Dari Anas bin Malik r.a. berkata, "Rasulullah S.A.W bersabda : Apabila
seseorang dari umatku membaca ayat Kursi 12 kali, kemudian dia berwuduk
dan mengerjakan solat subuh, nescaya Allah akan menjaganya dari kejahatan
syaitan dan darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh al-Qur'an
sebanyak tiga kali, dan pada hari kiamat ia akan diberi mahkota dari cahaya
yang menyinari semua penghuni dunia."
Berkata Anas bin Malik, "Ya Rasulullah, apakah hendak dibaca setiap
hari?"
Sabda Rasulullah S.A.W, " Tidak, cukuplah membacanya pada setiap hari
Jumaat."
Umat-umat dahulu hanya sedikit sahaja yang mempercayai rasul-rasul
mereka dan itu pun apabila mereka melihat mukjizat secara langsung. Kita
sebagai umat Islam tidak boleh ragu-ragu tentang apa yang diterangkan oleh
Allah dan Rasul. Janganlah kita ragu-ragu tentang al-Qur'an, hadis dan
sunnah Rasul kita. Janganlah kita menjadi seperti umat yang terdahulu yang
mana mereka itu lebih suka banyak bertanya dan hendak melihat bukti-bukti
terlebih dahulu sebelum mereka beriman.
Setiap satu yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W kepada kita adalah
untuk kebaikan kita sendiri. Rasulullah S.A.W menyuruh kita mengamalkan
membaca surah Kursi. Kehebatan ayat ini telah diterangkan dalam banyak
hadis. Kehebatan ayat Kursi ini adalah untuk kita juga, yakni untuk menangkis
gangguan syaitan dan kuncu-kuncunya di samping itu kita diberi pahala.
Begitu juga dengan surah al-Falaq, surah Yasin dan banyak lagi ayat-ayat
al-Qur'an yang mempunyai keistimewaannya. Setiap isi al-Qur'an itu mempunyai
kelebihan yang tersendiri. Oleh itu kita umat Islam, janganlah ada sedikit
pun keraguan tentang ayat-ayat al-Qur'an, hadis Nabi dan sunnah Baginda
S.A.W. Keraguan dan was-was itu datangnya dari syaitan.