40 peratus tentera tidak mengundi

Kira-kira 40 peratus anggota tentera tidak mengundi dalam pilihanraya umum 1995 daripada kira-kira 146 ribu pengundi tentera yang berdaftar, kata bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Shariff Ishak.

Menurutnya, daripada jumlah pengundi tentera itu, kira-kira 60% peratus daripada mereka telah berkeluarga yang menjadikan jumlah keseluruhan undi tentera adalah 233,600 undi.

Beliau mendedahkan rasa tidak ambil berat anggota tentera terhadap pilihanraya diakibatkan oleh orientasi yang mereka hadapi dalam perkhidmatan itu sejak daripada awal kemasukan lagi.

"Tentera diajar agar tidak melibatkan diri dengan politik. Mereka juga diajar agar memberikan taat setia kepada Yang Dipertuan Agung dan negara," katanya ketika berucap di majlis forum anjuran Pemantau di Hotel Midah di sini.

"Saya sendiri tidak pernah mengundi sebelum ini dan pilihanraya akan datang adalah kali pertama saya mengundi," katanya lagi.

Forum yang dihadiri oleh kebanyakannya bekas tentera juga mendedahkan ramai anggota tentera tidak mengambil bahagian dalam pilihanraya dan kertas undi mereka ditanda oleh orang lain.

Selain itu, Budi juga mendedahkan bahawa hasil kajian mereka terhadap data pengundi yang dikeluarkan oleh SPR mendapati ada anggota tentera yang masih didaftarkan sebagai pengundi pos meskipun mereka telah lama bersara.

Budi juga mendapati ada pengundi tentera yang didaftarkan di beberapa tempat yang berbeza dengan nama yang sama yang mungkin disebabkan oleh perpindahan anggota tentera dari satu kem ke kem yang lain.