PAS minta Rusia berundur

KUALA LUMPUR: PAS mendesak kerajaan Rusia mengundurkan tenteranya daripada sempadan Chechnya dan membenarkan pelarian Chechnya pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat, kata Presidennya, Dato' Fadzil Noor dalam memorandum yang dihantar ke Kedutaan Rusia di sini Jumaat lepas.

Dalam memorandum itu, Fadzil berkata, kerajaan Rusia juga perlu membuka perbincangan dengan Republik Islam Chechnya dan republik Islam yang lain serta memenuhi kehendak mereka.

Selain itu, katanya, kerajaan Rusia juga perlu membayar pampasan di atas kerugian yang dihadapi oleh Chechnya berikutan pencerobohan Rusia itu.

Memorandum itu yang dihantarkan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dengan diiringi oleh beberapa pimpinan PAS kira-kira jam 12 tengahari diterima oleh Setiausaha Kedua Kedutaan Rusia, Viacheslav F. Usliapov.

Tentera Rusia memasuki wilayah Chechnya sejak seminggu lepas selepas melakukan serangan udara beberapa minggu sebelum itu, dengan alasan untuk menghalang pejuang Dagestan daripada menyerang kedudukannya.

Serangan itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 125,000 penduduk Chechnya melarikan diri dengan kebanyakkannya menyeberang ke negara sempadannya, Republik Ingushetia.

Fadzil berkata, Chechnya sebagai sebuah republik yang bebas mempunyai hak untuk mempertahankan kedaulatannya dan serangan tentera Rusia itu adalah bertentangan dengan pandangan seluruh dunia.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Pusat dalam kenyataannya di sini mendesak kerajaan Malaysia memutuskan hubungan dengan Rusia kerana serangan mereka itu dan memberikan pengiktirafan kepada kerajaan Chechnya sebagai kerajaan yang sah.

Naib Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, selain itu, kerajaan juga perlu memanggil balik duta Malaysia di Rusia dengan segera.

"DPP secara terbuka menyatakan sokongan padu kepada para mujahid yang berusaha untuk mengegakkan nehara Islam di Chechnya dan pengistiharan jihad oleh Presiden Aslam Maskadov wajar disambut terbuka oleh seluruh umat Islam," katanya.