Potong Tangan Kerana Bersedekah
Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani
Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata,
"Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah S.W.T."
Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya,
lalau memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu
memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu
terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari
peristiwa itu maka Allah S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan
menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin
dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka
pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta
sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat
kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu
itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan
anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu
itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak
makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga
tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang
tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan
dengan tangan kiri. Apabial suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun
berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian,
oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."
Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan
kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar
suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah,
sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka
tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."
Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan
kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan
dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita
sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah
datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah S.A.W
telah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati
tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku,
maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan barangsiapa telah
menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa
menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya
tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk
bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."