I
Sekali lagi kita berdepan dengan persoalan getir, Rakyat
Malaysia dituntut membuat penentuan. Dan penentuan tersebut membawa pertanggungjawaban
yang begitu berat. Betapa tidak kerana keputusan kita akan menentukan masa depan umat dan
negara. Kita bertanggungjawab bagi menentukan masa depan anak-anak kita. Apakah kita mahu
anak-anak kita hidup dalam ketakutan? Hidup tanpa kebebasan dan mulut dijahit oleh
undang-undang yang menafikan hak mereka bersuara. Hak mereka untuk bergerak memperjuangkan
keadilan disekat.
Apakah kita mahu anak-anak kita berjiwa besar dan merdeka atau manusia
yang berjiwa kerdil dan pemikiran mereka terpasung; manusia yang merelakan penindasan dan
kezaliman atau manusia yang memiliki keberanian untuk bangun menegakkan keadilan. Apakah
kita mahu anak-anak kita memikul beban akibat kecuaian kita, beban hutang negara, beban
kos hidup yang meningkat. Sementara itu, muncul pula kelas manusia maha istimewa yang
jumlahnya begitu kecil tetapi membolot segala-galanya dan meninggalkan hampas kepada yang
lain.
Berdasarkan keyakinan agama, hidup tidak bererti seandainya dipertahan
sistem perhambaan oleh manusia ke atas manusia. Matlamat menjadi insan soleh hanya mungkin
dicapai melalui kebebasan dan bukan penindasan. Inilah yang diungkap oleh Jaafar bin Abu
Talib di hadapan Maharaja Najashi. Ini adalah pertimbangan moral. Bagaimana sikap kita
dalam menangani persoalan getir ini akan diingat zaman berzaman.
II
Kita sedar bahawa Barisan Nasional (BN) telah lama memegang tampuk
pemerintahan; menjamin kestabilan dan meransang pertumbuhan ekonomi. BN memerintah dan
berkuasa semata-mata dari amanah dan sokongan rakyat. Begitu lama BN memerintah sehingga
pimpinannya bersikap angkuh dan bertindak rakus. Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad khususnya
merasakan dirinya kebal dari sebarang tindakan rakyat dan bebas dari pertanggungjawaban.
Perlembagaan dipinda sehingga kuasa Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dikurangkan.
Rakyat menyokong pindaan tersebut kerana janji Perdana Menteri pada ketika itu ialah kuasa
terletak pada prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Ini bermakna kuasa
rakyat dimartabatkan.
Malangnya apa yang berlaku adalah disebaliknya. Kuasa mutlak diletakkan
pada seorang Perdana Menteri yang pantang ditegur dan dilarang. Akibatnya pemerintahan
negara berlangsung untuk memenuhi nafsu dan mengikut kerenah seorang individu. Pembangunan
dirangka dan dilaksana mengikut agenda peribadi dan keluarga. Maka dilaksanakan
pembangunan seperti rancangan mega, megah dan raksasa yang menaikkan selera dan ego
peribadi. Kita diigau dengan bangunan tertinggi di dunia, jambatan terpanjang, empangan
terbesar, kotaraya terindah. Belanja melibatkan puluhan bilion ringgit bagi memenuhi
selera peribadi.
Khazanah negara dihirup dan dana dari institusi kewangan diserap untuk
tujuan melaksanakan projek-projek raksasa tersebut. Dalam masa yang sama, tahap pendidikan
dan kesihatan awam perlu diberikan perhatian. Bahkan masih ada kawasan desa yang masih
terbiar, pedalaman dan kawasan miskin di kota yang terbengkalai dan dipinggirkan.
Sehinggakan bekalan letrik, air dan jalan kampung tidak dapat diuruskan segera. Perdana
Menteri dan pemimpin asyik dengan kilauan projek yang memukau, mahu meninggalkan mercu
tanda supaya kekal dipuja-puja. Malangnya, permasalahan rakyat biasa terbiar dan tidak
dihiraukan.
Keadaan lebih disulitkan lagi kerana projek-projek penswastaan dan
kemegahan diagihkan kepada syarikat anak dan keluarga, laksana cara faraid. Inilah yang
dikatakan nepotisme. Ataupun ianya diagihkan kepada beberapa syarikat besar terpilih yang
mempunyai hubungan rapat dan istimewa dengan pimpinan beliau. Saya yakin berdasarkan
pengetahuan dan maklumat yang saya perolehi, syarikat-syarikat tersebut ada hubungan
langsung dengan pemimpin, anak-anak dan keluarga mereka.
Jadi kronisme berkait rapat dengan nepotisme. Masing-masing telah
dijamin habuan, tanah, saham, lesen, kontrak, peluang penswastaan. Ini termasuk akaun khas
luar negara, nominee yang dirahsiakan namanya. Jadi, mereka sama-sama mengenyangkan
tembolok masing-masing dan mereka saling memahami dan mendiamkan diri tentang persoalan
rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Kemewahan mereka menonjol, tidak dapat
disorok lagi. Tidak cukup dengan mahligai rasmi Putrajaya yang dibina dengan harga mahal.
Pengubahsuaian kediaman dan pejabat rasmi memakan belanja berjuta-juta. Kediaman peribadi
pemimpin-pemimpin tersergam indah. Berlian gemerlapan bertatah manikam menghiasi
isteri-isteri, kenderaan canggih paling mahal dimiliki. Ini tidak lagi terhad kepada
pemimpin negara, bahkan juga negeri dan sebahagian wakil-wakil rakyat juga! Dengan habuan
demikian, takhta dan harta, sukar diharapkan perubahan dilakukan dari kalangan tersebut.
III
Kita terus-menerus menyaksikan keruntuhan moral dan keserakahan
akal. Peringatan-peringatan tentang rasuah dan penyelewengan kepada pemimpin menjadi
seolah-olah menuang air ke daun keladi. Tidak diendahkan sama sekali. Mereka juga
berbicara mengenai perjuangan dan pembelaan nasib rakyat. Tetapi ini semua sebagai
permainan di bibir, semata-mata untuk terus mendapat kepercayaan rakyat dan terus
berkuasa.
Apa upaya pemimpin untuk membanteras rasuah sekiranya beliau sendiri
meluluskan RM1.8 bilion untuk syarikat anaknya? Bagaimana beliau boleh menghapuskan rasuah
apabila beliau menolak ketepi bukti perlakuan rasuah seorang menteri kanan, padahal bukti
tersebut disokong dengan dokumen di mana menteri tersebut menerima hadiah, wang dan saham.
Di manakah kesungguhan bertindak manakala pendakwaan rasuah seorang lagi menteri kanan
yang melibatkan ratusan juta ringgit yang cukup bukti dibekukan?
Bagaimana diharapkan pemerintahan BN boleh menghapuskan rasuah apabila
pemimpin-pemimpin memiliki harta puluhan juta bahkan ratusan juta dibiarkan. Tanah
kerajaan, saham kerajaan dibahagi-bahagikan sesama mereka secara sewenang- wenangnya.
Sungguh mengaibkan! Ia bukan terhad pada rasuah atau diberikan keistimewaan dalam
syarikat-syarikat perjudian sebagai hadiah dan habuan perjudian. Kes rogol dan yang
berkaitan dengan kes pembunuhan ditutup begitu sahaja jika melibatkan orang-orang
kepercayaan sang pemimpin.
Pada pengalaman saya amat sukar sekali untuk memujuk Perdana Menteri
untuk membatalkan atau sekurang-kurangnya melengahkan pelaksanaan projek raksasa. Kenapa
tidak, ia melibatkan terlalu banyak kepentingan. Saya tidak banyak mendapat sokongan bila
menegaskan betapa perlu dibatalkan projek Bakun, Linear City, Putrajaya Phasa berikut, dan
lain-lain walaupun kebanyakan ahli kabinet bersetuju secara peribadi dengan saya. Tetapi
bila berdepan dengan Dr. Mahathir, mereka akan tunduk setuju sahaja.
IV
Keangkuhan dan kebiadaban sang pemimpin makin melampau sehingga
melibatkan isu agama. Hudud dan aurat dipertikaikan. Ulama dipersenda. Saya sendiri telah
berbicara secara sopan menasihati Dr Mahathir. Saya katakan, boleh membahaskan tahap dan
kaedah perlaksanaan hudud bagi umat Islam dengan mengambil kira kedudukan masyarakat
pelbagai agama. Namun, kita tidak boleh mempertikaikan hudud yang merupakan sebahagian
daripada syariat.
Begitu juga soal aurat. Saya pernah menyentuhnya dalam ucapan
penggulungan perhimpunan UMNO 1996. Saya singgung secara berseloroh: mengapa dipertikaikan
hak orang berjanggut, manakala beliau dahulunya berbangga dengan "side burn"nya
dan secara sindiran saya katakan Azizah tetap manis dalam tudungnya. Perwakilan UMNO pada
tahun tersebut resah sekali mendengar ucapan Dr Mahathir tetapi mengenali sikap Presiden,
tidak ada yang berani menegur. Saya segera memanggil tiga ustaz ahli Majlis Tertinggi UMNO
meminta mereka menyampaikan nasihat kepada Presiden. Mereka sekadar sengeh sahaja kerana
tiada yang berani. Tugas mereka tidak lebih daripada mendoakan dan memuji Presiden sebagai
khalifah besar umat.
Kefahaman Dr Mahathir tentang Islam amat dangkal. Beliau sama sekali
tidak menguasai bahasa Arab. Tanggapan beliau terhadap Islam hanya berpandukan kefahaman
beliau terhadap terjemahan Inggeris beberapa ayat al-Quran. Namun beliau mempunyai
keangkuhan untuk mengeluarkan fatwanya sendiri. Beliau berani mempertikai pandangan ulama.
Bahkan beliau seringkali menyerang ulama. Ini amat ketara dalam serangan beliau terhadap
Ustaz Harun Din dan arahan beliau supaya mufti Selangor Datuk Ishak Baharom diberhentikan.
V
Dr Mahathir telah menjadikan seluruh jentera parti dan kerajaan sebagai
perkakas peribadi. Seperti lazim sifat seorang diktator beliau mahukan sokongan bulat dan
tanpa soal dari semua anggota Majlis Tertinggi UMNO. Bagi menjamin ketaatan bulat anggota
Majlis Tertinggi beliau menafikan hak pimpinan UMNO lain untuk mencabar ahli MT di
Peringkat bahagian. Langkah ini beliau ambil agar semua ahli-ahli MT, khususnya yang
lemah, kurang menyerlah dan tidak popular di kalangan pemimpin dan ahli akar umbi akan
terhutang budi kepada Presiden. Mereka ini akan berpaut dan bergantung semata-mata dengan
dukungan Presiden, dan bukan dengan sokongan ahli dan rakyat. Tokoh-tokoh muda yang
popular dan berpotensi dicurigai.
Saya sungguh bimbang dengan sikap mencurigai golongan muda kerana
kesinambungan parti bergantung kepada generasi muda, khususnya generasi muda yang memiliki
idealisme, berani dan berpegang kepada prinsip perjuangan. Kekuatan pengalaman generasi
tua harus digabungkan dengan kesegaran idealisme generasi muda. Jika generasi yang idealis
ditolak ke tepi, ini bermakna sesuatu organisasi dan parti telah mengerat dirinya dari
masa depan. Disebaliknya beliau lebih selesa dengan setengah pemimpin rasuah, lembab,
punyai rekod buruk, tidak disenangi rakyat, asalkan mereka menjadi pengampu.
Dr Mahathir allergic, alah atau menyampah dengan teguran dan kritikan.
Beliau rimas dengan orang-orang yang memiliki pendirian dan pemikiran sendiri. Justeru itu
beliau tidak menyenangi para sarjana, kecuali yang sanggup memuji beliau. Dalam
Perhimpunan Agung UMNO, perwakilan diarah memuja beliau sebagai pemimpin terulung di
dunia, jurucakap negara membangun, Pemimpin Islam terkemuka, pencetus idea paling bernas
dalam sejarah dan sebagainya.
Kalau ada yang cuba memberikan kritikan meskipun dengan cara yang amat
sederhana dan bersopan dia akan ditempelak dan dibelasah dengan keras. Begitu juga dengan
pembesar kerajaan, pegawai-pegawai kanan yang rapat dengannya dipertahankan terus,
diberikan kepercayaan atau dinaikkan pangkat walaupun ada rekod rasuah atau lembab,
sementara yang tegas mementingkan ketelusan akan dipinggirkan.
VI
Meskipun pelbagai andaian dibuat mengenai kemungkinan saya mencabar
kepimpinan Dr Mahathir, saya tidak melayaninya sama sekali. Pertama, kerana saya
memikirkan kepentingan kestabilan UMNO dan negara adalah lebih utama. Kedua, dalam usianya
yang tua, beliau tidak mungkin mahu kekal selamanya sebagai Perdana Menteri. Ketiga,
walaupun terdapat perbezaan pendapat, penekanan dan gaya kepimpinan, hubungan peribadi
kami masih baik. Dan akhirnya saya berpendapat ada kebijaksanaannya terus bersabar;
menelan sahaja kerenah dan egonya yang tak terupaya dirubah. Insya' Allah, bila sampai
ketikanya nanti, soal rasuah, projek mega, rendah akhlak, tekanan keterlaluan terhadap
pembangkang, lembaga swadaya masyarakat (LSM atau NGO), kaum intelektual boleh ditangani
secara berkesan dengan mengembeleng dukungan semua pihak.
Namun saya dapati kedegilannya mulai membebankan negara. Dasar
ekonominya hanya menguntungkan kelompok kecil. Sikap dan kenyataannya sering menimbulkan
ketegangan hubungan dengan hampir semua negara jiran. Yang beliau puji hanya Jepun dan
Cuba. Yang lain beliau anggap leceh dan lemah belaka. Semua negara membangun dan negara
asing perlu belajar atau berguru dengannya.
Sayalah di antara orang yang paling penyabar kerana terpaksa mendengar
celotehnya hampir setiap hari sekitar 8.15 pagi. Semua orang dipertikaikan, ulama
dikatakannya tidak tahu agama; pakar ekonomi dicemuh sebagai lebih banyak berteori,
pemimpin-pemimpin negara jiran dilecehkan kononnya tidak tahu menguruskan negara mereka.
Hampir tidak kedengaran dari mulutnya, negara, tokoh, mahupun sarjana yang dihormati atau
dikagumi, melainkan yang banyak memuji atau memujanya. Beliau mengkritik saya kerana
terlalu liberal dan diplomatist; lembut dengan pembangkang, NGO dan sarjana, terlalu
terikat dengan pandangan agama.
Ini semua tidak mencukupi kerana ada komplot yang bekerja
bermati-matian dan bersengkang mata untuk menjatuhkan saya. Setiausaha Politik Perdana
Menteri Aziz Shamsuddin, dari awal tidak menyenangi saya dan lebih berusaha untuk
menaikkan Datuk Abdullah Ahmad Badawi. Tun Daim Zainuddin bermati-matian berusaha menjaga
kepentingan empayar ekonominya dan tidak yakin saya akan pertahan kepentingannya. Megat
Junid mahu diutamakan sebagai orang perantaraan kerana hubungan paling akrab dengan Dr
Mahathir. Seterusnya mereka disokong oleh Tan Sri Rahim Tamby Chik yang berdendam dengan
saya kerana ketegasan saya dalam tuduhan kes rogol dan rasuah yang dihadapinya. Ia
melibatkan Datin Paduka Rafidah Aziz kerana mengetahui kertas pertuduhan Jabatan Peguam
Negara masih di tangan saya; dan Sanusi Junid kerana menyalahkan saya setelah tewas dalam
pemilihan UMNO Bahagian Langkawi. Bahkan beliau sanggup menuduh saya "insan
munafik". Saya tidak bersedia mengulas kerana saya sedar beliau adalah pengkagum
Goebbels, Menteri Penerangan Hitler, seorang pemfitnah besar dalam sejarah.
Memang benar, setelah Dr Mahathir yakin dengan pandangan komplot
tersebut, maka bermulalah konspirasi menjatuhkan saya. Keyakinan beliau tentang komplot
disahkan oleh beliau dalam ucapan sebelum Persidangan UMNO 1999. Walaupun beliau cuba
menafikan berulangkali sebelum ini penyingkiran, fitnah dan kezaliman terhadap saya adalah
kerana muslihat politik. Beliau mudah menerima komplot untuk menjatuhkannya sebagai alasan
sebenar menghalang saya dari mengambil alih tampuk pemerintahan. Dengan pandangan saya
terhadap rasuah, kronisme, nepotisme, beliau percaya kepentingan beliau sekeluarga dan
kroni mungkin tidak dapat dijamin.
VII
Perdana Menteri dirundung kerunsingan akibat pengaruh politik saya yang
lebih teguh. Beliau khuatir dengan ketegasan saya tatkala memangku jawatan Perdana Menteri
terutama dengan membentangkan Akta Rasuah dan kelantangan membicarakan soal demokrasi dan
masyarakat madani yang mendapat sokongan kuat daripada rakyat. Saya melakukan ini
semata-mata untuk kebaikan negara dan rakyat, untuk menggilap citra dan imej Malaysia di
mata dunia. Meskipun Malaysia dihormati dunia dengan kepesatan kemajuan ekonomi, namun
citra Malaysia merosot dengan sistem politik yang semakin bersifat otoritarian, merebaknya
rasuah dan terhakisnya hak asas manusia serta keyakinan terhadap sistem kehakiman.
Malangnya mereka yang terlibat dalam konspirasi yang berusaha untuk menjatuhkan saya
menunjukan ini sebagai bukti bahawa saya tidak lagi boleh dipercayai untuk menjaga
kepentingan Perdana Menteri. Saya dikatakan cuba meletak dasar baru yang menyimpang dari
dasar Dr Mahathir. Dan Akta Rasuah yang baru, disebut sebagai jerat yang saya pasang untuk
mengenakan Perdana Menteri dan penyokong-penyokongnya selepas mereka meletak jawatan. Bagi
saya, persoalan ini tidak timbul sama sekali, kerana yang takut kepada akta itu hanyalah
perasuah, yang menggunakan kedudukan dan kuasa untuk memperkayakan diri sendiri. Syahdan,
hubungan saya dengan Perdana Menteri menjadi tegang.
Ketegangan ini dipersulitkan dengan kegawatan ekonomi yang melibatkan
kepentingan anak-anak Perdana Menteri dan kroni beliau. Saya membuat kenyataan terbuka
bahawa keutamaan kita dalam menghadapi kegawatan ekonomi adalah untuk memastikan sistem
ekonomi terus mantap kerana kepentingan rakyat terbanyak terletak pada keutuhan sistem
ekonomi keseluruhannya dan keyakinan masyarakat pelabur kepada pengurusan ekonomi.
Keyakinan pelabur pula terletak pada ketelusan sistem, sistem yang tidak memihak kepada
golongan tertentu dan sistem yang bebas daripada tekanan politik.
Justeru itu saya menentang sebarang usaha untuk menggunakan dana negara
untuk menyelamatkan kepentingan syarikat-syarikat besar yang tidak cekap yang dimiliki
oleh sesiapa saja. Sikap saya ini tidak menyenangkan Dr Mahathir dan juga segelintir
peniaga besar yang selama ini mendapat layanan istimewa dan juga mendapat perlindungan
dari persaingan kerana hubungan rapat dengan Perdana Menteri dan Daim. Ketegasan saya
tidak menyenangkan anak-anaknya, khususnya Mirzan yang syarikatnya Konsortium Perkapalan
menghadapi tekanan dan mahu diselamatkan. Setelah Dr. Mahathir mengarahkan Pertonas supaya
menyelamatkan Konsortium Perkapalan, saya masih bertegas supaya dilantik jurunilai
antarabangsa yang bebas. Saya bertegas meminta Projek Bakun, Linear City, Putrajaya Phasa
berikut dibatal atau ditangguhkan. Semua projek-projek ini melibatkan kepentingan
rakan-rakan dan keluarganya. Saya meminta Badan Pencegah Rasuah meneruskan siasatan
terhadap Perwaja yang mengalami kerugian begitu besar akibat kecuaian pengurusan dan juga
penyelewengan. Pengurusan Perwaja diketuai oleh Tan Sri Eric Chia, antara kawan rapat dan
orang kepercayaan Perdana Menteri. Laporan penyiasatan awal BPR dan audit mengesahkan
kepincangan tersebut. Dan lebih serius ialah terdapat dokumen yang menunjukkan
campurtangan peribadi Dr. Mahathir dalam meluluskan sebahagian daripada kontrak besar yang
diluluskan.
VIII
Reaksi Dr Mahathir menghadapi tekanan kegawatan ekonmi ini semua ialah
dengan melantik Daim memimpin Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan mengurangkan kuasa
saya sebagai Menteri Kewangan. Saya akur dan berkerjasama dengan MTEN. Tetapi saya tetap
bertegas tentang keperluan reformasi dalam sistem ekonomi negara dan terus mengulangi
tentang peri pentingnya pertanggungjawaban dan ketelusan.
Saya merasakan kejatuhan Suharto perlu diambil sebagai iktibar kerana
kian jelas persamaan antara amalan nepotisme dan kronisme Suharto dengan amalan perniagaan
di Malaysia. Jika perkara tersebut tidak dibendung, perkara yang sama akan berlaku di
Malaysia. Hanya dengan melaksanakan reformasi politik dan ekonomi, perkara yang sama dapat
dielakkan daripada berlaku di Malaysia.
Reaksi Dr Mahathir terhadap kejatuhan Suharto adalah berlainan. Bukan
dengan melaksanakan reformasi tetapi dengan memperkukuhkan kubu kekuasaannya untuk
memastikan beliau terus berkuasa walau apa pun terjadi pada negara dan rakyat. Beliau
meniup dan mempermainkan sentimen nasionalistik rakyat, bukan untuk kepentingan rakya
tetapi untuk terus kekal berkuasa. Mereka yang mengkaji sejarah kenal benar dengan
kenyataan ini. Pemimpin yang digugat oleh kebangkitan rakyat akan cuba mengalihkan
perhatian rakyat kepada "Ancaman Asing." Ini adalah takti biasa diktator.
Dasar-dasar nasionalistik hanya digunakan untuk mengabui mata rakyat. Ia sebenarnya adalah
helah untuk meneruskan dasar untuk mengumpul kuasa dan mengambil tindakan Menyelamat
syarikat keluarga dan kroni.
Soal IMF dibangkitkan secara berterusan untuk mengelirukan rakyat
seolah-olah sebagai Menteri Kewangan saya setuju sepenuhnya dengan penyelesaian IMF.
Malaysia mempunyai cukup pakar-pakar ekonorni, baik di Kementerian Kewangan, Bank Negara,
di universiti-universiti dan institusi-institusi penyelidikan seperti Malaysian Institute
of Economic Research (MIER). Semuanya dirujuk dalam isu-isu penting dan untuk menilai
cadangan-cadangan institusi antarabangsa seperti IMF. Ada kalanya kita bersetuju dengan
IMF dan ada kalanya kita tidak bersetuju.
Saya telah jelaskan dalam menghadapi kemelut kewangan, pendapatan
negara terjejas dan sebagai jawapan kepada kesulitan tersebut kita perlu membuat
penyesuaian dan perbelanjaan perlu dipotong. Kita punya dua pilihan, sama ada memotong
perbelanjaan untuk projek mega dan mewah atau memotong perbelanjaan untuk golongan miskin
dan peruntukan luar bandar. Pada saya keutamaan adalah jelas. Peruntukan untuk projek mega
dan mewah harus dipotong dahulu. Tetapi kerana kepentingan anak-anak dan kroni terjejas,
Dr Mahathir marah. Dalam hampir semua projek besar, KLCC, Bakun, KLIA, dan lain-lain
terselit kepentingan anak-anak Perdana Menteri. Saya tidak kurangkan peruntukan luar
bandar, pembasmian kemiskinan, kesihatan dan pendidikan. Dr Mahathir tidak mengendahkan
itu semua. Beliau lebih tertarik dengan konsortium anaknya; Bakun; Putrajaya, walaupun
faedahnya untuk rakyat terbanyak boleh dipersoalkan.
Saya tidak setuju dengan semua penyelesaian IMF, khususnya mengenai
lonjakan faedah ke paras tinggi yang berterusan, pemotongan subsidi dan bantuan terhadap
rakyat miskin. Bahkan, saya yang diminta oleh Menteri Kewangan Indonesia menghujahkan hal
tersebut dengan IMF. Walau bagaimanapun saya bersetuju dengan penekanan IMF dan Bank Dunia
tentang peri pentingnya tindakan tegas untuk membanteras rasuah, keperluan ketelusan,
pentadbiran dan pengurusan yang baik. Apa muslihat Dr Mahathir dan Daim yang beria-ia
menentang langkah memastikan pentadbiran kewangan yang telus. Apakah yang ingin mereka
sembunyikan? Jawapannya ialah kerana keutamaan dasar ekonomi adalah untuk keluarga dan
kroni. Sebab itulah cabaran saya supaya diadakan siasatan bebas menyiasat kontrak, lesen,
saham kepada keluarga dan kroni diadakan. Saya yakin Dr Mahathir dan Daim tidak berani
kerana akan terbongkar tembolok besar mereka! Justeru itu soalan saya di Dewan Rakyat
supaya disenaraikan mereka yang menerima kontrak dan saham dari Kementerian Kewangan sejak
1985 iaitu tatkala Daim dilantik sebagai Menteri Kewangan buat pertama kali - masih belum
menerima jawapan.
IX
Ucapan Dr Mahathir selaku Presiden di Perhimpunan Agong UMNO baru-baru
ini menampakkan cara merepek orang lama, berang dan bengis terhadap setiap teguran dan
kritikan, dan menyerang bagaikan orang disampuk kerisauan. Contohnya- Kenyataan Doug Paul
dari Pusat Kajian Dasar Asia Pasifik (APPC) yang berpusat di Washington ditonjolkan
sebagai bukti kukuh keterlibatan saya sebagai agen asing. Hanya si bahlul akan terpedaya
dengan fitnah dan tipu helah sedemikian. APPC dan dengan kerjasama Institut Kajian Dasar,
Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) menganjurkan Dialog Pasifik setiap tahun.
Dr. Mahathir sendiri yang merasmikan keempat-empat sidang tersebut di Malaysia.
Sekretariat diketuai oleh Tan Sri Nordin Sophie dari pihak Malaysia dan Doug Paal dari
pihak Amerika Syarikat. Delegasi dari Amerika Syarikat diketuai oleh William Cohen sejak
beliau masih Senator. Dialog tersebut turut disertai oleh pemimpin, pengusaha dan pemikir
Asia. Saya menyokong dialog tersebut kerana menginsafi peri pentingnya ditingkatkan
persefahaman kebudayaan antara Asia dan Amerika sebagai asas untuk merangka kerjasama
ekonomi dan keselamatan yang baru di Asia Pasifik selepas tamatnya Perang Dingin. Dialog
tersebut telah menghasilkan satu dokumen penting yang diberi nama "Piagam
Pasifik." Menteri-menteri Kabinet, Ketua Menteri dan Timbalan Menteri turut hadir
dalam semua sidang tersebut. Serangan Dr. Mahathir membuktikan tahap keresahan beliau
sehingga sanggup berbohong dan memutarbelitkan kenyataan semata-mata untuk
mengalih-pandangan dari tindakan zalim, rasuah dan pembaziran.
Saya juga dituduh kononnya lebih berminat ke Amerika Syarikat dan
Perancis kerana keadaan bebas di sana. Sungguh menghairankan bagi seseorang yang meningkat
usia tua, merepek, memfitnah dan berani berbohong semata-mata kerana fahaman politik yang
sempit. Saya ke Washington bagi menghadiri sidang IMF dan Bank Dunia. Saya juga menjelajah
ke negara-negara ASEAN, Korea, Jepun, Sudan, UAE (Emirat Arab Bersatu).
Bagaimana pula dengan langkah Dr Mahathir dan Daim memilih syarikat
Amerika Salamon Smith Barney sebagai penasihat kewangan negara? Padahal syarikat tersebut
juga terlibat dengan spekulasi matawang. Bagaimana dengan hubungan akrab peribadi Dr
Mahathir dengan Henry Kissinger bekas Setiausaha Negara Amerika; atau dengan Puan Margaret
Thatcher, bekas Perdana Menteri Britain yang melancarkan bukunya di London?
Apabila disebut agen asing yang beliau maksudkan pastilah agen Barat.
Betapa cetek dan dangkalnya tuduhan tersebut. Persoalannya mengapa kita harus memusuhi
Barat. Yang harus kita musuhi adalah kezaliman, penindasan dan kepura-puraan. Dan
kezaliman, penindasan dan kepura- puraan tersebut terdapat di Barat dan juga di Timur.
Kita harus mengambil yang baik di mana saja kita berada. Kita menghantar pelajar-pelajar
kita ke Barat untuk mempelajari ilmu-ilmu moden, teknologi, pemikiran saintifik serta
analitis yang berguna kepada kita. Ini tidak menjadikan kita taksub kepada Barat.
Namun sebahagian besar dari tenaga akliah saya tumpukan untuk mengajak
masyarakat mengkaji dan mendalami semangat kebudayaan Asia. Saya merasakan kita belum
menyelami semangat murni kebudayaan Asia sedangkan kefahaman tersebut adalah prasyarat
kepada sebarang usaha ke arah kebangkitan semula. Justeru itu saya anjurkan siri seminar
mengenai tokoh-tokoh yang menyumbang ke arah Nahdah Asia (Asian Renaissance). Dua telah
berlangsung iaitu tentang Jose Rizal, Muhammad lqbal dan Jamaluddin al-Afghani. Saya
disingkirkan tatkala persiapan untuk seminar mengenai Rabinranath Tagore sedang berjalan
rancak. Saya juga bercadang untuk mengadakan seminar tentang Sun Yat Sen dan
memperkenalkan pemikir Jepun Kakuzo Okakura.
Dalam masyarakat yang berbilang kaum seperti Malaysia, usaha untuk
memupuk kefahaman kebudayaan-kebudayaan Asia amat penting sekali. Sekadar toleransi tidak
mencukupi. Kita perlu memupuk apresiasi terhadap kebudayaan jiran kita yang berlainan
agama dan keturunan. Dan apresiasi tersebut tidak akan terhasil selagi kita tidak
mendekati karya-karya agung dalam kebudayaan dan tamadun tersebut. Berdasarkan kesedaran
tersebut semasa menjadi Menteri Pendidikan saya mengarahkan Dewan Bahasa dan Pustaka
menterjemahkah karya-karya agung daripada tradisi Islam, Cina dan India. Atas keinsafan
untuk memupuk perpaduan antara kaum, dalam lawatan rasmi ke Cina saya membawa rombongan ke
perkampungan Kung Fu Tze dan melawat makam Laksamana Cheng Ho, seorang tokoh Islam yang
mengepalai armada laut Cina semasa Dinasti Ming.
Sebaliknya Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin BN yang muflis intelek
berusaha menimbulkan rasa takut antara kaum. Mereka menyemai benih kecurigaan. Sikap ini
sungguh tidak bertanggungjawab, tak ubah cara penjajah yang mengamalkan dasar pecah dan
perintah. Di kalangan rakyat Malaysia keseluruhannya didendangkan momok penjajahan baru
dari luar dengan saya sebagai agennya dan dikalangan kaum-kaum di Malaysia ditimbul
keraguan dan syak wasangka. Inilah sendiwara mereka. Sungguh membosankan!
XI
Saya tidak berhasrat mengulangi pendedahan mengenai konspirasi terakhir
untuk menjatuhkan saya. Dan sebagai langkah melenyapkan karier politik saya, senjatanya
ialah mengaibkan dengan tuduhan salah laku seks yang direka-reka. Berhempas pulas
digunakan Tan Sri Rahim Nor dan kelompok pegawai suruhannya termasuk Musa Hasan dan
Rodwan; Peguam Negara dan Badan Kehakiman. Hampir semua tuduhan dikenakan, rasuah, salah
laku seks, pengkhianatan terhadap negara. Yang belum dilakukan ialah tuduhan membunuh dan
mengedar dadah.
Saya disabitkan bersalah semata-mata kerana saya bercakap dengan
Pengarah Cawangan Khas Polis! Bayangkan saya mengadu kepada polis kerana difitnah dan
aduan itu dianggap satu kesalahan sehingga saya dipenjara selama enam tahun! Meskipun saya
dipecat atas siasatan, pengadilan dan hukuman cara diktator, Dr Mahathir masih belum
berpuas hati. Beliau mahu mahkamah yang di bawah telunjuk beliau menghukum saya kerana
salah laku seks. Maka direka cipta lagi sehingga tuduhan dipinda dari tahun 1994 ke 1992
dan 1993. Ini yang disebut pendakwaan fitnah dan berniat jahat. Rakyat terdedah dengan
maklumat di mana saksi-saksi didera dan diugut; sistem penghakiman yang tempang menurut
skrip Konspirator.
Dr Mahathir begitu pasti sekali sehingga saya terus dipecat, diusir
dari rumah, dipukul dan dipenjara. Prinsip Islam dan keadilan diketepikan. Pada beliau
maklumat daripada tauke judi, atau apa yang disebutnya 'perempuan sundal' lebih berharga
dan lebih boleh dipercayai. Kononnya saya dipercayai agen asing sejak Oktober 1993. Kalau
saya sudah dipercayai sebagai agen asing sejak itu, bagaimana pihak keselamatan boleh
mengesahkan perlantikan saya kejawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 94.
XII
Itu semua sudah berlalu. Sudah menjadi sejarah. Saya dedahkan kepada
rakyat, khususnya kepada generasi muda, untuk dijadikan iktibar. Saya ceritakan dengan
agak panjang untuk menjawab fitnah. Lebih penting daripada ia bukan isu peribadi. Saya
disingkirkan bukan kerana persoalan moral. Persoalan moral itu dicipta sebagai
"deception" dan "diversion", sebagai satu ledakan untuk mengalihkan
pandangan dan tumpuan rakyat daripada persoalan yang sebenar. Segala jentera kerajaan,
khususnya Pasukan Polis, Jabatan Peguam Negara dan Institusi Kehakiman, dan media massa
dikerah untuk memastikan masyarakat mempercayai pembohongan tersebut. Fitnah dan
pembohongan tersebut sentiasa diulangi kerana Dr. Mahathir begitu percaya dengan teori
propaganda Hitler yang mengatakan pembohongan itu jika sentiasa diulangi, kelak manusia
akan mempercayainya sebagai kebenaran. Tetapi beliau lupa dengan kata-kata Abraham
Lincoln: "Kamu boleh membohongi semua manusia dalam satu masa, atau sebahagian
manusia dalam semua masa, tetapi kamu tidak akan boleh membohongi semua manusia dalam
semua masa. "
Persoalan sebenar ialah, negara sedang dicengkam oleh krisis ekonomi
dan politik yang tenat akibat menularnya rasuah, penyalahgunaan kuasa, gaya kepimpinan
beliau yang semakin bersifat kuku besi, amalan ekonomi yang membiarkan kekayaan negara
dibolot oleh segelintir kawan, keluarga dan individu korporat yang menjadi anak emas
Perdana Menteri. Untuk menjayakan keadilan Malaysia memerlukan reformasi ekonomi dan
politik. Ini saya tegaskan berulang kali dalam ucapan-ucapan saya semasa dalam kerajaan
dan dengan lebih kerap setelah saya menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dan inilah inti
kepada buku saya "Asian Renaissance" dan "Gelombang Kebangkitan Asia."
Sementara ekonomi masih tangkas, segar dan subur, kesempatan yang ada
harus digunakan untuk melaksanakan reformasi. Reformasi memerlukan kita membuat
penyesuaian, dan penyesuaian sering menyulitkan dan memerlukan pengorbanan. Tetapi dalam
suasana ekonomi segar, penyesuaian tidak akan begitu membebankan. Sebaliknya kalau kita
menangguhkan dan terpaksa melakukan penyesuaian dikala ekonomi lemah, ia sudah pasti
memedihkan.
Inilah sebenarnya persoalan negara. Tetapi golongan "vested
interest", golongan berkepentingan melihat reformasi akan menjejaskan kedudukan
istimewa mereka. Kenapa tidak? Sekiranya sistem ekonomi kita telus, tidak ada bezanya
antara seorang yang rapat dengan Perdana Menteri dengan orang yang tidak dikenali oleh
Perdana Menteri. Apabila mereka bersaing untuk mendapat satu-satu projek penswastaan atau
kontrak dari kerajaan, yang penjadi penentuan bukan hubungan mereka dengan Perdana Menteri
tetapi "merit" atau kewajaran cadangan mereka dari segi sebut harga, teknologi
yang digunakan, dari segi latihan kepada pekerjaan dan sumbangan kepada masyarakat dan
negara. Justeru itu sering saya tegaskan bahawa ketelusan adalah antara unsur penting
dalam reformasi ekonomi. Sudah tentu peniaga-peniaga yang rapat dengan Perdana Menteri
tidak menyukai sistem yang telus kerana mereka akan kehilangan "advantage" yang
ada pada mereka hasil daripada hubungan istimewa dengan Perdana Menteri.
XIII
Apa yang perlu kita lakukan sekarang? Kesedaran rakyat perlu digilap.
Semangat juang harus disemarakkan. Golongan yang berjuang untuk keadilan perlu bersatu.
Perbedaan kecil perlu diketepikan. Sesungguhnya kita berada di persimpangan jalan. Rakyat
Malaysia perlu membuat ketetapan baru. Kita perlu merangka agenda perubahan.
Kita wajib menggembleng kekuatan rakyat untuk menjayakan agenda
tersebut. Hanya dengan cara ini kita boleh menegakan sebuah negara yang disebut oleh Allah
SWT (
negara yang baik dan dapat pengampunan daripada-Nya. (Surab Saba'ayat 34:
15)
Keadilan adalah roh negara. Dari zaman bahari sehingga hari ini tiada
yang mempertikaikan hakikat ini. Baik dalam kitab-kitab suci, renungan para filasuf
pujangga dari Timur dan Barat, kesemuanya menghimbau manusia ke arah keadilan.
Umat Islam sentiasa diingatkan dengan perintah Allah SWT: Sesungguhnya
Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan .... (Surab al-Nabl ayat 90)
...hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil
itu lebih hampir kepada taqwa ... (Surah al-Ma'idah ayat 8)
Filasuf Yunani purba Plato menegaskan bahawa "justice is the
organizing principle of the ideal state". Keadilan adalah akar tunjang kepada negara.
Dan murid beliau Aristotle menyebut bahawa manusia tanpa hukum dan keadilan adalah lebih
rendah daripada haiwan. Sementara filasuf Kristian Saint Agustine pula berkata, kalau
keadilan tercabut dari sesebuah negara apakah yang tinggal lagi kecuali perampokan yang
maha dahsyat.
Apalah makna kemerdekaan kalau rakyat lemah dan takutkan bangsa
sendiri. Kemerdekaan hanya bermakna bila rakyat berani dan perkasa. Kita hanya mungkin
memperkasakan rakyat sekiranya kita berjaya menegakkan keadilan di Malaysia. Selama
keadilan tidak terlaksana, rakyat tidak mungkin di perkasakan. Sebaliknya rakyat hanya
akan menjadi perkakas. Keadilan akan membebaskan dan memperkasakan rakyat. Yang berlaku
dihari ini ialah kekuasaan itu telah menjadi keadilan, orang yang berkuasa menjadikan
segala tindakan mereka sebagai keadilan (might is right) bukan keadilan itu berkuasa
(right is might).
Demokrasi adalah satu kemestian. Dalam perisytiharan Permatang Pauh
disebutkan bahawa daya dan kudrat manusia kepada keadilan menjadikan demokrasi satu
kemungkinan, tetapi kecenderungan manusia kepada kezaliman menjadikan demokrasi satu
kemestian. (Man's capacity for justice makes democracy possible, but man's inclination
towards injustice makes democracy necessary).
Tetapi hari ini demokrasi di Malaysia hanya tinggal semata-mata jasad.
Rohnya telah dibunuh oleh Dr. Mahathir. Malaysia hanya demokrasi pada nama. Pada
hakikatnya adalah satu plutokrasi, Pemerintahan golongan kaya, bukan pemerintahan rakyat.
Pemerintahan di Malaysia lebih berupa "a concert for the rich and the powerful",
satu medan pesta untuk golongan kaya dan berkuasa yang bernafsu besar sementara rakyat
terbanyak terus terpinggir dan terbiar. Setelah Abu Bakar al-Siddiq r.a. dipilih menjadi
khalifah pertama beliau bangun memberikan pidato yang menggariskan prinsip kepimpinan
beliau:
"Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dipilih untuk memegang
kekuasaan atasmu, padahal aku bukan yang terbaik di antaramu; Maka jika aku berlaku baik
(dalam menjalankan kekuasaan itu) bantulah aku; tetapi jika salah, betulkanlah. Berkata
benar adalah amanah, dusta adalah khianat. Barang siapa yang lemah antaramu akan kuat
bagiku, sehingga aku kembalikan haknya (dari tangan orang lain yang mengambilnya),
Insya'Allah. Barang siapa yang kuat di antaramu akan lemah berhadapan denganku, sehingga
aku ambil hak orang lain dari tangannya, Insya'Allah.
Alangkah jauhnya prinsip dan amalan kepimpinan ini dengan keangkuhan
Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin BN. Tiada sedikit pun rasa malu dan segan untuk
berbohong meskipun orang ramai tahu mereka berdusta. Mereka telah mengkhianati amanah yang
diberikan kepada mereka. Sekarang, sebagaimana yang saya tegaskan, fajar baru sedang
menyingsing di ufuk politik Malaysia. Ada yang cuba mengaitkan isu keadilan atau perubahan
politik sebagai agenda peribadi saya. Kalau itulah cita-cita saya, lebih mudah saya akur
sahaja dengan rasuah, bailout dan berdiam diri dengan penghinaan terhadap agama dan gaya
kepimpinan kuku besi. Kalau ini saya lakukan, berkemungkinan besar kedudukan saya
terjamin. Tetapi saya menuntut perubahan, kedaulatan undang-undang; demokrasi; kerukunan
hidup agama; merangsang pertumbuhan ekonomi dengan menjamin pengagihan yang adil.
Tidak ada manusia kebal; dan tidak ada organisasi atau wadah yang
kekal. UMNO dan BN hanya relevan selagi ia kekal sebagai wadah gerakan rakyat yang
memperjuangkan keadilan. Tetapi kini pemimpinnya rakus, rasuah, tamak haloba, mempamerkan
kekayaan yang memualkan. Hak rakyat dipijak. Rakyat mahu dijadikan perkakas untuk
kepentingan keluarga dan kelompok kecil. Saya ingin ulangi, saya dan Azizah tidak pernah
memusuhi ahli-ahli UMNO, atau rakyat; apatah lagi mengkhianati negara. Pengkhianatan hanya
dilakukan oleh manusia rakus, menindas hak rakyat dan merampas harta, tanah dan khazanah
negara. Kami memperjuangkan kebenaran dan keadilan sebagai satu keyakinan, namun semangat
dan keikhlasan ahli-ahli dan rakyatlah yang menjadi pendorong.
Berulangkali dalam ucapan saya bicarakan soal "taklifwala
tashrif"; ( ) jawatan sebagai tanggungjawab dan bukan keistimewaan. Maka jangan
dibiarkan golongan kaya bertambah kaya, sementara yang miskin terus papa kedana. Rakyat
termasuk ahli-ahli UMNO sering mendengar keluhan saya tentang merebaknya rasuah di sektor
awam dan juga swasta. Saya sering menyuarakan betapa program membasmikan kemiskinan perlu
dipertingkatkan, khususnya untuk golongan fakir. Begitu juga tentang program rumah kos
rendah, dan saya menyelar kerajaan-kerajaan negeri yang lebih berminat membina padang golf
dari menyediakan tapak tanah untuk perumahan rakyat. Di Sabah. saya berikrar menghentikan
politik pemimpin mendapat balak sementara pengundi hanya mendapat zink bumbung rumah. Saya
tekankan peri pentingnya pengetahuan agama, soal hubungan antara agama dan institusi
kekeluargaan.
XIV
Dalam ucapan-ucapan saya ke seluruh negara, saya tidak jemu-jemu
mengulangi pandangan ahli sejarah Edward Gibbon yang menulis buku The Decline and Fall of
Roman Empire dan juga pandangan Ibn Khaldun dalam Mukadimah bahawa "rasuah,
penyalahgunaan kuasa, keangkuhan, kerendahan akal budi adalah tanda-tanda kehancuran
tamadun". Begitu juga sering saya kutip pandangan John Kenneth Galbraith, khususnya
dalam buku beliau The Culture of Contentment bagaimana keadaan pemimpin yang mahu terus
dipuji dan dipuja, dan ditipu dengan laporan bahawa semuanya baik dan cemerlang, walhal
semua masalah rasuah dan kepincangan semakin merebak dan menjadi barah.
Kita tidak berganjak daripada pendirian tersebut. UMNO dan BN sudah
tidak berupaya lagi. Pemimpinnya senang-lenang, terlalu kaya dibuai dengan kemewahan.
Terlalu banyak kepentingan, harta dan kekayaan yang diperolehi, sukar untuk melaporkan itu
semua. Kalaupun ada yang cuba berani, mereka akan diugut, peluang perniagaan ditarik,
bank-bank mula menuntut hutang. Sang pemimpin pantang ditegur dan dilarang. Rakyat sekadar
perkakasan untuk mengekalkan kekuasaan.
Hanya dalam beberapa bulan kebelakangan, kerana menjelangnya
pilihanraya, pemimpin bergegas melawat desa, menjelajah negara, memberi bonus, elaun,
janji-janji manis. Kerana terasa cemas berhadapan dengan kemarahan rakyat; pelbagai
ganjaran disediakan. Golongan guru umpamanya, kerana diketahui sebagai elemen sedar
mengkritik pimpinan dan dasar kerajaan, cuba dibuai dengan janji dan habuan kecil. Sebelum
ini siapa yang memperjuangkan nasib rakyat? Berperih kita bahaskan peruntukan tambahan 4
ribu ringgit bagi setiap rumah PPRT manakala RM200 juta Mahligai Perdana Menteri mudah
sekali diluluskan. Bailout untuk anak hampir 2 bilion ringgit sementara untuk 100 ribu
pegawai dan kakitangan kerajaan hanya 700 juta ringgit.
Janganlah terpedaya dengan rasuah, sogokan, hadiah dan habuan menjelang
pilihanraya. Kalau anak diberi oleh bapa RM 2 bilion, anak mampu menderma kepada tabung
pilihanraya RM20 juta. Kalau Menteri menerima rasuah RM600 juta dari 3 syarikat, RM6 juta
mungkin diberikan kepada BN. Jika menteri beri saham bernilai RM59 juta kepada anak
menantu, RM500 ribu mungkin diberi kepada parti. Janganlah sebahagian kita yang menerima
100 atau 500 ringgit sanggup menggadaikan prinsip perjuangan dan mempertahankan pemerintah
rasuah.
Pilihanraya kali ini pasti paling unik dalam sejarah. BN dan
pemimpin-pemimpin akan mencurahkan banyak wang kerana banyak cabaran buat mereka paling
ketat. Jentera kerajaan, Jabatan Kemas akan dikerah sepenuhnya, ditambah dengan ugutan
cawangan khas polis. Media yang sememangnya dimilik kroni akan terus menipu, memutar belit
kenyataan.
XV
Percayalah. Barisan Alternatif berkemampuan. PAS memiliki sejarah
berjuang dalam wadah Islam sejak belum merdeka lagi, dan punyai pengalaman mentadbir
Kelantan. Pimpinan DAP sekian lama memperlihatkan kesungguhan dan ketegasan menuntut
pertanggungjawaban sang pemimpin; dan aktif dalam Parlimen membongkar penyelewengan dan
rasuah. PRM terkenal dengan sejarah pembelaan nasib rakyat miskin dan pasti mampu memberi
perimbangan antara pembangunan ekonomi dan keadilan sosial. Keadilan pula menggabungkan
tenaga yang punya pengalaman dalam pemerintahan Negara dan yang menuntut Reformasi secara
aman dan menurut perlembagaan.
Yakinilah, dibawah pentadbiran barisan Alternatif, keadaan wajib
berubah. Keamanan akan berkekalan bahkan bertambah mantap kerana kerjasama antara kaum
adalah di kalangan rakyat terbanyak dan tidak terhad kepada pemimpin, keluarga dan saudara
atau tauke kroni. Barisan Alternatif lebih sensitif terhadap hak rakyat, hak pelbagai
agama dan kaum, hak negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Jalur kerjasama
dengan negara jiran dan semua negara akan dipupuk untuk menjamin keselamatan dan menarik
pelaburan swasta untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.
Kekayaan negara akan diagihkan secara adil kepada rakyat. Justeru,
kepentingan dan hak negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak dikaji semula. Industri kecil
dan sederhana, peniaga kecil dan penjaja akan diutamakan, sementara iklim pelaburan swasta
lebih selesa akan dijamin kerana pilihan adalah berasaskan kepentingan negara dan ekonomi,
dan bukannya syarikat keluarga dan kroni semata-mata.
Perumahan rakyat, kos sederhana dan rendah akan ditingkatkan. Kemudahan
awam termasuk kemudahan pendidikan, Kesihatan, bekalan elektrik dan air akan lebih
diutamakan dengan kadar rendah yang tidak membebankan. Projek penswastaan dalam bidang
kesihatan atau kemudahan asas yang memberi manfaat kepada anak-anak pemimpin akan diteliti
semula. Mewarnai dasar ini semua ialah kerukunan hidup beragama dan dakwah yang akan
dipupuk kukuh. Islam akan dihayati dan dimuliakan, sementara agama-agama lain dihormati.
Prinsip yang sama akan diamalkan merangkumi bahasa dan kebudayaan. Bahkan pendekatan yang
bakal dikemukakan menggariskan alternatif mencakup perubahan sistem secara aman; bermula
dari amalan prinsip kcluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dan penghayatan
prinsip keadilan. Agenda ini sebati dengan tuntutan rakyat. Yang gementar hanyalah
kelompok kecil yang rasuah; tali barut puak zalim dan kalangan yang tidak percaya dengan
tujuan hidup yang ingin memuliakan insan serta mengangkat harakat dan martabat bangsa
Malaysia!
XVI
Saya ingin menyeru agar rakyat, termasuk ahli-ahli UMNO yang cintakan
keadilan dan bencikan kezaliman untuk menerima kenyataan bahawa masa perubahan telah tiba
dan Kuasa Keramat adalah di tangan rakyat, Insya' Allah. Benar kita alami sistem zalim dan
menekan; pemimpin-pemimpin didukung oleh tauke dan saudagar kaya; media yang dikuasai oleh
kelompok tersebut akan terus mengadu-domba, memfitnah, memutarbelitkan kenyataan. Dan
jentera kerajaan yang akan dikerahkan seluruhnya untuk melenyapkan kekuatan Alternatif.
Namun kita yakin, kesedaran dan semangat rakyat, manakala mara dan berkobar tidak mudah
ditahan atau dipadamkan. Meskipun ada di antara kita yang menyokong UMNO dan BN dahulunya,
ia adalah justeru kerana keyakinan kita akan janji pemerintahan yang adil; atau
ketidakupayaan parti-parti pembangkang.