Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan
Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit
Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa
sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya
yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah
orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".
Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta
tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit
Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa
hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu
dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk
dan duduk di ruang tamu.
Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan
melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa
seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi
Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam
hatinya penuh kehairanan.
Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu
dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam
bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor
babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan.
Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih
sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa
agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis,
mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi
Musa.
"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.
"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon
supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi
Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.
Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai
Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil
baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah
buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya
sebagai anak soleh disisi Kami."
Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada
di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua
ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam
syurga."
Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa
ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah
dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat
rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat
tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan
urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang
sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.
Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan
urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya
kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.
Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat
yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di
alam kubur.
Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran
wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan
doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.