Alternatif Kutuk Tindakan Polis

Pemimpin -pemimpin parti alternatif iaitu PAS, DAP, PRM dan KeAdilan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan liar, ganas dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh polis terhadap perhimpunan aman untuk menyampaikan memorandum kepada Yang DipertuanAgong di Masjid Negara Ahad lepas dalam kenyataan bersama mereka hari ini.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden PAS, Dato' fadzil Mohd Noor, Presiden KeAdilan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Syed Husin Ali.

Menurut kenyataan itu, puluhan ribu rakyat yang berkumpul di masjid itu menjadi saksi bahawa perhimpunan tersebut diadakan secara aman dan teruatur sehinggalan polis mula membelasah secara kejam beberapa pemimpin Barisan Alternatif tanpa memberikan amaran diikuti dengan tembakan gas pemedih mata kepada orang ramai.

"Tindakan yang tidak terkawal itu adalah kerana provokasi polis yang tidak langsung menghormati hak rakyat untuk mengadakan perjuampaan aman dan terlalu takut kepada perbedaan pendapat," kata mereka itu.

Menurut mereka, sebenarnya bilangan orang ramai yang mendapat kecederaan dan kemalangan akibat daripada tindakan kejam polis jauh lebih besar dan serius berbanding dengan dua atau tiga kes yang digembar-gemburkan di media massa.

"Malangnya media massa tempatan tidak langsung menyiarkan berita tentang kecederaan dan kemalangan yang ditanggung oleh orang ramai akibat tindakan ganas dan provokasi polis," ujar mereka.

Mereka berkata, perhimpunan itu akan tetap aman seperti yang berlaku pada hari Sabtu lepas jika polis tidak membuat provokasi.

Sehubungan itu, mereka meminta polis sentiasa menghormati hak dan kebebasan rakyat untuk mengadakan perjumpaan secara aman untuk menyatakan pendapat dan perasaan mereka.

Mereka juga mendesak supaya polis lebih bertanggungjawab dan berperikemanusiaan dalam menjalankan tanggungjawabnya kerana peranan mereka untuk melindungi rakyat dan bukan sebaliknya.