![]() |
Bilik Darjah Elektronik Electronic Classroom |
National Archives of Malaysia Buletin
Jilid 2 Bil 1 1997 ISSN 1394-259X
Rakaman dari udara meliputi penggambaran video, gambar warna dan hitam putih keseluruhan bangunan Penjara Pudu. Penggambaran meliputi pandangan dari udara dengan helikopter. Projek dokumentasi ini dimulakan sejak tahun 1993 dan masih diteruskan sehingga sekarang. Wawancara dengan tokoh-tokoh veteran dari Jabatan Penjara Malaysia juga dijalankan.
Bahan-bahan dan maklumat yang telah dikumpulkan amat bernilai untuk melengkapkan bahan sejarah negara, khususnya mengenai sejarah perkembangan institusi penjara. Usaha ini selaras dengan objektif Arkib Negara untuk memelihara bahan sejarah warisan negara.
Penjara Pudu yang dahulunya disebut Pudoh Goal siap dibina secara berperingkat-peringkat pada tahun 1895 dan mulai beroperasi pada Julai 1896. Penjara Pudu menempati kawasan seluas 22 ekar di nadi Bandaraya Kuala Lumpur. Terdapat lima blok utama tahanan, hospital, dapur, bengkel, perumahan warder dan pengawai Inggeris. Perbelanjaan keseluruhannya mencapai RM320,000.00. Penjara ini pada awalnya boleh memuatkan seramai enam ratus orang banduan. Pembinaan Penjara Pudu ini telah menggunakan kerahan tenaga banduan-banduan dari daerah Jugra, Banting, Ampang, Hulu Langat, Klang dan Rawang. Sepanjang pembinaan penjara ini telah berlaku satu trajedi wabak kolera dan hujan lebat luar biasa yang mengganggu kelancaran penempatan para banduan dan pembangunan bangunan penjara.
Kesesakan Penjara Pudu dan pembangunan pesat Kuala Lumpur telah mendesak Kerajaan membina penjara baru di luar Kuala Lumpur sebagai alternatif. Untuk tujuan itu, sebuah penjara baru yang boleh menampung 2,500 banduan telah mula dibina di Sungai Buloh pada September 1993 oleh Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA). Penjara Pudu telah ditutup secara rasminya pada November 1996 dan banduan-banduan telah dipindahkan ke penjara baru. Bangunan lama Penjara Pudu ini dicadangkan untuk dipulihara sebagai bangunan Warisan Sejarah.
Drs Yusof Che' Rose