam Negara dalam affidavit Polis yang rnenghina saya dan kes Dato' Nallakarupan dengan kaitan salahlaku seks serta pengkhianatan terhadap negara, membocor rahsia kerajaan dan rasuah. Kepada kes tekanan dan pemeriksaan terhadap Dr. Munawar Anees. Sukma Darmawan. Mior Abdul Razak. dan keterangan Jamal Amro. Kenyataan bersumpah Manjeet Singh yang mempertikai peranan pihak pendakwa sehingga pertemuan Polis dan Gani Patail di Bukit Aman pada 20 September 1998. Tetapi hakim tidak punya kesabaran untuk mendengarya.

Saya teringat kata-kata Socrates tentang sifat hakim "hakim perlu bersabar mendengar hujah kedua belah pihak..." Sebaliknya dalam kes saya, seorang peguam saya Zainur Zakaria dihukum kerana menghina mahkamah dan yang lain diberi amaran akan diambil tindakan yang sama.

Saya punya banyak bukti mengenai muslihat dan pakatan tetapi semuanya diketepikan, lebih-lebih lagi bila nama Dr Mahathir dan Tun Daim disebut. Seolah-olah mahkamah mahu menyelamatkan mereka.

Semasa saya memegang jawatan dalam negara saya pernah menyebut perlunya reformasi perundangan, perlunya kebebasan institusi kehakiman di perkukuhkan. Ramai orang kaya dan berada yang mempunyai kedudukan tidak menyukai kenyataan saya, sementara sebahagian rakyat membaca kenyataan saya dengan perasaan sangsi. Sekarang mereka tidak sangsi lagi dengan kenyataan saya. Saya tidak katakan semuanya, tetapi orang Melayu berkata seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit. Tindak tanduk segelintir manusia telah merosakkan nama baik institusi kehakiman. Cuma saya terlebih dahulu menjadi mangsa untuk menyakinkan rakyat tentang apa yang saya katakan. Sedikitpun tidak saya sesali. mungkin inilah sedikit pengorbanan yang perlu saya lakukan untuk meyakinkan rakyat betapa rnendesaknya negara memerlukan reformasi lebih-lebih lagi pasukan polis, jabatan peguam dan institusi kehakiman.

Keadilan adalah roh sesuatu bangsa. Tragedi bangsa Malaysia adalah ada orang yang sanggup menjual roh itu untuk keuntungan yang sedikit.

Sejak kecil saya diajarkan perbilangan "Harimau mati meninggalkan belang, Manusia mati rneninggalkan nama. Saya ingin rnenambah dengan pertanyaan. Hakim mati meninggalkan apa? Sayakan katakan hakim mati meninggalkan penghakiman. Kalau adil penghakimannya, akan harum zaman berzaman, zalim keputusannya bau busuk akan terhidu hingga hari kiamat".

Saya dihukum dengan "with judgement that stinks to high heaven". Alangkah aibnya penghakiman ini. Tafsiran rasuah yang tak masuk akal. Meloyakan bila memikirkan di Malaysia di mana pemimpin-pemimpin melesapkan ratusan juta ringgit dan bilion ringgit wang kerajaan telah digunakan untuk menyelamatkan sanak saudara dan kroni. Mereka telah menjadikan tamak haloba dan kebejatan perilaku sebagai hak mereka, kebal dari sebarang hukuman.

Saya di hukum, tetapi rakyat tahu bahawa hukuman adalah mengikut skrip yang direka oleh para konspirator. Bukan mahkamah. tetapi para konspirator yang memenjarakan saya. Tetapi ingatlah bahawa manusia terdiri dan jasad dan roh. Jasad saya boleh dipenjara, tetapi jiwa saya tetap merdeka. Tetapi ada manusia yang badannya merdeka tetapi jiwanya terpenjara, dipenjara oleh pangkat dan kedudukan, bahkan jiwa mereka boleh dijual beli.

Perbicaraan ini adalah perbicaraan politik yang berselindung di sebalik topeng undang-undang. Saya ingin menasihati para konspirator. Hentikanlah sandiwara politik yang memualkan ini. Kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan segenap lapisan umur saya berterima kasih atas sokongan mereka. Yakinlah dengan perjuangan. Sayangilah Malaysia dan kalau kita sayangkan Malaysia perjuangan untuk menentang kezaliman, menegak keadilan dan kebebasan perlu disemarakkan. Para konspirator yang rasuah dan rendah akal budi kini bagai cacing kepanasan. Fajar baru sedang terbit di Malaysia. Mari kita pulihkan maruah bangsa dan negara dari najis dan kekotoran yang ditinggalkan oleh para konspirator. Mari kita bina semula Malaysia yang gemilang untuk anak-anak kita.