Isu Kalendar….

Jembalang percaya semua kakitangan Kerajaan sudah menerima diari tahunan dan kalendar yang dibekalkan oleh Kerajaan. Desas-desus yang terdengar bahawa terdapat kejanggalan dalam kalendar tahun 1999. Mengapa tidak, bukan hampir, malah ke semua helaian kalender itu memuatkan gambar seorang pembesar Kerajaan Negeri. Tetapi apakah isunya?

Setiap tahun memang Pejabat YAB Menteri Besar menyedia dan mengedarkan kalendar untuk tatapan kakitangannya. Jika bilangan yang dicetak itu cukup, bukan sahaja kakitangan Kerajaan, malahan orang politik juga menerima kalendar tersebut. Ianya juga dibekalkan untuk Jabatan-jabatan dalam Kerajaan Negeri di seluruh Negeri Perak Darul Ridzuan.

Anihnya tahun ini, disetiap helaian ada tercetak gambar MB Perak. Gambar-gambar tu pula akan menunjukkan setiap projek yang dijayakan samada di bandar atau di desa. Apakah disetiap projek itu ada maksudnya hingga mesti gambar Tan Sri Ramli dirakamkan? Daripada tangan seorang ahli politik akhirnya Jembalang dapat juga senaskah kalendar itu. Inilah antara yang dipaparkan hingga ianya menjadi isu di kalangan yang memilikinya. Antara projek-projek yang dipaparkan itu ialah tanaman herba, ternakan, perusahaan seramik, penaikan taraf pelabuhan Lumut, projek bekalan tenaga hidro elektrik, penghutanan kawasan bandar dan lain-lain.

Sepintas langsung, bagi Jembalang ianya adalah untuk menunjukkan kejayaan yang dinikmati oleh negeri Perak di bawah Pentadbiran Tan Sri Ramli. Mari kita abaikan sumber manakah yang membayar penyediaan kalendar ini. Pendapat Jembalang, selalunya rungutan timbul ekoran ketidakpuasan hati terhadap sesuatu. Adakah ini bermakna, Tan Sri Ramli kian hilang popularitinya?