Ucapan
Presiden UMNO, DS Dr. Mahathir semalam mengelak dari kenyataan sebenar kritikan rakyat
terhadap beliau. Kecaman terhadap beliau ialah mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Pertama. Kerana meluluskan hampir
2 billion ringgit wang Petronas kepada syarikat anaknya, Mirzan.
Kedua. Kerana meneruskan dengan projek
mega, membazir termasuk membina mahligai peribadi.
Ketiga. Kerana meluluskan projek
penswastaan, kontrak untuk anak-anak dan kroni.
Kebiasaan diktator, bagi mengaleh kritikan terhadap
penyelewengan, rasuah dan kezaliman yang dilakukan ialah menakutkan rakyat tentang bahaya
ancaman asing.
Saya tidak pernah menderhaka kepada UMNO. Saya menentang
keangkuhan kuasa, penyelewengan dan rasuah dan pembahagian kekayaan kepada kroni dengan
meninggalkan kepentingan ramai. Saya anggap penyelewengan dan rasuah, memperkaya golongan
kecil, menghina hukum agama dan ulama adalah merugikan UMNO.
Saya hanya menjalankan tanggungjawab supaya kepentingan ahli dan
parti tidak dikorbankan kerana sikap ego dan tamak pemimpin. Pada masa itu, saya masih
taat kepada pemimpin tetapi bukan cara membuta tuli, takut menegur tetapi hanya memuji dan
memuja walaupun ahli pasti dan rakyat tidak bersetuju dengan dasar dan telatah angkuh dan
tamak pemimpin. Kasih kepada parti bermakna menyuarakan kepentingan ahli dan dasar parti
dan bukannya mempertahankan kesalahan pemimpin.
Sebagai Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, saya memang
menjalin hubungan dengan negara-negara jiran, negara-negara Islam, negara-negara
membangun, Asia dan Barat. Percubaan untuk memilih hubungan hanya dengan Amerika Syarikat
adalah percubaan menipu dan memutarbelitkan kenyataan. Ini adalah helah orang yang resah
dan kelam kabut, terdesak untuk mengalih pandangan rakyat.
Beliau juga cuba menafikan konspirasi membunuh karier politik
saya; kononnya kerana moral dan perangai saya. Sehingga sekarang, mereka masih mencari dan
mencipta bukti, meminda tarikh pertuduhan, memaksa saksi. Apakah ahli-ahli UMNO
sungguh-sungguh percaya DS Dr. Mahathir begitu menitikberatkan soal rasuah dan salahlaku
seks atau jenayah? Bagaimana dengan kehidupan dan tindakan salahlaku seks dan rasuah
Perdana Menteri sendiri? Bagaimana dengan kes rogol, pembunuhan dan rasuah menteri dan
pemimpin?
Saya telah dipecat kerana berusaha membersihkan UMNO dan
kerajaan dari rasuah dan kerendahan akhlak. Saya dicampakkan melalui satu komplot kerana
tidak senang dengan reformasi dalaman UMNO.
Budaya rasuah, tamak terlalu menular dalam pimpinan parti UMNO
dan BN. Kini, ahli-ahli UMNO dan rakyat perlu meneruskan usaha perubahan dan menegak
keadilan untuk semua rakyat dengan menyokong Barisan Alternatif.
Anwar Ibrahim
19 Jun 1999 |