Ramai Pengguna Tertipu

Hampir semua orang mampu …begitulah iklannya. Yang sebenarnya iklan tersebut sepatutnya berbunyi, "hampir semua orang tertipu!". Gara-gara Prepaid Celcom menyebabkan ramai yang tertipu!

Kad permulaan bagi pengenalan penggunaan 'pre-paid mobile' Celcom yang menggunakan rangkaian 019 telah berada di pasaran beberapa bulan lalu. Celcom juga membuat package bagi permulaan penggunaan 'pre-paid' dengan harga RM138.00. Malangnya, bekalan yang terdapat di Celcom sendiri cukup terhad bagi pengguna membeli terus dari Celcom. Akibatnya, pengguna yang memerlukan kad package permulaan ini, istimewa bagi pengguna lama rangkaian 019 yang beralih ke era 'pre-paid' mencari di merata-rata penjual kad tersebut yang mengenakan harga sekurang-kurangnya RM188.00. Dalam aduan yang Jembalang terima ada kalanya penjualan 'pakage pertama' ini mencecah harga RM300.00, jika nombor yang disediakan itu memberi tuah seperti 333, menurut kepercayaan orang Cina atau 888.

Berlainan dengan bandar, maka harga turut berlainan. Misalnya di bandar Taiping, harganya lebih tinggi iaitu RM230.00. Mungkin ada harga yang berbeda di bandar lain seperti Sg. Petani, Alor Setar atau Pulau Pinang.

Celcom perlu segera menangani permasalahan ini, dengan melambakkan kad-kad tersebut di cawangan masing-masing di seluruh negara. Jika dibiarkan orang tengah (dealer) mengaut keuntungan dengan sewenang-wenangnya, maka Celcom akan kerugian pengguna yang sudah jatuh cinta dengan 'hampir semua orang mampu menggunakannya'. Langganan Celcom turut terjejas di samping akan menjejaskan pula reputasinya! Lihatlah buktinya

Jembalang - lihat orang tengah sama seperti lintah darat