BERSAHUR adalah amalan penting pada Ramadan. Bagi mereka yang
hanya mengkaji ilmu fikah akan berkata: “Oh, bersahur hukumnya adalah sunat
saja.” Andai kata hukum ini dikaitkan dengan hadis sahih, kita akan menyedari
betapa pentingnya sahur ini walaupun hukumnya adalah sunat.
Rasulullah saw bersabda yang
bermaksud : “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.” (Hadis riwayat
Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah). Melalui hadis ini,
amalan bersahur dikaitkan dengan keberkatan dan keberkatan pula membawa makna
rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.
Amalan
bangun sahur ini membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi
dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah yang
diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud : “Perbezaan di antara puasa kami
dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.”
Sahur adalah satu rahmat dan berkat yang
dikurniakan Allah ke atas umat Islam. Anjuran bersahur itu dapat dilihat lagi
dalam hadis Nabi bermaksud: “Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air.”
(Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Hadis tadi menunjukkan kepentingan bersahur kepada orang yang berpuasa walaupun
makan atau minum dengan sedikit saja sekalipun dengan hanya seteguk air.
Dalam hadis lain, kelebihan ke atas orang yang bersahur itu ialah seperti sabda
Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat
(berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang
yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabrani).
Selain disunatkan bersahur kita juga disunatkan untuk melambatkan waktu
bersahur itu kerana amalan itu dilakukan oleh utusan Allah dan sahabat. Imam
Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sentiasa umatku
dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan
makan sahurnya.”
Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh. Berkaitan
perkara ini, Zaid bin Thabit pernah berkata: “Kami pernah bersahur bersama
nabi, kemudian kami bangun untuk melakukan solat (Subuh).
Zaid ditanya
: “Berapa lama masa antara kedua-duanya (yakni antara makan sahur dan solat
Subuh)?” Berkata Zaid: “Sekadar membaca 50 ayat al-Quran.” (Hadis riwayat
Bukhari)
Dalam kitab Nailul Authar, disebutkan Imam Ibn Abdil Bar berkata bahawa hadis
yang menerangkan kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur
semuanya bertaraf sahih dan mutawatir.
Penekanan Nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi
saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi. Kajian menunjukkan makanan
paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi.
BBC News pada 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi penting untuk memelihara
kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Kajian oleh
Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard, mendapati mereka
yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan
menghidap kencing manis.
Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi
menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yang
jarang bersarapan pagi. Hal ini menjadi lebih penting kepada kanak-kanak yang
berpuasa. Ini kerana kesan kanak-kanak meninggalkan sarapan pagi adalah lebih
negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil.
Kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun
tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan
menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.
Tambahan daripada itu, satu kajian oleh Dr Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan
Baylor dan rakannya ke atas 700 pelajar di Louisiana, menunjukkan mereka yang
tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat
besi dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan penyakit anemia (penyakit
berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry
Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.
Justeru, secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur, tidak
akan mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian itu. Lebih
daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunnah dan waktu sahur
juga masa yang dipenuhi keberkatan.
Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah, Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang
lebih baik daripada yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa, ada syurga di
sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal
dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat
keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (Iaitu) orang yang
berdoa, Ya Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa kami
dan peliharalah kami daripada seksa neraka. (Merekalah) orang yang sabar, yang
benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya di jalan Allah dan yang memohon
ampun pada waktu sahur.” (Surah Ali
Imran, ayat 15 hingga 17)
“Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan
Nasrani) ialah adanya makan sahur.” Hadis Riwayat Muslim
“Bersahurlah, sekalipun dengan seteguk
air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
“Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabrani).