Unta Patah Rancangan Abu Jahal
Setelah pelbagai usaha oleh kaum Quraisy untuk menyekat dan menghapuskan
penyebaran agama Islam menemui kegagalan, maka Abu Jahal semakin benci terhadap
Rasulullah S.A.W. Kebencian Abu Jahal ini tidak ada tolok bandingnya, malah
melebihi kebencian Abu Lahab terhadap Rasulullah S.A.W.
Melihatkan agama Islam semakin tersebar, Abu Jahal pun berkata kepada kaum
Quraisy di dalam suatu perhimpunan, "Hai kaumku! Janganlah sekali-kali
membiarkan Muhammad menyebarkan ajaran barunya dengan sesuka hatinya. Ini adalah
kerana dia telah menghina agama nenek moyang kita, dia mencela tuhan yang kita
sembah. Demi Tuhan, aku berjanji kepada kamu sekalian, bahawa esok aku akan
membawa batu ke Masjidil Haram untuk dibalingkan ke kepala Muhammad ketika dia
sujud. Selepas itu, terserahlah kepada kamu semua samada mahu menyerahkan aku
kepada keluarganya atau kamu membela aku dari ancaman kaum kerabatnya. Biarlah
orang-orang Bani Hasyim bertindak apa yang mereka sukai."
Tatkala mendengar jaminan daripada Abu Jahal, maka orang ramai yang menghadiri
perhimpunan itu berkata secara serentak kepadanya, "Demi Tuhan, kami tidak akan
sekali-kali menyerahkan engkau kepada keluarga Muhammad. Teruskan niatmu."
Orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu merasa bangga mendengar kata-kata
yang diucapkan oleh Abu Jahal bahawa dia akan menghapuskan Muhammad kerana jika
Abu Jahal berjaya menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W bererti akan terhapuslah
segala keresahan dan kesusahan mereka selama ini yang disebabkan oleh kegiatan
Rasulullah S.A.W menyebarkan agama Islam di kalangan mereka.
Dalam pada itu, terdapat juga para hadirin di situ telah mengira-ngira
perbelanjaan untuk mengadakan pesta sekiranya Nabi Muhammad S.A.W berjaya
dihapuskan. Pada pandangan mereka adalah mudah untuk membunuh Nabi Muhammad
S.A.W yang dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Esa serta sekalian penghuni langit.
Padahal Allah tidak akan sekali-kali membiarkan kekasih-Nya diancam dan
diperlakukan seperti binatang.
Dengan perasaan bangga, keesokan harinya di sebelah pagi, Abu Jahal pun terus
pergi ke Kaabah iaitu tempat biasa Nabi Muhammad S.A.W bersembahyang. Dengan
langkahnya seperti seorang satria, dia berjalan dengan membawa seketul batu
besar di tangan sambil diiringi oleh beberapa orang Quraisy yang rapat dengannya.
Tujuan dia mengajak kawan-kawannya ialah untuk menyaksikan bagaimana nanti dia
akan menghempapkan batu itu di atas kepala Nabi Muhammad S.A.W.
Sepanjang perjalanan itu dia membayangkan bagaimana keadaan Nabi Muhammad nanti
setelah kepalanya dihentak oleh batu itu. Dia tersenyum sendirian apabila
membayangkan kepala Nabi Muhammad S.A.W pecah dan tidak bergerak lagi. Dan juga
membayangkan bagaimana kaum Quraisy akan menyambutnya sebagai pahlawan yang
telah berjaya membunuh musuh nombor satu mereka.
Sebaik sahaja Abu Jahal tiba di perkarangan Masjidil Haram, dilihatnya
Rasulullah S.A.W baru sahaja sampai dan hendak mengerjakan sembahyang. Dalam
pada itu, Nabi Muhammad S.A.W tidak menyedari akan kehadiran Abu Jahal dan
kawan-kawannya di situ. Baginda tidak pernah terfikir apa yang hendak dilakukan
oleh Abu Jahal terhadap dirinya pada hari itu.
Sebaik-baik sahaja Abu Jahal melihat Rasulullah S.A.W telah mula bersembahyang,
dia berjalan perlahan-lahan dari arah belakang menuju ke arah Nabi Muhammad
S.A.W. Abu Jahal melangkah dengan berhati-hati, setiap pergerakannya dijaga,
takut disedari oleh baginda.
Dari jauh kawan-kawan Abu Jahal memerhatikan dengan perasaan cemas bercampur
gembira. Dalam hati mereka berkata, "Kali ini akan musnahlah engkau hai
Muhammad."
Sebaik sahaja Abu Jahal hendak menghampiri Nabi Muhammad S.A.W dan menghayun
batu yang dipegangnya itu, tiba-tiba secepat kilat dia berundur ke belakang.
Batu yang dipegangnya juga jatuh ke tanah. Mukanya yang tadi merah kini menjadi
pucat lesi seolah-olah tiada berdarah lagi. Rakan-rakannya yang amat ghairah
untuk melihat Nabi Muhammad S.A.W terbunuh, tercengang dan saling berpandangan.
Kaki Abu Jahal seolah-olah terpaku ke bumi. Dia tidak dapat melangkahkan kaki
walaupun setapak. Melihatkan keadaan itu, rakan-rakannya segera menarik Abu
Jahal dari situ sebelum disedari oleh baginda. Abu Jahal masih terpinga-pinga
dengan kejadian yang dialaminya.
Sebaik sahaja dia sedar dari kejutan peristiwa tadi, rakan-rakannya tidak sabar
untuk mengetahui apakah sebenarnya yang telah berlaku. Kawannya bertanya, "Apakah
sebenarnya yang terjadi kepada engkau, Abu Jahal? Mengapa engkau tidak
menghempapkan batu itu ke kepala Muhammad ketika dia sedang sujud tadi?"
Akan tetapi Abu Jahal tetap membisu, rakan-rakannya semakin kehairanan. Abu
Jahal yang mereka kenali selama ini seorang yang lantang berpidato dan menyumpah
seranah Nabi S.A.W, tiba-tiba sahaja diam membisu.
Dalam pada itu, Abu Jahal masih terbayang-bayang akan kejadian yang baru
menimpanya tadi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, malah
dia sendiri tidak menyangka perkara yang sama akan berulang menimpa dirinya.
Perkara yang sama pernah menimpa Abu Jahal sewaktu Rasulullah S.A.W pergi ke
rumah Abu Jahal apabila seorang Nasrani mengadu kepada baginda bahawa Abu Jahal
telah merampas hartanya. Pada masa itu Abu Jahal tidak berani berkata apa-apa
pada baginda apabila dia terpandang dua ekor harimau menjadi pengawal peribadi
Rasulullah S.A.W.
Kemudian setelah habis mereka menghujani Abu Jahal dengan pelbagai soalan, maka
Abu Jahal pun mula bersuara, "Wahai sahabatku! Untuk pengetahuan kamu semua,
sebaik sahaja aku menghampiri Muhammad hendak menghempapkan batu itu ke
kepalanya, tiba-tiba muncul seekor unta yang besar hendak menendang aku. Aku
amat terkejut kerana belum pernah melihat unta yang sebegitu besar seumur
hidupku. Sekiranya aku teruskan niatku, nescaya akan matilah aku ditendang oleh
unta itu, sebab itulah aku berundur dan membatalkan niatku."
Rakan-rakan Abu Jahal berasa amat kecewa mendengar penjelasan itu, mereka tidak
menyangka orang yang selama ini gagah dan beria-ia hendak membunuh Nabi Muhammad
S.A.W hanya tinggal kata-kata sahaja. Orang yang selama ini diharapkan boleh
menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W dan pengaruhnya hanya berupaya bercakap seperti
tin kosong sahaja.
Setelah mendengar penjelasan dari Abu Jahal yang tidak memuaskan hati itu, maka
mereka pun berkata kepada Abu Jahal dengan perasaan kehairanan, "Ya Abu Jahal,
semasa kau menghampiri Muhammad tadi, kami memerhatikan engkau dari jauh tetapi
kai tidak napak akan unta yang engkau katakan itu. Malah bayangnya pun kami
tidak nampak."
Rakan-rakan Abu Jahal mula sangsi dengan segala keterangan yang diberikan oleh
Abu Jahal. Mereka menyangka Abu Jahal sentiasa mereka-reka cerita yang karut itu,
mereka mula hilang kepercayaan terhadapnya. Akhirnya segala kata-kata Abu Jahal
mereka tidak berapa endahkan lagi.