SURAT KEPADA DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

Ayahanda Dato' Seri,

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar

Terlebih dahulu anakanda merafak sembah ampun dan maaf di hari yang mulia sempena fajar syawal 1419 H. Doa anakanda terhadap ayahanda semoga selamat selalu dalam perlindungan Allah.

Tujuan anakanda merakamkan e-mail ini kepada ayahanda Dato' Seri adalah untuk mengambil kesempatan di hari baik bulan baik ini mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemenangan buat kita umat Islam di seluruh dunia. Perutusan Euidul Fitri yang ayahanda tuliskan itu, macam biasa telah anakanda baca dan sebarkan kepada seluruh rakan taulan, sanak saudara serta sahabat handai.

Ayahanda, anakanda amat memahami situasi ayahanda ketika ini. Mendengar takbir raya di hari kemenangan bersendirian hanya ditemani dinding, lantai dan lampu yang menjadi tembok pemisah dengan dunia luar, mampu menitiskan air mata kepiluan. Anakanda percaya Mama Datin Seri, adalah seorang ibu yang penyayang serta isteri yang setia akan sentiasa dekat di hati ayahanda Dato' Seri. Anakanda dan keluarga serta sahabat handai di sini hanya mampu mendoakan agar ketabahan dan kesetiaan jualah yang tersemat di sanubari Mama Datin Seri.

Ayahanda Dato' Seri,

Hari ini hampir genap 4 bulan ayahanda berada di dalam kamar besi ini. Anakanda bersyukur ayahanda ditempatkan di sini, berbanding semasa di tahan di bawah 'akta neraka' ciptaan pemimpin yang sekular itu. Namun berapa berat mata memandang, tentulah berat bahu yang memikulnya. Anakanda selalu berdoa semoga Allah akan sentiasa melindungi ayahanda Dato' Seri dari apa saja perbuatan durjana yang mengancam ketenangan diri ayahanda. Perlu juga anakanda terangkan di sini bahawa kami sekeluarga, sanak saudara serta sahabat handai telah mendaftarkan diri menjadi ahli PAS. Keputusan ini kami buat adalah semata-mata untuk menjunjung Islam serta memartabatkan ugama kita di tempatnya. Sebagaimana ayahanda Dato' Seri maklumi bahawa kegiatan menghina Islam, ulama yang muktabar serta cendikiawan Islam lainnya sentiasa berlaku saban waktu. Hari demi hari, saat demi saat, pencabulan terhadap hukum Allah semakin berleluasa. Suatu masa dahulu, semasa ayahanda Dato' Seri masih memimpin ABIM, anakanda masih dibangku sekolah. Nama ayahanda telah dikenali oleh anakanda dan rakan sebaya.

Keputusan ayahanda Dato' Seri memilih UMNO sebagai wadah perjuangan memberikan situasi 'panik' kepada kami yang masih mentah dalam politik ketika itu. Mungkin itu daripada satu sebab, anakanda selepas keluar sekolah tidak begitu berminat berbicara soal politik sehinggalah apa yang terjadi kepada ayahanda Dato' Seri kini. Maafkanlah anakanda kerana menyentuh soal silam itu.

Ayahanda Dato Seri,

Biar apa pun keputusan yang ayahanda buat dalam soal itu sudah semestinya ayahanda mempunyai tujuan tertentu. Tidak pantas anakanda bicarakan persoalan itu di dalam warkah elektronik ini melainkan anakanda akan senantiasa memberikan sokongan padu kepada ayahanda sebagai seorang pemimpin Islam yang anakanda, keluarga dan sahabat sekeliannya kagumi. Doa anakanda dalam hal ini mudah-mudahan Allah memberikan iltizam serta istiqamah kepada ayahanda Dato' Seri.

Hari raya yang mulia ini, kami menyambutnya secara cukup sederhana. Peluang berkumpul sebegini datangnya setahun sekali untuk sama-sama merayakan kemenangan biarpun di kala yang lain kami berkumpul juga. Hidangan kueh mueh jadi tidak menyelerakan pada hari raya tahun ini. Hidangan yang lebih bermakna buat kami sekeluarga ialah sebuah komputer peribadi sambil meneliti laman-laman web yang dibina sempena memperakui perjuangan ayahanda Dato' Seri. Lembaran kertas yang sudah disalin dari laman web tersebut sebenarnya adalah menu utama kami di hari raya ini. Usahlah ayahanda Dato' Seri gusarkan kerana sokongan kami terhadap pemimpin-pemimpin yang berjuang membela ugama kita sudah lama menjadi teras hidup kami sekeluarga. Hendak berjuang seperti tahap ayahanda yang dipukul, dicerca, dihina serta diaibkan anakanda tidak mampu. Kepada Allah anakanda memohon supaya segala fitnah dan kezaliman ini akan segera dikaliskan kepada yang empunya perbuatan.

Ayahanda Dato' Seri, suasana sebening ini cukup mendatangkan rasa kerinduan anakanda kepada ayahanda Dato' Seri. Walau pun sedang menjalani hukuman atas fitnah semata-mata, namun ayahanda adalah simbol perjuangan Islam yang jitu dekad ini. Anakanda pernah dengar sejarah Jamal Abdul Nassir serta beberapa pemimpin Islam lain yang gugur syahid dalam memperjuangkan serta mendaulatkan Islam. Anakanda tidak menyangka bahawa hanya satu anak tangga sahaja lagi kedudukan ayahanda Dato' Seri untuk menyempurnakan sirah RasullulLah ke takhta yang sewajarnya. Mungkin musibah ini mahukan perjuangan anakanda sekelian untuk sama-sama berganding bahu dengan ayahanda Dato' Seri. Langkah pertama kami ialah dengan menyertai parti yang berwadahkan Islam dalam perlembagaannya.

Ayahanda Dato Seri, sebelum anakanda mengakhiri warkah eletronik ini anakanda sekali lagi mohon diampunkan kerana tanpa keizinan ayahanda, anakanda menyebarkan segala maklumat yang perlu berhubung dengan isu konsfirasi yang ayahanda maksudkan itu sehingga membawa kepada penahanan ayahanda dan seterusnya perbicaraan untuk tatapan umum. Bermula dengan tape, video dan komputer serta kertas-kertas, tanpa anakanda sedari anakanda telah sama memulakan sesuatu yang baru demi apa yang dikatakan perjuangan menuntut keadilan dan kebenaran di sisi Allah. Selamat Euidul Fitri dan Salam Reformasi.

"Justice For Papa"

Mr Canggih

Insan Kerdil Rakyat Biasa

Jembalang - ketemukan hasrat anda