Penambang Dengan Wali Allah

Adik-adik,

Kisah kali ini ialah mengenai seorang Penambang yang mana kerjanya setiap hari mengambil upah menghantar orang ramai menyeberangi sungai dengan menggunakan perahu. Pada suatu hari datang seorang tua yang tidak dikenali oleh beliau kerana orang ini bukanlah berasal dari penduduk tempatan yang sentiasa menaiki perahunya berulang alik menyeberangi sungai tersebut. Orang tua ini meghampiri Tukang Penambang seraya berkata "Bolehkah kamu membawa aku ke seberang sana dengan hati yang ikhlas". Jawab Tukang Penambang, "Aku sanggup membawa tuan menyeberangi sungai ini dengan perahu ku ini secara ikhlas dan saya tidak akan mengenakan sebarang bayaran kepada tuan".

Orang tua itu terus menaiki perahu dan penambang tadi mengayuhkan perahunya untuk menyeberangi sungai tersebut. Satelah sampai ditebing sana, orang tua tadi menanyakan kepada Penambang "Bolehkah saudara menerima amanah". Kata penambang "Boleh, apakah perkara itu". Orang tua itu menghulurkan bungkusan kain dan sebatang tongkat dan disambut oleh Penambang dengan hati yang terbuka.

Setelah Penambang mangambil barang-barang yang diserahkan oleh orang tua tadi lalu berkata orang tua tersebut kepada penambang. "Esok sekitar waktu tengahari, kamu akan menemui aku meninggal dunia dibawah pokok itu" sambil menunjukkan kearah pokok yang dimaksudkan. Orang tua itu berkata lagi "Kamu hendaklah menguruskan jenazah ku dan kamu kafanlah aku dengan kain yang berlapik dibawah kepalaku". Penambang tadi terpegun mendengar kata-kata tersebut, dan sambil berkata didalam hati, apakah betul orang tua ini, dan bagaimana mungkin dia mengetahui bahawa dia akan menginggal dunia pada esok harinya.

Penambang tadi berkata, "Bagaimana dengan bungkusan dan tongkat ini". Orang tua itu berkata "Kamu tidak perlu risau tentang perkara ini kerana akan datang seorang pemuda kepada kamu dan berilah kepadanya jika ia menanya tentang bungkusan dan tongkat ini". Orang tua tersebut terus berlalu dari situ.

Pada waktu malamnya penambang tadi tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana memikirkan kejadian pada siang harinya. Pada esoknya penambang tadi bekerja seperti biasa. Apabila sampai masa yang dikatakan oleh orang tua tersebut penambang terus pergi ke pokok yang dinyatakan dan alangkah terkejutnya beliau kerana apa yang dikatakan adalah benar, lalu ia menghampiri tubuh yang terbaring dibawah pokok, setelah mengamati ternyata orang tua tersebut telah meninggal dunia. Setelah jenazah selesai dikebumikan, Penambang tadi balik kerumah tanpa bekerja pada hari tersebut.

Selang beberapa hari datang seorang pemuda dan bertanya kepada Penambang, "Adakah kamu ada menyimpan barang-barang yang ditinggalkan oleh seorang tua". "Ada", kata penambang dan beliau berkata lagi, "Bagaimana kamu tahu saya ada menyimpan barang-barang tersebut". Pemuda tadi menceritakan bahawa beliau adalah seorang yang banyak melakukan maksiat, kerjanya menyanyi dan menghibur orang. Pada suatu malam ketika saya sedang tidur, saya bermimpi bahawa seorang Wali Allah telah meninggal dunia dan meninggalkan bungkusan dan sebatang tongkat. Suara tersebut menyuruh saya pergi mengambil barang-barang tersebut kerana Allah telah memilih saya untuk menggantikan tempat Wali tersebut.

Pemuda tadi terus mengambil barang-barang yang diamanahkan kepada penambang dan berlalu dari situ.

Bagitulah adik-adik, Allah Maha berkuasa lagi Maha Pengampun dan Allah berkuasa memberi hidayah kepada hambanya yang dipilih.

Wallahua'alam.