Jawatankuasa kaji undi pos

Biro undi pos ditubuhkan oleh Pemantau untuk menangani laporan yang bertambah secara mendadak kebelakangan ini mengenai perjalananan undi pos di kalangan tentera dan polis, kata Penyelaras Pemantau Kamar Ainiah Kamaruzzaman.

Kamar Ainiah berkata, Pemantau dalam proses mengumpulkan maklumat bagi mengatasi masalah undi pos yang telah dibangkitkan kepada SPR supaya dicari jalan penyelesaian yang memuaskan.

Menurutnya, biro itu yang dianggotai oleh bekas anggota tentera daripada tiga perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara serta Budi akan menangani semua aduan berkenaan undi pos yang diterima oleh Pemantau dan tindakan yang sewajarnya akan diambil bagi aduan-aduan itu.

"Soal undi pos ini telah laman ditimbulkan tetapi tidak ada pembaharuan dan biro ini ditubuhkan untuk mempertingkatkan usaha bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau berkata, perjalanan undi pos sekarang kurang telus kerana SPR hanya menghantar dan menerima kotak undi pos itu tetapi tiada pengawasan dilakukan dalam proses pengundian yang dibuat di kem masing-masing.

Menurutnya, dalam pilihanraya pada tahun 1995, jumlah pengundi pos adalah seramai 215,120 orang membabitkan 552,764 undi iaitu di parlimen dan Dewan Undangan Negeri manakala bagi pilihanraya akan datang seramai 235,000 pengundi akan mengundi secara pos.