Pak Lah Yang Termakan Cili

Keraguan rakyat berhubung dengan ketelusan SPR menjalankan urusan yang melibatkan pilihanraya yang akan datang semakin terasa. Keraguan ini ada asas-asasnya tersendiri. Pengalaman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam menangani perbicaraan kes salah guna kuasa Dato' Seri Anwar adalah bukti keraguan itu, walaupun beberapa pihak cuba menafikan dan menyatakan mahkamah tersebut "kununnya" bebas dan adil.

Pada sepanjang perbicaraan tersebut beberapa kesimpulan boleh dibuat oleh rakyat yang semakin matang dalam menilai perjalanan mahkamah. Hakim Augustine Paul seperti mengalami "word-maniac" akan menyebutkan 'tidak relevan' apabila pihak pembela cuba mengaitkan tuduhan terhadap DSAI ada kaitannya dengan 'konsfirasi politik'. Apakah jika kita terjumpa Augustine Paul di shopping complex, lalu kita cuba menegur 'konsfirasi!!', beliau akan terus menjawab, tidak relevan!. Untuk siapakah sebenarnya 'relevan' itu?

Adakah perbicaraan sebegini dikatakan bebas dan adil? Dalam contoh yang lain pula dilihat bagaimana kekejaman pihak polis dalam menangani rakyat yang berdemontrasi tahun lalu dikatakan sebagai "kununnya" polis bertindak wajar. Ramai yang dibelasah tanpa belas kasihan, padahal mereka terdiri dari wanita, orang-orang tua yang tak berdaya dan mereka pula tanpa senjata! Siapakah dalang yang mengarahkan para demontrat ini dipukul, ditangkap dan disumbatkan ke dalam ISA? Apakah pihak polis juga bebas sebagaimana didakwa?

Cukuplah dua pengalaman lalu sebagai asas untuk rakyat meragukan SPR bebas dan adil. Kemungkinan SPR akan mengikut telunjuk pihak tertentu, kebarangkaliannya amat besar. Rakyat wajar untuk menyuarakan kebimbangan mereka kerana ini melibatkan masa depan mereka dan generasi baru anak-anak mereka.

Berdasarkan dua contoh di atas, kebimbangan itu mempunyai asas yang kuat. Kenyataan ini disokong oleh ucapan Pak Lah dua hari lalu yang menyatakan bahawa negara sudah 41 tahun merdeka dan kita sudah mengadakan pilihanraya berkali-kali. Apa perlunya persoalan perjalanan pilihanraya disambut oleh para pemimpin UMNO dengan jawapan mereka tersendiri? Selepas Parlimen dibubarkan nanti, mereka juga sama seperti parti lain dan kerana selama ini kemenangan berpihak kepada UMNOlah, maka kebimbangan semakin menjadi-jadi jika parti pemerintah itu tidak dapat menerima kekalahan terutama kepada parti yang selama ini dianggap 'under-dog'.

Pemerhati Politik Tempatan P.P.T.