ANALISIS "RUSUHAN" YANG BERLAKU DI KL PADA

14 APRIL 1999

Malam tadi dalam kedua-dua laporan berita TV3, bahasa Melayu (Jam 8 malam) dan bahasa Inggeris (Jam 11 malam), menunjukkan rakaman "rusuhan" yang telah dilakukan oleh "penyokong" DSAI. Persoalan yang ingin saya kemukakan ialah adakah saudara percaya dengan laporan berita tersebut?

Saya sempat membuat beberapa panggilan telefon secara rambang pada beberapa orang rakan dan saudara mara saya untuk mendapat gambaran tahap penerimaan laporan berita tersebut. Bagi mereka yang pernah mengikuti perhimpunan aman REFORMASI baik di Jalan TAR, di Dataran Merdeka, Masjid Negara mahu pun di Kg Baru, kesemuanya menyatakan tak mungkin perkara sedemikian benar-benar berlaku dan amat sangsi dengan laporan tersebut.

Namun bagi mereka yang jauh dari kota KL yang kurang mengikuti perkembangan REFORMASI, kebanyakkannya percaya dan mempersoalkan kenapa perlu "penyokong" DSAI merusuh.

Izinkan saya laporkan di sini, dengan cara ringkas dan mudah, analisis yang telah saya buat dengan mengambil kira kajian rambang di atas dengan meneliti ke-empat-empat senario "rusuhan" yang disiarkan dalam rancangan berita TV3 semalam.

EMPAT SUASANA RUSUHAN

Biar saya klasifikasikan "rusuhan-rusuhan" tersebut sebagai berikut:

Rusuhan 1:

"Perusuh" merosakkan dinding ‘zink’ kawasan pembinaan (dari gambarannya saya agak pengubahsuaian untuk OCBC di sekitar Jalan Tun Perak atau berdekatannya)

Rusuhan 2:

"Perusuh" merosakkan kereta TV3 (yang dinaikki eksekutif pakaian dan drebar) di hadapan BHL Bank dan McDonald saya agak di Jalan Tun Perak

Rusuhan 3:

"Perusuh" membakar di bawah laluan STAR LRT juga di Jalan Tun Perak.

Rusuhan 4:

Pelajar sekolah bersama dua guru menyerang jurukamera TV3 dan keretanya di Jalan TAR.

Saya mengambil kesempatan untuk merakam kedua-dua siaran berita tersebut bagi tujuan analisis ini. Saya kemudiannya memainkan balik berulang kali (lebih dari berbelas kali) dengan gerakan biasa dan juga gerakan perlahan (slow motion) satu frame demi satu frame (frame by frame) setiap rakaman tersebut. Saya mengambil masa lebih dua jam meneliti setiap aspek gambaran dalam rakaman TV3 dengan memberi perhatian ke atas beberapa ‘detail’ seperti berikut.

MENGENALPASTI SIAPA YANG MENJADI "PERUSUH"

Satu aspek yang saya teliti ialah bagi mengenalpasti "perusuh" yang terlibat dalam ke semua senario tersebut. Di dalam Rusuhan 1, terdapat dua orang yang dengan jelas dapat kita cam dan kenal pasti.

Perusuh A memakai baju T berwarna biru hampir lusuh tanpa kolar, berambut "crew-cut". Dia membawa beg galas berjenama "Umbro". Perusuh B memakai baju T berjalur hitam dan putih, berkolar dan memakai topi cap terbalik. Dia dirakam melompat turun dari tempat pembinaan selepas melakukan sedikit aksi "rusuhan". Terdapat 2-3 "perusuh" lain lagi mengikuti mereka berdua di atas.

Kemudian, dalam Rusuhan 2, terdapat sekumpulan "perusuh" menyerbu ke tengah jalan (Jalan Tun Perak kalau tak silap saya) mengejar kereta TV3. Ketika kumpulan "perusuh" ini menyerang kereta TV3 terdapat beberapa penyokong REFORMASI (yang tulen) menghalang "perusuh-perusuh" tersebut dari melakukan kerosakkan terhadap kereta TV3. Ini dapat dilihat malah boleh kita dengar rakaman suara melarang tersebut dengan jelas. Para penyokong REFORMASI yang cuba menghalang "perusuh" turut terpukul (atau sengaja dipukul) oleh "perusuh".

Di dalam keributan menyerang kereta TV3, saya dapat kenal pasti dua orang perusuh dalam Rusuhan 1 turut terlibat. Iaitu Perusuh A dan Perusuh B.

Saya juga dapat lihat beberapa lagi "perusuh" yang agak-agak sama dengan dalam Rusuhan 1. Namun oleh kerana saya tidak kenal pasti dengan jelas saya tidak mahu ‘identify’kan mereka di sini.

Namun, terdapat seorang lagi yang saya dapat kenal pasti yang saya namakan Perusuh C. Beliau memakai baju kemeja putih/cerah dan berpetak hitam dan berlengan panjang. Rambutnya agak kerinting dan memakai cermin mata.

Perusuh C ini turut saya kenal pasti dalam Rusuhan 4 dan dikatakan sebagai salah seorang dari dua guru yang membawa beberapa pelajar sekolah Tingkatan 1-3. Dalam rusuhan 4, Perusuh C menendang tingkap cermin tepi kereta TV3 yang lain pula. Muka dan pakaian Perusuh C jelas dan mukanya mudah dikenal pasti sama dengan dalam Rusuhan 2.

Kemudian dalam Rusuhan 3, kita dapat lihat latar belakang pembakaran sampah tersebut tidak sertai dan disambut oleh para penyokong DSAI yang berada di seberang jalan. Malah ianya disertai oleh lebih kurang sepuluh orang sahaja di sekeliling tempat tersebut dan kebanyakan "perusuh-perusuh" ini didapati berambut pendek, membawa beg ‘pouch’ (macam yang kita selalu lihat sebagai pengenalan SB). Terdapat beberapa perusuh tersebut mengeluarkan gambar ‘Justice for Anwar’ sambil menunjuk-nunjuk kepada jurukamera seolah-olah merekalah penyokong DSAI.

Persoalan saya, penyokong DSAI kalau membawa gambar-gambar tersebut sudah pasti mengantung di leher dan bukan simpan dalam beg hanya mengeluarkannya untuk bergambar. Dan kalau mereka ini terlalu berani berlakun dan sengaja bergaya dengan aksi ganas di depan jurukamera saya tidak yakin mereka ini penyokong ‘tulen’ DSAI. Mereka mempunyai lesen yang besar untuk "merusuh". Saya akan cerita lagi aspek ini di bawah.

JURUGAMBAR-JURUGAMBAR

Ketika Rusuhan 1 berjalan, terdapat beberapa jurukamera (kebanyakkannya "still-photo" bukan video) yang "secara kebetulan" berada tempat Rusuhan 1. Beberapa dari mereka turut dapat dikenalpasti. Salah seorang darinya memang jelas kerana dekat dengan jurukamera TV3 yang membuat rakaman. Muka dan pakaiannya jelas.

Kemudian dalam rakaman Rusuhan 2, jurukamera yang sama jelas sibuk merakamkan "perusuh" menyerang kereta TV3. Pakaian, jenis dan muka yang sama.

Yang anehnya (dan tidak ramai yang terfikir) ialah, kesemua rakaman tersebut diambil oleh jurukamera TV3, termasuk Rusuhan 2. Rakaman ketika "perusuh" menyerang kereta TV3 juga diambil oleh krew TV3 yang bukan di dalam kenderaan. Mengapa "perusuh" menyerang kereta yang di dalamnya seorang drebar dan eksekutif pakaian – yang tidak terlibat secara langsung dalam menipu rakyat. Kenapa tidak menyerang jurukamera TV3 yang sedang mengambil gambar mereka yang "merusuh". Bukankah setiap kamera mereka jelas terpampang logo TV3. Sudah pasti orang di sekitar itu dapat melihat akan perkara ini. Aneh dan lucu ye.

WAKTU BERLAKU RUSUHAN

Ingat Perusuh C? Dalam Rusuhan 4, dia dikenalpasti oleh jurukamera TV3 sebagai salah seorang dari dua guru yang membawa pelajar mereka merusuh.

Persoalan pertama, bagaimana jurukamera tersebut tahu dia itu seorang guru.

Persoalan Kedua, jurukamera tersebut turut menyatakan ianya (Rusuhan 4) berlaku pada waktu petang lebih kurang jam 6. Manakala Rusuhan 2 pula berlaku pada sebelah lewat pagi selepas Hakim Paul membuat keputusan. Kalau dia seorang guru, bila masa dia pergi mengajar sebab di sebelah pagi dan petang dia berada di sekitar tempat "rusuhan".

PERISTIWA MEMBAKAR TONG SAMPAH

Tambahan kepada cerita ini di atas tadi, keseluruhan aksi membakar amat melucukan. Bukan sahaja kesemua "perusuh" tidak segan dan takut gambar mereka diambil malah mereka bersungguh untuk memberi gambaran bahawa mereka adalah "penyokong DSAI". Nampak sangat nak berlakun.

Saya akan usahakan menukarkan frame-frame yang telah saya analisis kepada bentuk digital (jpeg) supaya dapat disiarkan dalam laman-laman web. Namun itu saya tidak dapat janjikan kualitinya. Ini kerana VCR saya bukannya jenis digital dan saya terpaksa mengambil gambar "still-photo" dari frame video yang saya bekukan (pause/freeze). Mutunya mungkin kurang baik.

TEMPAT "RUSUHAN"

Jika diperhatikan Rusuhan 1 berlaku jauh dari kumpulan penyokong DSAI berkumpul. Dari latar-belakang dalam rakaman tersebut kita dapat lihat tempat mereka merusuh agak sepi dan tak berapa ramai orang. Yang ramai ialah jurukamera.

Begitu juga dengan Rusuhan 3. Mereka membakar agak jauh dari kumpulan penyokong yang melaungkan RE-FOR-MA-SI di seberang jalan. Dan kita nampak penyokong DSAI tulen menjauhkan diri. Manakala dalam Rusuhan 2, penyokong DSAI yang cuba menyelamatkan krew TV3. (DAN INI LANGSUNG TIDAK DIBERI TERIMA KASIH OLEH TV3).

Walaubagaimanpun saya percaya ulusan ringkas saya ini sudah memadai untuk saudara-saudara sekelian menyampaikan hujjah bahawa sememangnya benar bahawa segala "instigation" yang di lakukan dan segala kacau bilau yang berlaku semenjak penyokong REFORMASI berhimpun secara aman adalah provokasi dan perancangan Polis.

BUKAN KEPERIBADIAN PENYOKONG DSAI

Mungkin taklimat yang diberikan kepada "perusuh" dalam merancang ‘rusuhan-rusuhan’ tersebut belum cukup. (Tetapi mereka mungkin baca ulasan saya dan perbaiki lain kali).

Dalam Rusuhan 4, pelajar-pelajar yang merusuh dikatakan mengikuti guru mereka yang melaungkan reformasi melalui ‘hailer’. Tetapi, mereka lupa bahawa, penyokong REFORMASI mengguna isyarat tangan yang tertentu ketika membuat laungan.

Apa yang dilakukan oleh pelajar-pelajar tersebut (3-4 orang dari mereka) ialah mengangkat tangan sambil meluruskan jari tengah dan melipat jari-jari lain – itu isyarat yang mencarut – bukannya REFORMASI!

Mencederakan orang awam, merosakkan harta benda. Kesemua ini bukan cara kita bereformasi dan berhimpun sebelum ini. DSAI dalam ucapan umum terakhirnya menekan bersungguh-sungguh kalau hendak berarak dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka mesti ikut beberapa syarat – antaranya ialah jangan meroskkan harta awam, jangan menganggu ketenteraman awam dan sebagainya.

Dan di dalam laman-laman web REFORMASI kesemuanya menekankan supaya kita sebagai penyokong keadilan dan REFORMASI hanya berhimpun dan menyatakan bantahan kita secara aman.

PERISTIWA BAKAR MOTOSIKAL POLIS

Ini termasuklah kejadian membakar motosikal Polis di persimpangan Jalan Raja Abdullah Jalan Sultan Ismail Oktober 1998. Selepas kejadian tersebut, dalam interview dengan pemberita, CPO KL membuat kenyataan bahawa "perusuh" membakar motor milik peribadi anggota Polis. Yang nyata dan diketahui umum ialah kedua-dua motor tersebut adalah motor rasmi milik PDRM. Satu motor trafik putih berkuasa tinggi dan satu lagi ialah motor cub yang juga milik PDRM dan bukannya milik persendirian.

Mungkin CPO Kamarudin mengikut skrip asal perancangan mereka. Iaitu mereka seharusnya membakar motor persendirian tetapi terpaksa menukar Rancangan atas sebab-sebab yang mereka mungkin lebih mengetahui dan tidak sempat memberi taklimat kepada tuan mereka.

Juga ingat, kesemua kacau bilau ini berlaku jauh dari tempat himpunan utama penyokong DSAI. Baik keempat-empat rusuhan tadi dan juga pembakaran motosikal Polis. Semasa pembakaran motorsikal polis, himpunan utama berlaku di persimpangan berdekatan Masjid Kg Baru. Manakala pembakaran berlaku hampir 1 km darinya.

Dan amatlah aneh, kerana hampir 100 meter dari tempat pembakaran terdapat hampir 10 buah kenderaan FRU termasuk ‘water-cannon’ dan beberapa dozen anggotanya berada di situ – depan CCM/Bank Industri. Dan di sebelah dari persimpangan Jalam Ampang sepanjang Jalan Sultan Ismail satu lagi kumpulan ratusan anggota polis bersedia untuk menyerang penunjuk perasaan.

MAKLUMAT TAMBAHAN

Saya turut mendapat maklumat dari dalam PDRM sendiri bahawa di antara "perusuh" didapati berimejkan remaja adalah pelatih. Ini dapat dilaksanakan dengan mengguna pelatih-pelatih dari PULAPOL Jalan Semarak. Mereka ini adalah perusuh-perusuh yang berambut pendek ‘crew-cut’.

Manakala "pelajar-pelajar" pula adalah dari kalangan anak-anak anggota Polis. Dan kalaulah benar mereka ini budak-budak sekolah, mengapa beberapa orang dari mereka berambut panjang?

PDRM PATUT BERTINDAK

Setelah gambar-gambar "perusuh" yang merosakkan harta awam dirakam dengan jelas, PDRM mesti berusaha menangkap mereka. Mengapa setengah mereka begitu berani dan gah beraksi di depan kamera. Mereka menjalankan "tugas" mereka tanpa rasa takut. Tanpa rasa takut ditangkap.

Saya lupa menyatakan saya juga turut turun ke padang memerhati dengan mata kasar saya sendiri selain dari meneliti rakaman TV3. Sepanjang lebih 3 jam saya melakukan pemerhatian dan siasatan saya semalam, saya turut memerhatikan terdapat ramai anggota Polis yang tidak beruniform di seluruh ibu kota dan di kebanyakan persimpangan jalan utama.

Anggota SB berkeliaran di sepanjang Jalan TAR. Dan yang menghairankan pula, Rusuhan 4 berlaku di sekitar jalan tersebut. Sekumpulan "pelajar bersama dua orang guru" berjalan dengan berani dan samseng tanpa rasa takut sambil salah seorang "guru" tersebut melaungkan sesuatu melalui "hailer". Kalau mereka inilah penyokong REFORMASI, sudah pasti mereka tidak dapat melepasi intipan dan tangkapan SB-SB yang menunggu mangsa di sepanjang Jalan TAR serta beberapa sekatan jalanraya lain.

Juga dalam "rusuhan-rusuhan" lain, mengapa SB-SB yang berkeliaran tidak menangkap "perusuh" yang membakar atau pun rusuhan-rusuhan 1 dan 2. Mengikut pengalaman mengikuti perhimpunan aman REFORMASI lain, saya rasa saudara pun tahu ketika kita melambai poster dan bendera serta melaungkan pelbagai slogan, ada di antara rakan kita di heret oleh SB-SB. Ingat peristiwa ASP Burhan yang mengeluarkan pistol di Kg Baru. Bukankah beliau berada di celah-celah kita. Bukan seorang malah dalam CD atau tape Laungan Reformasi (semua orang mesti tonton dan tunjuk kepada rakan atau saudara mara lain) kita dapat lihat ada 2-3 orang lain yang membantu Burhan. Itu bermakna SB-SB memang sentiasa di celah-celah kita.

Sebenarnya provokasi dalam keempat-empat senario yang saya ulas di atas adalah berniat jahat.

Pertama. Untuk memburukkan saudara dan saya. Kita semua.

Kedua. Untuk mengaitkan dan menjemput saudara dan saya mengikuti rentak mereka dan lebih mudah untuk menjustifikasikan penangkapan saudara dan saya.

Dan jika suasana melarat, memang di dalam perancangan mereka untuk menggunakan peristiharan darurat dan melaksanakan MAGERAN.

Hati-hatilah saudara – jangan kita terikut rentak mereka dan terjerat. Saya amat mengharap agar saudara pembaca dapat melanjutkan maklumat yang saya sampaikan ini kepada rakan-rakan dan saudara mara lain yang tidak mendapat akses kepada internet dan mereka yang di kampung yang mana TV dan radio sahajalah sumber maklumat mereka yang ternyata semuanya propoganda kerajaan.

Ibrahim Baba

15 April 1999