MANUSIA yang meninggal dunia akan tinggal keseorangan dalam kubur yang gelap gelita. Semua harta benda dan orang yang dikasihi akan ditinggalkan. Hanya amal ibadat menemaninya di alam berkenaan. Selepas itu, mereka diangkat semula pada hari pembalasan kelak.
Menurut satu riwayat, umat Nabi Muhammad akan dibahagikan kepada 12 kumpulan di Padang Mahsyar kelak dan seterusnya akan ditentukan sama ada akan ke syurga atau neraka berdasarkan amalan mereka di dunia.
Kumpulan pertama: Mereka akan diiring dari kubur mereka tanpa tangan dan kaki, kemudian ada suara menyatakan: "Mereka adalah orang yang selalu menyakiti tetangga, maka inilah balasannya."
Kumpulan kedua: Mereka diiring dari kubur dengan bentuk seperti babi hutan kemudian terdengar suara menyatakan: "Mereka adalah orang yang meremehkan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."
Kumpulan ketiga: Mereka diiring dari kubur dengan perut seperti gunung penuh dengan ular dan kala jengking, maka terdengar suara yang menyatakan: "Mereka adalah orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat, maka inilah pembalasannya dan nerakalah tempat kembali."
Kumpulan keempat: Mereka diiring dari kubur mereka dan mengalir dari mulutnya darah, maka terdengarlah suara yang menyatakan: "Mereka adalah orang yang curang dalam jual-beli, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."
Kumpulan kelima: Mereka diiring dari kubur seperti hembusan angin dengan bau busuk, lebih busuk daripada bangkai, maka terdengarlah suara dari Yang Maha Pemurah: "Mereka adalah orang yang selalu berbuat maksiat kerana takut kepada manusia bukan kepada Allah, kemudian mati. Maka inilah pembalasannya dan neraka adalah tempat kembali mereka."Kumpulan keenam: Mereka diiring dari kubur dengan leher dan tengkuk terputus, maka ada suara dari Yang Maha Pemurah: "Mereka adalah orang yang memberikan saksi palsu dan inilah balasannya, serta neraka adalah tempat kembali mereka."
Kumpulan ketujuh: Mereka diiring dari kubur tanpa mempunyai mulut dan dari tempat mulutnya keluar muntah dan darah, maka terdengarlah suara: "Mereka adalah orang yang tidak mahu bercakap benar, maka inilah balasannya dan nerakalah tempat kembali mereka.
Kumpulan kelapan: "Mereka adalah orang yang berbuat zina dan mereka diiring dengan kaki ke atas, kepala ke bawah dan neraka adalah tempat kembali mereka."
Kumpulan kesembilan: Mereka diiring dengan wajah hitam, mata biru dan perut penuh dengan api, maka terdengarlah suara Yang Maha Pemurah: "Mereka adalah orang yang makan harta anak yatim."
Kumpulan kesepuluh: Mereka diiring dengan penuh penyakit kusta, maka terdengar suara: "Mereka adalah orang yang derhaka kepada kedua-dua orang tua mereka."
Kumpulan kesebelas: Mereka diiring dalam keadaan buta mata, hati dan giginya seperti tanduk kerbau, bibirnya memanjang sampai ke dada, lidahnya menjulur panjang dan dari perutnya keluar kotoran, kemudian terdengar suara dari sisi Allah: "Mereka adalah orang yang minum arak."
Kumpulan kedua belas: Mereka diiring dari kubur seperti bulan purnama. Mereka adalah orang yang berbuat kebaikan dan amal salih, menjauhi perbuatan jahat, sentiasa takut membuat dosa serta mendapat keampunan daripada Allah.
Itulah antara balasan orang yang membuat mungkar di muka bumi seperti meninggalkan sembahyang, berzina, derhaka kepada ibu bapa dan memakan harta anak yatim.
Rasulullah bersabda, bermaksud: "Sesiapa yang meninggalkan sembahyang atau bermudah-mudah dengannya nescaya diseksa Allah dengan 15 perkara.
"Enam perkara di dunia, tiga perkara di waktu matinya, tiga perkara di dalam kuburnya dan tiga perkara di hadapan Tuhannya di akhirat nanti. Lalu sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, apa dia seksa di atas dunia ini?"
Jawab Rasulullah: "Dibuang Allah berkat pada umurnya yang menyebabkan hidupnya terumbang-ambing, tidak mendapat kebahagiaan yang sejati, hidupnya diibaratkan seperti buih di atas permukaan air yang mengikut arus aliran air.
"Diangkat Allah berkat pada rezekinya walaupun dia mempunyai harta yang banyak tetapi dibelanjakan pada perkara yang tidak memberi faedah.
"Diangkat padanya tanda orang yang salih. Tiada terpelihara baginya agama Islam, iaitu ditakuti mati dalam kekufuran. Amalan menjadi sia-sia kerana tiap amal kebajikan dilakukan tidak diterima oleh Allah dan tidak diberi pahala olehnya serta doa tidak diangkat ke langit."
"Bertanya lagi sahabat: Ya Rasulullah, apa seksa pada waktu matinya?" Jawab Rasulullah: "Dimatikannya dalam keadaan hina, dimatikannya dalam keadaan sangat lapar dan dimatikannya dalam keadaan sangat dahaga, iaitu jika diberi minum air tujuh lautan sekalipun, tidak hilang rasa dahaganya.
Bertanya lagi sahabat. "Apa seksa di dalam kubur itu ya Rasulullah?"
Jawab baginda: "Disempitkan tubuhnya hingga sempit dua tulang rusuknya, disuruh Allah dua malaikat untuk menyeksanya hingga hari kiamat."
"Yang menyeksakan orang yang meninggalkan solat itu ialah ular diberi nama Sujaulakraa, iaitu dua mata daripada api neraka, dua kuku malaikat yang menyeksa itu daripada besi Kharsari dan panjang kuku itu perjalanan sehari semalam.
"Pada tangannya itu satu tingkat daripada besi lantas berkata malaikat itu kepada mayat atau roh orang yang mati itu, aku disuruh oleh Tuhanku supaya aku memukul engkau kerana meninggalkan sembahyang Subuh hingga Zuhur, Zuhur hingga Asar, Asar hingga Maghrib, Maghrib hingga Isyak dan Isyak hingga Subuh.
"Maka setiap kali pukulan itu terbenamlah mayat tadi ke dalam bumi hingga 70 hasta lalu diangkat dengan kukunya pada permulaan, begitulah seterusnya hingga ke hari kiamat."
sumber:http://www.hizbi.org/tazkirah.php