LAPORAN
POLIS TUN HS LEE 20455/99
Pada 14 April 1999 , tatkala memberikan kenyataan di
mahkamah , saya telah merujuk kepada beberapa perlakuan rasuah besar oleh
pemimpin-pemimpin negara. Saya juga telah merujuk kepada surat-surat dari tiga tokoh
korporat ditujukan kepada Tun Daim Zainuddin , ketika itu Menteri Kewangan, yang
membuktikan dengan jelas bahawa beliau menerima wang tunai dan saham berjumlah ratusan
juta ringgit. Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir Mohammad bukan sekadar menghalang
tindakan, bahkan terus melindungi rasuah besar yang dilakukan oleh Tun Daim sejak beliau
menjadi Menteri Kewangan buat pertama kalinya dahulu.Malahan, sehingga kini, saya di
fahamkan tidak ada siasatan oleh pihak polis atau Badan Pencegah Rasuah dilakukan.
Dengan ini, saya sertakan dokumen sah bagi membuktikan rasuah,
iaitu tiga pucuk surat yang masing-masing di tulis oleh Tan Sri Halim Saad, Tan Sri
Tajuddin Ramli dan Tan Sri Wan Azmi Hamzah.
Tan Sri Halim, dalam surat bertarikh 30 April 1990, menyatakan
beliau memegang sebagai pemegang amanah sebanyak 52,208,500 saham Faber Merlin Bhd (saham
1.00) dan 130,000,000 saham Renong Berhad (50 sen) bagi pihak Tun Daim. Beliau mengesahkan
bahawa nilai saham itu di pegang menurut arahan Tun Daim atau penama beliau.
Tan Sri Tajuddin pula, dalam surat kepada Tun Daim bertarikh 24
Mei 1990 mengesahkan bahawa beliau memegang secara amanah bagi pihak Tun Daim wang
sejumlah RM 70 juta.
Tan Sri Wan Azmi pula, dalam surat kepada Tun Daim bertarikh 30
April 1990 mengaku memegang bagi pihak Tun Daim wang sejumlah RM 150 juta.
Ini tentunya sebahagian kecil dari perolehan Tun Daim yang juga
bertindak bagi pihak Dato Seri Dr. Mahathir. Saya menerima maklumat bahawa sebahagian
besar wang tersebut adalah hasil pengagihan saham Resorts World, syarikat perjudian yang
disenaraikan atas kelulusan Tun Daim sejurus sebelum meninggalkan Kementerian Kewangan
pada tahun 1991 dahulu.
Dengan kaedah sedemikian beliau telah menggunakan kedudukannya
dalam kerajaan bagi mengambil manfaat bagi dirinya. Bagaimana pula dengan puluhan syarikat
lainnya? Saya yakin bahawa dengan cara sedemikian, Tun Daim dengan restu Dato Seri Dr.
Mahathir telah berjaya mengumpulkan berbillion ringgit.
Saya juga telah mendapat maklumat bahawa syarikat Hati Budi yang
dahulunya dikatakan dikuasai oleh UMNO telah diluputkan kepentingan oleh dua orang penama,
iaitu Tan Sri Halim Saad dan Dato' Anuar Othman. Adalah difahamkan 400 juta saham yang
dipegang oleh Dato' Anuar Othman yang disebut sebagai amanah untuk UMNO telah diarah oleh
Tun Daim supaya dipindah kepada syarikat United Engineers dan Tan Sri Halim. Apabila saya
laporkan masalah tersebut kepada Dato Seri Dr. Mahathir dalam tahun 1996, beliau
menyatakan bahawa Tun Daim yang akan menguruskannya, dan mengarahkan saya supaya jangan
mencampuri hal tersebut.
Hanya setelah saya mendedahkan maklumat tersebut, maka Tun Daim
segera berdalih menyatakan dalam Perhimpunan Agong UMNO 1999 baru-baru ini bahawa wang dan
saham dari tiga ahli korporat itu adalah untuk UMNO. Nyatalah, bila nampak tersepit,
barulah di sebut harta yang dikumpulkan itu hak Parti UMNO. Setahu saya, berdasarkan bukti
surat, dan dari akaun dan maklumat Majlis Tertinggi atau Perhimpunan Agong UMNO, tidak
pernah timbul sama sekali kepentingan Parti.
Keduanya, selaku Menteri Kewangan menerima sumbangan peribadi
beratus-ratus juta ringgit adalah rasuah besar dan pecah amanah jenayah. Sekiranya beliau
sekarang mendakwa bahawa wang tersebut adalah hak Parti, beliau tetap bersalah kerana
tidak pernah memberi laporan kepada Parti tentang wang tersebut. Hanya apabila saya
mendedahkan mengenainya, baru beliau menyebutnya dalam Perhimpunan Agong yang lalu.
Pertanyaan dan teguran tentang masalah tersebut semasa saya
berada dalam Parti dan Kerajaaan, telah menimbulkan kemarahan Perdana Menteri dan
ketakutan dikalangan kuncu-kuncunya teutama Tun Daim. Hanya orang-orang rasuah, punyai
kepentingan bersama yang akan terus melindungi perlakuan rasuah berjumlah berbillion
ringgit. Dari maklumat yang diberikan ini sahaja terbukti rasuah berbillion ringgit dan
pecah amanah jenayah.
Saya juga sedar tanggungjawab besar Polis dan BPR untuk
menyiasat dan bertindak. Rasuah telah menjadi barah dan berpunca di kepala dan merebak ke
bawah.Ia memerlukan ketegasan dan keberanian untuk bertindak sebelum negara dimusnahkan
oleh mereka.
Disertakan bersama ini Eksibit A (surat Tan Sri Halim Saad);
Eksibit B (surat Tan Sri Tajuddin Ramli); Eksibit C (surat Tan Sri Azmi Wan Hamzah).
Anwar Ibrahim
12.28 t/hari (30 Julai 1999) |