Al-Syarif
| Nama: | Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad bin Abdullah bin Idris Al-Andalusi Al-Husaini |
| Gelaran : | Al-Syarif Al-Idrisi |
| Tarikh Lahir : | Tahun 493 Hijrah bersamaan 1099 Masihi |
| Tempat lahir : | Sabtah, Andalus (Ceuta, Spain) |
| Meninggal Dunia : | 1166 Masihi |
| Sumbangan: | Menghasilkan bola peta dunia yang
pertama daripada perak |
Al Syarif Al-Idrisi terkenal sebagai Ahli Geografi dan mendapat pendidikan di Cardova. Beliau adalah ilmuan Islam yang terawal menghasilkan peta dunia. Keistimewaan lukisan peta dunia yang dihasilkan Al-Syarif Al-Idrisi menggunakan kaedah ilmiah tidak banyak bezanya dengan peta dunia yang ada sekarang.
Beliau begitu gemar mengembara dan di antara negara yang pernah dilawatainya ialah negara di Eropah, Asia Kecil selain mengharungi laut Tengah. Kecintaan terhadap dunia pengembaraan menjadi beliau seorang yang terkenal dalam ilmu geografi. Ketika mengembara, Al-Syarif Al-Idrisi tidak lupa membuat catatan mengenai tumbuh-tumbuhan yang ditemui dan negara yang dilawatinya.
Selain itu, beliau mencatatkan mengenai kegunaan tanaman berkenaan sebagai ubat-ubatan yang boleh meyembuhkan pelbagai penyakit. Beliau turut menterjemahkan nama ubat-ubatan itu ke dalam enam bahasa lain iaitu Sysiac, Greek, Persian, Hindi, Latin dan Berber.
Al-Syarif Al-Idrisi juga diingati kerana kejayaannya membuat glob besar seberat 400 kilogram daripada perak dengan melakarkan garisan bulat dan peta dunia di atasnya. Ketika singgah di Sicily, beliau menjadi tetamu raja negara itu, Roger II, yang kemudian menitahkan beliau membuat bola lakaran peta dunia.
Al-Syarif Al-Idrisi kemudian mengarahkan jurulukis dan jurupahat yang sangat pandai untuk melukis benua, negara, bandar-bandar utama, lautan, sungai, gunung, tanah rata dan laluan perdagangan. Disamping bola dunia beliau menerbit sebuah buku Al-Kitab Al-Rujari atau dikenali dengan Roger's Book. Akhirnya bola dunia itu menjadi satu warisan sangat berharga dan rujukan orang awam lebih daripada 500 tahun, khususnya ilmuan Eropah mengenai pandangan mereka berhubung dunia.
Peta itu juga dilengkapi dengan ukuran panjang dan lebar yang tepat sesebuah kawasan. Al-Syarif Al-idrisi juga mengarang banyak buku di antaranya Nuzhah Al-Musytaq Fi Ikhtiraq Al-Afaq, yang dikarang atas permintaan Raja Sicily, Roger II. Dalam buku itu, Al-Syarif Al-Idrisi memasukkan semua maklumat yang ditemukan oleh ilmuan sebelumnya dan menambahkan pengetahuan yang diperoleh daripada pengembaraannya seluruh pelusuk dunia. Buku yang mengandungi lebih 70 jenis peta menjadi sumber rujukan penting bagi ilmuan Eropah selama tiga abad.
Sementara satu lagi hasil karya beliau bertajuk Rawdhah Al-Uns Fi Nuzhah Al-Nafs dan Al-Mamalik Wa Al-Masalik yang turut diterjemahkan ke dalam bahasa latin menjadi panduan kepada pengembara. Buku itu dilengkapi maklumat dan sifat sesebuah negara, tumbuhan, haiwan, manusia, ekonomi serta tabiat mereka. Semua buku yang dihasilkan Al-Syarif Al-Idrisi terutama mengenai ilmu georafi pepular di kalangan ilmuan Timur dan Barat hingga ke hari ini.
sumber: Internet dan Berita Harian, 1 mei 2003